27 Ogos 1972: Jerman Barat 3-0 Malaysia



Jersi hitam kuning Harimau Malaya dan hitam putih Die Mannschaft di dalam satu padang - Benda yang mungkin kita tidak akan dapat lihat lagi seumur hidup kita


Sabtu malam Ahad lepas, ketika rakyat Malaysia masih sibuk berbincang kenapa Alex Ferguson tidak masukkan Rooney dan Chicharito dari awal, atau benarkah Evra dan Suarez mengeji satu sama lain, atau mungkinkah Giggs sayang 'telor' dan sama ada tendangan gol Gerrard adalah genius atau tidak disengajakan, sambil pada masa yang sama berkemungkinan pula melayan perlawanan Manchester City dan Aston Villa, RTM melalui TV1 dengan senyap-senyap menayangkan satu perlawanan bolasepak klasik.

Siaran perlawanan 39 tahun sudah itu adalah pertemuan di antara Jerman Barat (sekarang Jerman) dan Malaysia dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman Barat. Menurut dari rakaman klasik RTM tersebut, siaran ini adalah 'siaran terus menerus TV Malaysia dari Munich melalui satelait bumi Kuantan'. Satelit (satelait ini ejaan lama) bumi Kuantan terletak berdekatan pantai Beserah, mula dibina pada 1967 dan siap sepenuhnya pada 4 April 1970 dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Kalau tidak kerana 'satelait bumi Kuantan' ini memang tidak dapat abah-abah kita dulu nak layan bolasepak Olimpik 1972.

'Satelait bumi Kuantan' ini juga bolehlah dikira satu-satunya sumbangan negeri Pahang terhadap bolasepak Malaysia. Sultan Bola dan Pipiyapong pula bukanlah sumbangan tetapi lebih kepada sumbang mahram terhadap bolasepak Malaysia.

Satu-satunya sumbangan Pahang terhadap bolasepak Malaysia

Pertemuan Jerman Barat dan Malaysia berlangsung pada 27 Ogos 1972 di Olympiastadion Munich. Olympiastadion Munich ini memang dibuat khusus untuk Sukan Olimpik, siap sepenuhnya pada 26 Mei 1972. Walaupun bukan perlawanan bolasepak pertama, tetapi pertemuan Jerman Barat dan Malaysia boleh dikira sebagai perlawanan kompetitif pertama di stadium keramat ini. Keramat kerana dua tahun selepas Olimpik, Jerman Barat menjulang Piala Dunia 1974 di Olympiastadion Munich dengan menewaskan Belanda 2-1.

Olympiastadion Munich - Malaysia lawan kompetitif pertama Jerman di stadium keramat ini

Perlawanan Jerman Barat dan Malaysia dihadiri lebih kurang 60,000 penonton di stadium dan disiarkan secara langsung ke serata dunia. Armando Marques dari Brazil menjadi pengadil perlawanan. Arbitro brasileiro ini bagi siapa yang tidak tahu merupakan pengadil paling tersohor dan kontroversi dalam sejarah bolasepak Brazil. Bahawa perlawanan Malaysia pernah diadili oleh pengadil lagenda Brazil adalah juga satu penghormatan.

Satu-satunya pengadil Brazil yang pernah ditulis buku tentang kariernya - O Mito (The Myth)

Bolasepak Olimpik zaman itu terbuka hanya untuk pemain bertaraf amatur. Jadi pasukan Jerman Barat yang berdepan Malaysia dibarisi oleh pemain amatur. Pun begitu ada dari mereka yang kemudiannya muncul pemain profesional dan kebangsaan Jerman, seperti Ronald Worm (MSV Duisburg), Manfred Kaltz (Hamburger SV) dan Uli Hoeness (Bayern Munich), sementara Ottmar Hitzfeld (FC Basel) pula kini dikenali sebagai antara pengurus bolasepak terbaik Eropah. Apa ada hal, pemain kita zaman itu pun semuanya amatur juga.

Malaysia di bawah kendalian jurulatih Jalil Che Din bermain dengan yakin dan tidak goyah sekali pun di stadium yang padat dengan mamat dan minah Jerman. Menjaga gawang ialah Wong Kam Fook yang cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya Jerman Barat ("Wong Kam Fook melentik sungguh cantik tadi menyelamatkan bola"). Barisan pertahanan dengan tonggak utamanya Soh Chin Aun dan Namat Abdullah tidak teragak untuk menghalang sebarang cubaan membawa bola masuk ke dalam kotak penalti Malaysia sementara Abdullah Othman dan Mohammed Chandran cemerlang sebagai fullback yang menyokong jentera serangan.

Namat Abdullah & Soh Chin Aun - Jaket Namat Abdullah tu, siapa ada memang boleh jual harga RM10,000 di eBay

Malaysia mengekang Jerman Barat tanpa sebarang jaringan dalam separuh masa pertama. "Para penonton tidak berpuas hati dengan cara permainan Jerman Barat," kata pengulas RTM. Malaysia juga sekali-sekala mengasak pertahanan Jerman Barat, khususnya bila Looi Loon Teik dimasukkan pada minit ke-61 dan banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan di sebelah kanan.

Pun begitu Malaysia berdepan beberapa kesukaran, khususnya ketika merebut bola di udara. Seperti kata pengulas, "hantaran lambung tapi sayang pemain Jerman lebih tinggi" dan "Salleh menggelecek bola itu depan pintu gol Jerman Barat, hantaran tapi pemain kita susah mendapat bola tinggi". Faktor fizikal menjadi penghalang utama. Juga masalah rumput yang berbeza, seperti kata pengulas "rumput di sini lebih tebal dari rumput di Malaysia, sepakan leret mestilah kuat", menghalang Malaysia dari bermain hantaran pendek.

Jerman Barat akhirnya berjaya menggunakan kelebihan mereka dan mula menghasilkan gol melalui Ronald Worm (56), Juergen Kalb (71) dan Rudolf Seliger (82). Malaysia beberapa kali cuba bangkit, Mohammed Chandran bermain secara lebih ofensif sambil Wan Zawawi dan Hamzah Hussein (yang masuk menggantikan Wong Choon Wah) banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Jerman Barat. Malahan pada satu masa pemain Malaysia mampu melakukan 10 hantaran satu sama lain di tepi kotak penalti lawan! Jerman Barat bernasib baik kerana bolasepak zaman itu membenarkan back-pass kepada penjaga gol, maka seperti biasa mereka menggunakannya untuk membuang masa.

Soh Chin Aun - Tidak sayangkan telor macam Ryan Giggs

Walaupun kalah, secara keseluruhan permainan Malaysia di Olimpik 1972 ini aku berani katakan 100 kali lebih bagus dari permainan Malaysia hari ini. Pakcik-pakcik 1972 ini nampaknya tahu apa itu istilah 'penguasaan bola' dan 'hantaran tepat'. Ada kalanya mereka bermain satu unit, menyerang dan bertahan secara bersama. Sampaikan aku merasakan bahawa Total Football sebenarnya dicipta oleh Malaysia (dua tahun kemudian di Olympiastadion Munich, Belanda menunjukkan permainan yang serupa dalam Piala Dunia). Yang pasti penyakit seperti 'tendang ikut arah telor' memang tidak wujud di kalangan pemain.

Begitu juga dengan mutu ulasan oleh pengulas zaman itu yang aku tidak tahu namanya. Yang pasti beliau mengulas dengan tenang dan tidak merapu. Setiap perkataan dan ayat disebut dengan jelas, setiap aksi diperincikan sebaik mungkin. Tak macam ulasan merapu Astro Arena.

Skuad Malaysia yang terbang ke Munich turut membawa bersama mereka seekor anak harimau milik Zoo Negara bernama Tuah II.  Tuah II adalah maskot dan haiwan peliharaan skuad Malaysia. Selesai Olimpik 1972, Tuah II telah dihadiahkan kepada Zoo Munich.

Pemain Malaysia dulu bawa harimau, pemain Malaysia sekarang?

Bagi aku, perlawanan Jerman Barat-Malaysia dalam Olimpik 1972 ini bukan sekadar bolasepak klasik, tapi satu kemuncak sejarah penting negara. 27 Ogos 1972 ini adalah tarikh keramat, Malaysia menentang kuasa besar bolasepak dunia. Kita kena sedar, hari ini mustahil sudah untuk Malaysia bermain menentang Jerman dalam bolasepak. Dan jika sekalipun itu berlaku janganlah harap kita mampu sekadar tewas 3-0, kerana silap-silap kita boleh dilauk 30-0 kalau dinilai dari mutu bolasepak kita dan Jerman hari ini!

p/s: Dah habis perlawanan klasik ini barulah aku pergi layan Chelsea lawan Everton. Aku tengok gaya permainan Everton pun tak hebat macam Malaysia di Olimpik 1972. Apa ada hal?

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews