Showing posts with label lm. Show all posts
Showing posts with label lm. Show all posts

Footie Friday: Berapa Kali Turun Padang Semusim & Hasrat FAM Mengurangkan Pasukan Di Liga Super



FC Barcelona - 60 perlawanan sepanjang musim 2010/11

Berapa agaknya purata permainan semusim untuk seorang pemain bola sepak profesional?

Berapa pula purata permainan semusim untuk sebuah pasukan atau kelab bola sepak profesional?

Ada banyak kajian oleh banyak pihak tentang purata perlawanan yang ideal untuk seorang pemain atau sebuah pasukan. Tapi secara kasar boleh diandaikan purata 35 perlawanan semusim untuk seorang pemain pro dan purata 45 perlawanan semusim untuk sebuah pasukan pro. Dan tempoh semusim itu pula boleh dikatakan menjangkau 10 bulan lamanya dengan baki 2 bulan lagi adalah waktu rehat untuk pemain dan pasukan.

Ini adalah 'trend' bola sepak moden di seluruh dunia. Di England, Premier League mereka melibatkan 20 pasukan yang setiap satunya bermain sebanyak 38 perlawanan semusim. Itu belum dicampur lagi dengan perlawanan untuk FA Cup atau League Cup, dan bagi pasukan yang bermain di pentas Eropah pula mereka mempunyai perlawanan tambahan baik dari saingan Champions League atau Europa League.

Struktur 20 pasukan dalam liga ini turut diamalkan di negara Eropah lain seperti Itali, Perancis dan Sepanyol. Jerman dan Belanda pula mempunyai 18 pasukan dalam Bundesliga dan Eredivisie mereka tetapi itu sudah cukup untuk menjamin minimum 34 perlawanan semusim untuk setiap pasukan tidak termasuk perlawanan DFB-Pokal dan KNVB Cup.

Di luar Eropah, ianya hampir sama. Primera Division milik Argentina mempunyai 20 pasukan, begitu juga Serie A milik Brazil. J.League di Jepun pula ada 18 pasukan sementara K-League di Korea Selatan terdiri dari 16 pasukan.Di Amerika Syarikat, MLS yang bermula dengan 10 pasukan kini telah berkembang kepada 19 pasukan. A-League di Australia pula walaupun terdiri dari hanya 10 pasukan (kerana ia masih baru dan sedang berkembang seperti MSL satu masa dulu) menetapkan format perlawanan 3 pusingan agar setiap pasukan mendapat minimum 27 perlawanan semusim, tidak termasuk saingan di FFA Cup yang akan bermula tahun hadapan.

Apa kesimpulan dari ini semua? Kesimpulannya ialah setiap badan induk bola sepak di negara yang disebut tadi sedar bahawa seorang pemain pro dan sebuah pasukan pro perlu bermain perlawanan kompetitif secukupnya dalam setiap musim.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah pemain tempatan yang dikatakan pro dan pasukan tempatan yang turut dilabelkan pro, dapat bermain jumlah perlawanan secukupnya seperti mana pemain dan pasukan pro di negara lain?

Jika diikut pada musim lepas, Liga Super kita terdiri dari 14 pasukan yang bermain dua pusingan perlawanan untuk memberikan setiap pasukan 26 perlawanan liga semusim. Selain dari itu ada perlawanan Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk pasukan yang layak.

Terengganu merupakan pasukan yang paling banyak bermain perlawanan kompetitif sepanjang musim 2011. Sejumlah 26 perlawanan Liga Super, 7 perlawanan Piala FA dan 11 perlawanan Piala Malaysia untuk jumlah sebanyak 44 perlawanan kompetitif semusim. Tetapi ini hanya untuk Terengganu yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Tetapi bagaimana dengan pasukan yang nasibnya tidak seperti Terengganu?

Perlis adalah contoh terbaik. Pasukan tercorot Liga Super untuk musim 2011 ini bermain sebanyak 26 perlawanan Liga Super, hanya 1 perlawanan Piala FA (kalah 2-0 kepada Felda United di pusingan pertama) dan tidak layak bermain dalam Piala Malaysia. Jumlah perlawanan semusim buat Singa Utara ialah 27 perlawanan sahaja. Inilah jumlah perlawanan kompetitif yang ditempuh oleh pasukan pro bernama Perlis sepanjang 2011. Dan buat pemain pro skuad Singa Utara, yang kita tahu tidak ada seorang pun berjaya menyarung jersi Harimau Malaya sekaligus tidak mempunyai peluang bermain perlawanan antarabangsa, mereka semua hanya turun padang untuk 'bekerja' kurang dari 30 kali setahun.

Senario Perlis ini adalah senario sebuah pasukan Liga Super (yang bakal menjadi sebuah pasukan Liga Premier musim depan). Bagaimana pula dengan nasib pasukan Liga Premier sedia ada yang terdiri dari hanya 12 pasukan dengan 22 perlawanan liga semusim? Nasib pasukan seperti Sinar Dimaja Mai Sarah FC (aku sehingga hari ini masih kagum dengan nama pasukan yang langsung tidak komersil ini!) yang bermain 22 perlawanan liga dan hanya 1 perlawanan Piala FA untuk jumlah 23 perlawanan kompetitif dalam satu musim!

Kesimpulannya dari senario bola sepak domestik Malaysia ini adalah mudah. Sebuah pasukan perlu menjadi seperti Terengganu pada musim lepas, yakni bermain dalam Liga Super, bermain hingga ke perlawanan akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk mendapatkan sejumlah 44 perlawanan kompetitif. Dan itu pun ia masih kurang 1 perlawanan dari kadar purata 'standard' yang boleh kita sasarkan untuk mana-mana pasukan pro di seluruh dunia.

Terengganu FA - 44 perlawanan sepanjang musim 2010 dan masih ada yang mengadu letih

Tapi kalau bermain terlalu banyak perlawanan, bukankah pemain akan keletihan?

Itu soalan yang selalu dibangkitkan khususnya di Malaysia. Dan juga alasan yang kerap digunakan oleh jurulatih dan pemain khususnya selepas mereka kalah dalam satu perlawanan antarabangsa. Ketika negara bola sepak lain sedang sibuk mencari jalan meningkatkan kecergasan pemain supaya mereka boleh bermain jumlah perlawanan semaksimum mungkin di Malaysia kita masih lagi mencari jalan untuk kurangkan perlawanan supaya pemain tidak letih. Ini saja sudah jelas menunjukkan mentaliti bola sepak kita yang mundur.

Seorang pemain pro bergelar pro kerana itulah profesion mereka dan kerana mereka berstatus profesional. Pekerjaan seorang pemain bola ialah bermain bola. Jika seorang pekerja ladang kelapa sawit dikehendaki turun menombak sawit di ladang sekerap mungkin dalam setahun maka seorang pemain bola yang berstatus pro juga dikehendaki turun ke padang sekerap mungkin dalam semusim. Dan dalam bola sepak era moden kekerapan ini adalah pada purata 35 kali dalam satu musim.

Begitu juga untuk sebuah pasukan pro. Tidak ada gunanya menubuhkan sebuah pasukan bola profesional jika ianya turun beraksi di padang kurang dari 30 kali dalam satu musim. Gaji yang lumayan dibayar kepada pengurus, jurulatih serta pemain setiap bulan tetapi sayangnya pasukan dengan kos pengurusan yang tinggi ini hanya beroperasi kurang dari 2700 minit dalam satu musim.

Telah aku bangkitkan hampir 3 tahun sebelum ini bahawa Liga Super dan Liga Premier kita perlu mempunyai paling kurang 18 pasukan setiap satu. Dengan ini setiap pasukan dijamin minimum 34 perlawanan kompetitif di peringkat liga dan tambahan beberapa perlawanan di Piala FA dan juga Piala Malaysia bagi yang layak. Ini adalah jumlah pasukan dalam satu liga yang ideal untuk kita mencapai sasaran jumlah perlawanan yang ideal untuk seorang pemain dan sebuah pasukan berstatus pro.

Tetapi, belum pun sempat sasaran itu dicapai sekali lagi FAM tampil dengan idea 'bernas' merombak struktur Liga Super musim 2012 dengan cadangan untuk mengurangkan jumlah pasukan bertanding.

Alasan yang diberikan ialah demi meningkatkan wibawa dan memartabatkan sukan bola sepak di negara ini.

Bincangkan.

Amboi, Amboi, Amboi, Europa League!






"I don't want to be one of the Chelsea players today, I couldn't play this game, it's difficult game for them"
"Whenever I watch him play, to me David Luiz looks like he's being controlled by a 10 year old on a PlayStation"








Kui, kui, kui!







Kui, kui, kui!

Tahukah Anda, Dispendarkan?



Gambar di atas diperolehi dari sumber yang dirahsiakan dan mengikut maklumat tidak rasmi, ianya adalah kerja seorang Ultra.

Selaku penulis buku, aku agak kecewa dengan insiden ini. Bukan kecewa sebab Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia telah dispendarkan, tetapi kecewa kerana ada Ultra yang memakai spendar Minnie Mouse kaler krim.

Harap ketua Ultra bertindak segera dan menasihatkan anak buah beliau untuk tidak lagi memakai spendar Minnie Mouse sebaliknya belilah spendar yang ada corak rimau belang gitu.

Sementara itu, cetakan ketiga Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia bakal berada di kedai-kedai buku berhampiran anda dalam tempoh terdekat ini. Belilah segera sebelum ianya habis diborong oleh pihak Ultra yang mungkin selepas ini mahu buat upacara bakar buku pula.

Kepada Ultra Minnie Mouse, terima kasih di atas promosi percuma!

Footie Friday: Puak Penyokong Di Malaysia




Ini abang Mansor Abdul Khoni, jika tak silap aku orang panggil dia Tok Mo. Siapa rajin tengok acara sukan yang melibatkan Malaysia pasti perasan Tok Mo ini, dengan kompangnya, bendera Malaysia dan perangai tak reti duduk diam. Baik menang atau kalah, main bagus atau bangang, Tok Mo tidak pernah berputus asa memberi sorakan. Penglibatan Tok Mo dalam karier menjadi tukang sorak Malaysia untuk semua jenis sukan ini sudah bertahun lamanya. Malahan jauh lebih lama sebelum istilah Ultras dikenali oleh awek-awek Facebook atau makcik Felda. Tapi apa yang pasti, Tok Mo bukan Ultras walaupun ciri-ciri beliau boleh dikatakan sama macam kebanyakan Ultras (kecuali bab usia). Sebaliknya Tok Mo bernaung di bawah kumpulan bernama Famemas.


Ya, Famemas. Kelab penyokong Malaysia ini diasaskan sejak tahun 2002, diperakui oleh Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara serta sentiasa aktif memberikan sorakan kepada pasukan Malaysia baik dalam acara sukan apa sekali pun khususnya ketika Sukan SEA. Famemas akan terbang bersama kontinjen atlit Malaysia, berkampung di sana sepanjang Sukan SEA berlangsung dan menonjolkan diri dalam hampir semua acara sukan. Atas sebab itu, ahli Famemas kebanyakannya mereka yang berkemampuan untuk mengeluarkan belanja tinggi semata-mata menjadi penyokong selain dari kelab ini menandatangani perjanjian tajaan dengan pihak swasta. Famemas ini vokal, tapi vokal mereka sekadar lantang memberi sokongan ketika perlawanan. Nak vokal pasal masalah sukan atau memberi kritikan mungkin tidak sangat.



Kemudian selain dari Famemas ada pula kelab penyokong yang sepenuhnya milik swasta, seperti Team Malaysia yang ditaja oleh TM. Bayar yuran keahlian, dapat baju seragam dah boleh jadi ahli Team Malaysia dan peluang berlakon dalam iklan TV. Lagi senang kalau diri sendiri itu kakitangan TM. Oleh kerana di belakangnya ialah sebuah syarikat telekomunikasi gergasi, Team Malaysia dapat bajet yang cukup untuk pergi Sukan SEA macam Famemas. Dan seperti mana Famemas itu dilihat agak kerajaan, Team Malaysia dilihat agak korporat dan ini membuatkan sebilangan besar rakyat Malaysia yang anti berpersatuan tidak berminat dengan kelab sebegini. Atas sebab itu juga Team Malaysia ini dilihat tidak sebulu dengan Ultras Malaya yang cukup anti dengan benda-benda kapitalis ini, selain dari kedua puak ini sejak kebelakangan dilihat selalu bersaing di stadium ketika perlawanan bola.



Majoriti penyokong Malaysia ialah yang begini. Apa yang aku katakan sebelumnya sebagai 'the silent majority' dan hanya bising bila gol dijaringkan atau pemain Malaysia beraksi secara bangang. Tengok brader yang pakai jersi Malaysia itu, tak lain dan tak bukan mesti tengah maki pemain Malaysia. Brader (ke akak?) jersi Chelsea sebelah dia pula jenis yang mungkin tak peduli pasal bola Malaysia tapi lebih prihatin dengan bola Inggeris. Dia turun stadium pun sebab masa itu Chelsea datang lawan Malaysia di Stadium Shah Alam. Mereka inilah yang orang katakan 'bersorak ketika menang tetapi tidak menyokong ketika kalah'. Habis nak buat macam mana, dah pilihan hidup mereka begini.


Tetapi ada juga yang masih suka berpersatuan, khususnya dalam kes bola sepak peringkat negeri. Mereka ini ahli-ahli kepada persatuan penyokong negeri dan pada masa yang sama juga mungkin ahli JKKK atau Belia 4B dan tak mustahil juga ahli UMNO berdaftar. Ini adalah kelompok penyokong yang telah wujud sejak zaman Semi Pro lagi. Kecenderungan mereka ialah untuk memukul rebana atau kompang sepanjang perlawanan, juga menggunakan bateri yang berkuasa selama 90 minit. Persatuan sebegini juga lazimnya akrab dengan persatuan bola sepak negeri selain biasa bergesel bahu dengan YB yang juga ahli majlis pimpinan persatuan bola sepak negeri.


Untuk persatuan penyokong ini juga, jika pasukan bola sepak negeri mereka berjaya, kecenderungan mereka ialah untuk memuja-muja YB selaku presiden persatuan bola sepak negeri. Ini selalunya dizahirkan melalui kain rentang 'glossy' dengan muka YB tersebut ditempek sebesar alam. Bajet untuk kain rentang mahal sebegini tidak mustahil datang dari poket YB sendiri atau tabung cawangan UMNO terlibat sementara tempahan kain rentang mestilah dibuat di syarikat Bumiputera yang dimiliki oleh salah seorang ahli UMNO cawangan tersebut.



Kemudian, ada pula kelompok yang sebegini. Ya jenis yang jangan dibuat main dalam hal ehwal bola sepak. Mereka ini boleh saja terdiri dari ahli persatuan penyokong atau kelompok 'silent majority' tadi. Tapi sekali bila dah panas, mereka tidak teragak-agak untuk mengkepala bana sesiapa pun. Ini baru tahap keluar kain rentang bajet ciput. Lagi 'real' punya marah ialah bila baling botol atau bakar mercun. Tahap 'dewa' punya marah pula boleh membawa kepada bakar stadium. Tapi terus terang, maki hamun boleh lagi diterima tapi baling botol, bakar mercun atau bakar stadium itu dah dikira bangang namanya.



Namun ada juga jenis yang tenang, penyabar dan sudah cukup gembira kalau dapat ke stadium untuk makan kuaci atau burger. Mereka ini ialah Ultras Kuaci atau Ultras Burger. Bersorak ketika menang, makan kuaci ketika semua pemain sedang menggaru telor di padang dan mungkin pulang awal kalau dah jenis tak ada harapan nak menang. Amat sukar dilihat ketika zaman gelap bola sepak Malaysia. Tetapi bila dah mula ada cerah sikit-sikit masa depan bola negara mereka ini akan kembali rajin turun ke stadium sekaligus mengukir senyuman di wajah akak jual kuaci atau brader jual burger.



Samalah juga dengan satu lagi kelompok penyokong yang boleh dikatakan baru muncul ini. Iaitu Ultras Awek. Dahulu sangat sukar dilihat tetapi kini seperti sudah menjadi kebiasaan di stadium. Mungkin satu masa dulu kecenderungan mereka sekadar menyarung jersi Manchester United dan menemani boyfie mereka yang ala-ala David Beckham atau Cristiano Ronaldo ke Hartamas Square untuk bola sepak Inggeris hujung minggu. Tapi kini dengan Manchester United sudah jatuh nombor dua dan pemain paling hensem mereka hanya tinggal Shrek Rooney, para gadis beralih arah ke Harimau Malaya, Apex dan juga adik Nazmi Faiz. Kaedah sokongan mereka ialah bertepuk-tepuk ketika Apex menangkap bola atau menggigit jari bila adik Nazmi Faiz dijatuhkan pihak lawan. Mereka juga cenderung bergambar ketika perlawanan supaya ada gambar untuk dimuat naik ke Facebook nanti. Tak kisahlah, sekurang-kurangnya ada bahan cuci mata untuk Ultras Kuaci dan Ultras Burger.



Bercakap pasal Manchester United tadi, kita tidak boleh lari dari HarimauMalaya.Com (HMC). Bagi yang telah mengikuti bola Malaysia lama sebelum zaman Piala AFF 2010 pasti tahu tentang HMC. Bermula dengan hanya beberapa kerat, HMC mula dikenali ramai apabila mereka buat gila dengan menyarung jersi hitam kuning Malaysia ketika Manchester United turun ke Bukit Jalil pada tahun 2009. Sekali pun berdepan puluhan ribu rakyat Malaysia keturunan Manchester, HMC tetap lantang memberi sokongan sehingga pemain macam Ari Yahyah pun boleh menewaskan Edwin van der Sar dan Ben Foster. Mengikut sumber tertentu asalnya Ultras Malaya bersekutu dengan HMC sejak tahun 2007, tetapi pada tahun 2010 berlaku perpecahan di antara HMC dan Ultras Malaya akibat perbezaan ideologi dan hari ini kedua-dua entiti telah membawa haluan masing-masing.



Dan yang terakhir sekali, tidak lain dan tidak bukan ialah Ultras Malaya. Dari hanya beberapa kerat ketika tahun 2007 dan sewaktu Harimau Malaya dikepala banakan dalam Piala Asia, kini suku-sakat Ultras telah bercambah malahan turut wujud di kalangan penyokong pasukan negeri. Awalnya tidak diterima oleh kelompok penyokong yang lain, tetapi kini populariti mereka semakin meningkat dengan keupayaan mengumpul bala tentera yang ramai pada setiap perlawanan dan kelantangan mereka di stadium. Seperti Ultras lain di serata dunia, Ultras Malaya adalah penyokong yang radikal dan fanatik. Tetapi radikal-radikal mereka pun masih belum mampu menurunkan Sultan Bola dari takhta kesultanan bola sepak FAM.

Ya, masih belum ada siapa mampu melawan daulat Sultan Bola sebenarnya.

Aku terpaksa gunakan banyak gambar untuk artikel kali ini kerana berdasarkan pengalaman aku, orang Malaysia (baca Melayu) menghadapi masalah untuk memahami hatta sepotong ayat yang lebih dari 10 perkataan. Sebab itu dalam artikel aku sebelum ini ada yang susah nak faham atau lebih teruk lagi, lain yang dibaca lain yang dia simpulkan.

Pokoknya, dalam hal menyokong bola itu sendiri ianya macam pegangan politik atau agama. Masing-masing nak ikut kepala otak (atau bana) mereka sendiri. Tetapi bila masuk bab kecoh siapa lebih patriotik dan siapa kurang patriotik, selayaknya memang semua elok dikepala banakan saja.

Macam mana dengan Sokernet?

Sokernet adalah pengulas bola sepak bukan penyokong bola sepak. Nampak perbezaan di situ?

Carling Cup: Chelsea 0-2 Liverpool




King: Kahkahkah! Kalah lagi!
Nando: Hehe...


Sementara itu sekumpulan peminat Chelsea (ke penyokong?) didapati meninggalkan Stamford Bridge terlebih awal sebelum wisel penamat ditiup. Harap kumpulan Ultra Chelsea tak akan buat tuduhan mereka yang blah awal sebagai tidak patriotik.








Sementara itu di The Emirates, pasukan kedua Arsenal kalah tipis kepada pasukan kelima Manchester City.

Cerita Malaysia Kempunan Olimpik





Ong Kim Swee kata, "saya tak tahu nak cakap apa".

Tak apa, aku tahu nak cakap apa.

Hal Malaysia kalah kepada Bahrain bukanlah luar biasa. Memang adat pasukan ranking ke-27 Asia kena tapau dengan pasukan ranking ke-13 Asia. 

Yang luar biasa sikit bila Malaysia di depan dengan 2 gol, Bahrain sedang bermain 10 orang dan masa hanya tinggal lagi 10 minit.

Tapi bagi siapa yang arif bagaimana bola sepak Malaysia sentiasa memainkan perasaan kita semua pasti tahu itu pun boleh dikira sebagai tidak luar biasa langsung. Siapa yang tak faham boleh baca buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia untuk bagi faham.

Di sini aku tak perlu cerita pasal kebangangan Malaysia dalam tempoh 10 minit terakhir malam tadi. Tapi aku akan cerita tentang reaksi orang ramai selepas kekalahan yang sebenarnya tidaklah luar biasa.

Aku yakin, kalau arwah Abah aku masih hidup dia juga akan berambus awal dari stadium atau tutup TV malam tadi. Dan Abah aku melayan bola Malaysia ini sejak zaman Isa Bakar membawa ke era Zainal Abidin Hassan. Kalau ada budak-budak Ultra nak cakap kat Abah aku yang dia tak patriotik dan tak Harimau Malaya, aku yakin Abah aku akan salib budak Ultra tadi di puncak tiang lampu limpah Stadium Perak.

Ultra. Kepala bana apa Ultra ini?

Menatang Ultra ini muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir selari dengan apa yang dikatakan kebangkitan semula bola sepak Malaysia. Bermula dari kecil-kecilan ianya kini berkembang luas dengan ahli yang boleh tahan ramai sama seperti mana-mana pergerakan MLM. Dan seperti lazimnya pergerakan MLM, ahli Ultra ini kerap berpakaian hampir seragam dan berhimpun di stadium seperti ahli MLM suka berhimpun di ballroom hotel bukan 5 bintang. Kalau tidak berhimpun di stadium, ahli Ultra mengikut tradisi ahli MLM dengan cuba bermesyuarat di kedai-kedai mamak. Bezanya di sini ahli MLM suka membawa fail serta borang keahlian ke kedai mamak sementara ahli Ultra pula lebih suka membawa mafla dan flare.

Adakah aku ada mempunyai rasa tidak puas hati kepada Ultra ini?

Tidak.

Bagi aku budaya Ultra ini walaupun agak asing pada mulanya tapi boleh kita terima sebagai satu elemen pemodenan bola sepak Malaysia. Rata-rata yang terikut dengan Ultra ini juga pada pemerhatian kasar aku adalah anak-anak muda. Awalnya kurang diterima di stadium kerana perangai tidak reti duduk diam mereka, perlahan-lahan kehadiran Ultra kini diterima oleh kelompok pengunjung stadium lain yang lebih suka duduk diam tetapi bising ketika (I) Malaysia menjaringkan gol, (II) pemain Malaysia dikasari dan (III) pemain Malaysia berperangai kepala bana.

Tapi malam tadi, bila Malaysia bermain bangang pada 10 minit terakhir hingga kalah dan ramai yang berambus awal dari stadium serta ramai pula yang sudah mula memaki hamun di laman sosial seperti Facebook atau Twitter, ada pula kelompok ahli Ultra yang tidak berpuas hati. Tidak berpuas hati kerana penyokong tradisional ini kurang patriotik dan hanya tahu bersorak ketika menang tapi memaki hamun bila Malaysia kalah.

Dan bagi aku ini adalah sangat bangang sebenarnya. Kaedah memberi sokongan adalah tertakluk kepada pilihan masing-masing. Kalau ahli Ultra masih mahu membutakan mata dan terus bertepuk sorak ketika Malaysia kalah itu hak Ultra. Dan kalau orang lain, 'the silent majority' aku katakan, mahu mengkepala banakan para pemain serta mengutuk buruk permainan Malaysia itu juga hak mereka.

Di Sokernet, polisi kami terang lagi bersuluh. Tidak ada berlapik-lapik dalam hal bola sepak Malaysia. Kalau menang agak sukar untuk kami puji, kalau kalah bersiaplah menerima habuannya.

Tak salah nak Ultra bagai, tapi janganlah fikir diri sendiri lagi patriotik sebab berdiri lebih 90 minit permainan berbanding penyokong lain yang berambus keluar stadium sebaik Bahrain menjaringkan gol ketiga.

Tentang cerita Malaysia kempunan ke Olimpik; Ah! Malas dah aku nak cerita. Baca sajalah buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia yang penat aku tulis tu, dekat situ nanti dah boleh faham. Dan aku harap juga budak-budak Ultra boleh baca buku ni supaya terbuka sikit ilmu bola sepak itu jangan sekadar tahu menyanyi di stadium. Barulah nanti boleh faham hati sanubari penyokong bola lain yang jauh di sudut hati memang sayangkan Harimau Malaya (atau Harimau Muda) tapi tidak teragak-agak untuk memberi kutukan yang setimpal di atas permainan bangang yang ditunjukkan.

Akhir kata, aku akhiri dengan ungkapan terbaik oleh Ong Kim Swee di suratkhabar hari ini.

"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya mahu mereka melupakan bola sepak seketika."

Sikap mudah berpuas hati dan mudah lupa ini yang Tun Dr Mahathir tak berapa berkenan sebenarnya.

Footie Friday: Bola Sepak Malaysia & ASEAN






Terlebih dulu tahniah diucapkan kepada skuad Harimau Muda di bawah kepimpinan Ong Kim Swee kerana berjaya merangkul pingat emas Sukan SEA 2011. Ucapan tahniah ini merangkumi setiap lapisan pemain, juga  pegawai pasukan baik yang datang untuk kerja atau yang datang untuk menghabiskan duit bajet yang berlebih.

Hal-hal seperti pemain mana yang kepala bana, yang mana tak layak menyarung jersi Malaysia dan sebagainya kita tolak tepi. Ya, sebana-bana dia pun masih juga dikalungkan pingat emas. Sebana-bana dia pun, bak kata penyokong fanatik Malaysia, masih muncul adiwira penyelamat dengan gol tunggal ke atas Myanmar yang membawa Malaysia ke perlawanan akhir.

Kejayaan memenangi emas bola sepak Sukan SEA 2011 adalah satu pencapaian besar dalam bola sepak Malaysia, sama juga dengan kejayaan menjuarai Piala AFF. Kerana untuk negara yang bola sepaknya masih dunia ketiga macam Malaysia dan pasukan ASEAN lain, ini sajalah kejayaan pentas antarabangsa yang realistik buat kita. Emas Sukan SEA adalah seperti emas Sukan Olimpik, dan Piala AFF itu ibarat Piala Dunia.

Hari ini kita tidak perlu bercerita tentang resepi kejayaan Harimau Muda. Hal ini seperti biasa sudah puas dihebohkan oleh media massa, baik di dada akhbar atau kaca televisyen. Tetapi secara ringkasnya kalau sudah berjuta ringgit dihabiskan untuk ke Slovakia maka hasilnya memanglah paling busuk pingat emas Sukan SEA. Itu tanpa mengambil kira bahawa satu masa dulu FAM tidak perlu pun menghantar para pemain berkampung di negara Eropah semata-mata kerana mengejar pingat emas Sukan SEA.

Persoalannya sekarang setinggi mana prestij pingat emas Sukan SEA atau Piala AFF ini di kancah bola sepak dunia? Adakah dengan status Raja Bola ASEAN benar-benar boleh menjadi kayu pengukur keupayaan Malaysia di pentas Asia kalau tidak dunia?

Thailand pernah pada satu masa dulu mendominasi bola sepak di rantau ASEAN apabila dari tahun 1993 menjuarai pingat emas Sukan SEA selama 8 edisi berturut-turut. Pada waktu yang sama juga skuad senior Thailand muncul juara Piala AFF sebanyak 3 kali. Tapi sepanjang penguasaan 16 tahun ini tidak pernah sekali pun skuad bawah 23 tahun Thailand layak ke Olimpik atau skuad senior mereka layak ke Piala Dunia. Paling hebat dicapai Thailand ialah layak ke Piala Asia sebanyak 5 kali berturutan biar pun kerap dibelasah oleh gergasi Asia seperti Arab Saudi dan Jepun di peringkat kumpulan.

Ini semua berlaku sekali pun era emas bola sepak Thailand ketika itu dibarisi pemain seperti Kiatisuk Senamuang dan Piyapong Piew-on. Thailand diakui sebagai Raja Bola ASEAN tetapi keluar dari rantau ini dan bersaing dalam pentas benua Asia, mereka jelas tidak mampu menandingi kehebatan pasukan dari Timur Jauh atau wilayah Arab. Pentas dunia jangan ceritalah.

Thailand - Pernah menjadi Raja Bola ASEAN tapi pada masa yang sama boleh dijadikan Cerita Thailand Tidak Ke Piala Dunia

Melihat pada senario Thailand ini yang membuatkan kita perlu sedar bahawa menjadi juara di ASEAN adalah sama seperti India menjadi juara Piala SAFF (South Asia Football Federation). Status juara ASEAN itu tidak membawa sebarang makna yang besar melainkan dari menjadi juara di kalangan negara yang pasukan bolasepaknya bangang.

Atas sebab itu sebagai pengikut bola sepak Malaysia yang bukan bermula dari Isnin lepas, atau Piala AFF 2010 atau Sukan SEA 2009, aku dan rakan-rakan Sokernet yang lain menganggap kejayaan Malaysia menjuarai pingat emas Sukan SEA 2011 ini sebagai biasa-biasa saja. Seronok itu memang, dan memang perlu kita merasa seronok dan bergembira kerana seperti yang dikatakan tadi ini sajalah punca keseronokan kita dalam bola sepak. Satu-satunya kejuaraan yang realistik buat Harimau Malaya atau Harimau Muda ialah menjadi juara di kampung sendiri.

Tetapi persoalan berikutnya pula, selama mana kita mahu berpuas hati sebagai juara Sukan SEA dan Piala AFF? Atau adakah kita mahu mengikut jejak langkah Thailand dulu, raja di ASEAN tetapi melukut tepi gantang di pentas Asia?

Ong Kim Swee mensasarkan Olimpik 2012 untuk anak-anak Harimau Muda beliau, tetapi kita tahu ianya sesuatu yang hampir mustahil. K Rajagopal pula meletakkan Piala Asia 2015 sebagai KPI untuk pemain-pemain Harimau Malaya beliau, tetapi dari siri perlawanan persahabatan setakat ini setiap kekalahan telah dilapik dengan ayat manis 'ia pendedahan yang baik untuk pemain negara'. Bagi mereka yang datang ke stadium bukan sekadar untuk membakar 'flare' atau yang menengok bola di kaca televisyen bukan sekadar melihat pemain comel, kita tahu realiti sebenar bola sepak Malaysia.

Realitinya, Malaysia juara ASEAN kerana kita bernasib baik pasukan ASEAN lain lebih sedikit bangangnya dalam bola sepak berbanding pasukan negara kita. Bayangkan jika Australia bertanding dalam Sukan SEA atau Piala AFF, alamat dari Brunei hingga ke Vietnam (ikut susunan abjad) kita semua bakal gigit jari. Harus diingat, Australia adalah negara anggota jemputan khas dalam AFF (ASEAN Football Federation), mereka boleh menyertai semua kejohanan remaja AFF tetapi dinafikan dari kejohanan bertaraf senior hanya kerana semua negara ASEAN tidak berani berdepan dengan Socceroos di atas padang.

Kalau Australia bertanding dalam Sukan SEA atau Piala AFF

Piala Asia 2011 yang berlangsung di Qatar awal tahun ini adalah bukti terbaik di mana duduknya bola sepak ASEAN sekarang. Tidak ada satu pun pasukan bola sepak dari ASEAN yang layak ke Piala Asia 2011. Tidak ada satu pun dari 11 pasukan ASEAN yang wujud hari ini.

Bagi seorang yang pernah merasai saatnya Malaysia menang pingat emas bola sepak Sukan SEA 1989, kejayaan Sukan SEA 2009, Piala AFF 2010 dan terkini Sukan SEA 2011 adalah tidak lebih dari sekadar memberi kepuasan dan keseronokan. Kepuasan dan keseronokan dalam menyokong pasukan negara yang pernah pada satu masa melalui kemarau kejuaraan 20 tahun lamanya.

Tapi sedikit pun ia tidak akan dapat memberi ilusi palsu yang kita sudah mampu untuk paling kurang ke Piala Asia. Kerana hakikatnya di sebalik kebangkitan bola sepak Malaysia ini, kita sebenarnya bangkit di sebuah rantau yang bangsanya bangang dalam bermain bola sepak.

Jadi apa langkah seterusnya?

Kami abang-abang skuad 1989 berharap adik-adik skuad 2011 bolehlah cuba menang benda lain pula

Rangkuman Bola Sepak Sukan SEA 2011




Sukan SEA 2011 telah melabuhkan tirai. Seperti edisi-edisi Sukan SEA sejak beberapa tahun yang lalu, macam biasa tuan rumah muncul juara keseluruhan. Tapi seperti edisi Sukan SEA yang sebelumnya juga, selain dari melihat siapa yang muncul juara keseluruhan, turut dinanti ialah siapa yang memenangi pingat emas bola sepak.

Pingat emas bola sepak, walaupun nilainya sebutir tetapi ia dianggap seperti ibu segala pingat emas. Dan dalam rantau ASEAN yang penduduknya gila bola tetapi pasukan bolanya pula tahap bangang, saingan perebutan pingat emas bola sepak Sukan SEA (selain Piala AFF) adalah sama hebatnya seperti bertanding di Sukan Olimpik (atau dalam kes Piala AFF boleh dikira setanding Piala Dunia).

KEMBOJA (Corot Kumpulan A)

Diundi dalam 'kumpulan neraka', Angkor Warriors seperti biasa mengekalkan rekod tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam Sukan SEA. Kalah semua perlawanan, bolos 16 gol dengan hanya 2 jaringan adalah pencapaian yang dibuat oleh anak buah jurulatih dari Korea Selatan, Lee Tae-Hoon.

Tetapi skuad Kemboja yang turun ini secara majoritinya dibarisi pemain berusia bawah 20 tahun. Dan kalau Malaysia sebagai contoh ada seorang pemain usia 17 tahun bernama Nazmi Faiz, Kemboja pula mempunyai sejumlah 3 pemain yang sebaya Nazmi Faiz. Dan mengikut jangkaan Lee Tae-Hoon, ini adalah skuad muda yang dibentuk untuk persediaan dalam Sukan SEA 2013 nanti di Myanmar.

Pun begitu persoalan utama ialah sama ada Lee Tae-Hoon masih kekal bersama Kemboja dalam tempoh 2 tahun lagi kerana sudah kedengaran cakap-cakap beliau bakal dipecat.


FILIPINA (Corot Kumpulan B)

Setelah skuad senior mereka berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2010, Young Azkals cuba meniru formula yang serupa dengan membina sebuah skuad yang mennghimpunkan diaspora pemain bola sepak keturunan Filipina dari serata dunia.

Dan hasilnya ialah skuad yang dibarisi pemain berpengkalan di Amerika Syarikat, Jerman, Belgium, Sepanyol serta Belanda. Di bawah kendalian jurulatih Jerman bernama Michael Weiss, Filipina bagaimanapun terus membuktikan mereka cuma genius dalam bola keranjang tapi bangang dalam bola sepak.

Kalah 4 perlawanan dan menang hanya 1 ketika menentang Laos membuktikan bola sepak masih jauh ketinggalan di satu-satunya negara ASEAN yang tidak mengiktiraf sukan dunia ini sebagai sukan utama mereka.

THAILAND (Ke-4 Kumpulan A)

Semasa tamatnya Piala AFF 2010 setahun yang lalu, aku ada menekankan bahawa era kegemilangan bola sepak Thailand sudah berada di penghujung. Dalam Sukan SEA 2011 ini skuad Changsuk membuktikan betapa bola sepak Thailand memang berada di zaman gelap.

Setelah mendominasi Sukan SEA selama 14 tahun, Thailand tersingkir awal dalam Sukan SEA 2009. Nampaknya untuk edisi kali ini nasib yang sama juga menimpa Thailand. Malahan lebih teruk lagi, anak buah Prapol Pongpanich hanya menang ke atas Laos Kemboja tetapi tewas di tangan Indonesia, Malaysia dan Singapura sekaligus mencipta rekod terburuk Thailand dalam bola sepak Sukan SEA.

Apa yang pasti, Thailand perlu segera melakukan rombakan dalam bola sepak mereka. Melainkan kalau mereka mahu merasa berada dalam zaman gelap bola sepak macam Malaysia dulu.

Selamat menikmati zaman gelap!


BRUNEI (Ke-5 Kumpulan B)

Seperti lazimnya, Brunei terus kekal sebagai antara pasukan belasahan di dalam rantau ASEAN. Walaupun kaya raya dan mampu menghantar skuad Tebuan Muda berguru bukan sekadar Slovakia, malah mungkin Sepanyol atau England, bola sepak di negara kerdil ini masih kekal di takuk lama.

Anak buah Dayem Haji Ali kalah 3 perlawanan, seri 1 dan menang 1 tetapi mencatatkan bolos 17 gol, rekod bolos tertinggi dalam Sukan SEA 2011. Mereka boleh dikira bernasib baik diundi dalam Kumpulan B yang turut menempatkan pasukan senasib seperti Filipina dan Laos.

Mungkin ada lebih baiknya jika Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam menimbangkan untuk menyertai kembali saingan liga bola sepak Malaysia. Paling tidak ada juga aktiviti bermain bola secara konsisten untuk anak muda Brunei dari menghabiskan duit hasil minyak dengan 'clubbing' di Kota Kinabalu pada hujung minggu.

LAOS (Ke-4 Kumpulan B)

Kejayaan layak ke separuh akhir dalam edisi lalu gagal diulangi skuad Thim Xad kali ini. Terbukti kejayaan dua tahun lepas adalah pencapaian jaguh kampung buat Laos yang pada mulanya dijangka mampu memberi kejutan.

Skuad kendalian Hans Peter-Schaller tampak garang di perlawanan pembukaan apabila tewas tipis kepada Myanmar. Tetapi selepas itu masalah konsistensi menjejaskan rentak Laos apabila hanya seri dengan Brunei dan tewas mengejut pada Filipina. Secara keseluruhannya Laos mencatat hanya satu kemenangan, sari 1 dan tewas 3 perlawanan.

Cuma satu saja berita baik buat Laos ialah kejayaan kapten pasukan, Lamnao Singtao yang muncul penjaring terbanyak Sukan SEA 2011 dengan 6 gol.

TIMOR LESTE (Ke-3 Kumpulan B)

Dalam Sukan SEA 2009, skuad O Sol Nascente kalah semua 4 perlawanan mereka dan bolos 28 gol berbalas hanya satu jaringan tunggal. Kekalahan terbesar dan paling memalukan buat mereka ialah apabila dibelasah 11-0 oleh Harimau Muda.

Hari ini dalam Sukan SEA 2009, O Sol Nascente melakukan kejutan apabila mampu berada di posisi ke-3 Kumpulan B dengan menang 2 dan kalah 3 perlawanan di samping meledak 4 gol berbalas hanya 8 bolos. Jika ada pasukan yang perlu diberi tabik hormat kerana peningkatan luar biasa, inilah dia pasukannya.

Apa rahsia kejayaan Timor Leste untuk meningkat dengan mendadak dalam tempoh 2 tahun?

Jurulatih mereka dari Brazil, Antonio Carlos Vieira ada jalan mudah. Skuad Timor Leste hari ini membariskan beberapa pemain keturunan Timor-Brazil. Antaranya seperti Antonio Marcos Sousa yang bermain untuk kelab Botafogo di Brazil dan Murilo de Almeida yang bermain untuk kelab America FC. Suka atau tidak, Timor Leste boleh diberi jolokan sebagai 'Brazil ASEAN'.

Ini bukan pasukan bola sepak Timor Leste


SINGAPURA (Ke-3 Kumpulan A)

Tanpa pemain import naturalisasi seperti yang terdapat dalam skuad senior mereka, Young Lions tidaklah sehebat mana. Apatah lagi bermain di padang rumput tulen dan bukannya tiruan, anak buah jurulatih dari Serbia, Slobodan Pavkovic kelihatan agak terbatas.

Biar pun berjaya mengikat juara bertahan Malaysia, keupayaan sebenar Singapura terpampang jelas apabila hanya menang tipis Kemboja 2-1 setelah ketinggalan di separuh masa pertama. Kekalahan 2-0 di tangan Indonesia petanda keterbatasan Young Lions dan mereka bernasib baik untuk menang ke atas Thailand yang bola sepaknya sudah pun ke laut.

Namun masih ada harapan untuk barisan pemain Singapura yang sedia ada apabila mereka bakal bersaing dalam liga bola sepak Malaysia musim depan buat menimba ilmu dari pemain-pemain berpengalaman Malaysia. Asalkan jangan terjangkit dengan badi Fakri Saarani.

VIETNAM (Ke-4 Sukan SEA 2011, juara Kumpulan B)

Kalau Sepanyol pernah dilabel sebagai 'world perennial underachiever', skuad Đội tuyển Việt Nam pula memang layak dilabelkan sebagai 'ASEAN perennial underachiever'. Bezanya Sepanyol sudah menamatkan badi 'perennial underachiever' mereka tetapi bagi Vietnam ianya masih berterusan.

Melainkan kejayaan Vietnam Selatan merangkul emas ketika era Sukan SEAP 1959, Vietnam moden hari ini telah layak ke 5 perlawanan akhir dan kalah kesemuanya. Sukan SEA 2011 mencatatkan kisah yang lebih teruk lagi buat pemenang pingat perak edisi lalu. Sekalipun skuad kendalian jurulatih Jerman, Falko Gotz dibarisi oleh pemain berpengalaman dari V-League mereka.

Apabila diundi dalam Kumpulan B ramai pemerhati yang pantas melabelkan Vietnam sebagai pilihan utama untuk muncul juara kumpulan. Ini terbukti benar dengan Vietnam mengganas ke atas pasukan kerdil seperti Timor Leste, Laos, Brunei dan Filipina. Hanya Myanmar berjaya mengikat Vietnam seri tanpa jaringan, tetapi negara komunis ini sudah pun meledak 16 gol untuk menjuarai kumpulan mengatasi pesaing mereka si negara junta tersebut. Malang buat Vietnam apabila lawan mereka di separuh akhir ialah tuan rumah Indonesia.

Dan seperti mana-mana pasukan Vietnam baik dalam Sukan SEA sebelumnya atau Piala AFF, skuad kali ini ketar lutut apabila bermain dalam perlawanan penting. Berdepan Indonesia di Gelora Bung Karno dalam separuh akhir, Vietnam hilang taring ibarat gerila Viet Cong tanpa AK-47. Dua gol Indonesia pada babak kedua cukup untuk meleburkan buruan pingat emas Vietnam. Sekalipun potret Ho Chi Minh diusung masuk penyokong Vietnam ke dalam Gelora Bung Karno.

Harap jangan ada Ultra Harimau Malaya buat kerja gila usung gambar Najib Razak pula


MYANMAR (Gangsa, naib juara Kumpulan B)

Percaya atau tidak, pada tahun 2009 kerajaan junta tentera Myanmar meluluskan satu pelan induk pembangunan bola sepak Myanmar yang antaranya membawa kepada penubuhan Myanmar National League (MNL). Pihak swasta dan orang perseorangan diberi kebenaran untuk menubuhkan kelab profesional dengan syarat dapat menyediakan wang modal secukupnya. Pihak junta bermurah hati memberi insentif seperti pengecualian cukai selama 3 tahun dan kebenaran menggunakan stadium milik kerajaan secara percuma. Suku-sakat Aung San Suu Kyi pantas menuduh tindakan murah hati junta ini sebagai helah pilihanraya.

Helah pilihanraya atau tidak, hari ini MNL telah mula membuahkan hasil buat Myanmar. Di bawah pimpinan jurulatih dari Sweden, Stefan Hansson, skuad White Angels dalam Sukan SEA 2011 adalah produk kelab-kelab profesional Myanmar seperti Ayeyawady United, Naypyidaw FC dan Kanbawza FC. Barisan pemain mereka adalah bintang dan idola dalam MNL, seperti penyerang Kyaw Ko Ko yang bermain untuk Zeyashwemye FC.

Pernah pada satu masa menguasai bola sepak ASEAN dengan nama Burma selaku pemenang pingat emas dalam 4 edisi Sukan SEAP dan layak ke Sukan Olimpik 1972 bersama Malaysia, skuad kali ini bermain agak baik ketika peringkat kumpulan. Mereka muncul naib juara Kumpulan B setelah dipisahkan dengan perbezaan jaringan berbanding Vietnam untuk dikira kurang bernasib baik terpaksa berdepan dengan juara bertahan Malaysia.

Namun harus diakui, dalam pertemuan separuh akhir dengan Malaysia, Myanmar sekali pun agak gugup masih berjaya memberikan persembahan yang tidak kurang hebat. Hanya gol tunggal di minit-minit terakhir oleh kononnya adiwira penyelamat, Fakri Saarani yang berjaya menebus maruah Malaysia dari diheret ke masa tambahan dan kemungkinan penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan penentuan gangsa, keupayaan sebenar Myanmar kembali ditonjolkan dalam pertembungan kembali mereka dengan Vietnam. Stefan Hansson memilih untuk lebih banyak bertahan dan sebaliknya bergantung harap pada serangan balas dalam percaturan taktikal beliau. Ia membuahkan hasil apabila dalam tempoh 90 minit perlawanan Myanmar mengesahkan pingat gangsa milik mereka dengan kemenangan 4-1 ke atas Vietnam.

Bagi bola sepak Myanmar, ia petanda baik kerana Sukan SEA 2013 bakal berlangsung di Myanmar. Untuk Vietnam pula, terbukti amalan mengusung potret Ho Chi Minh ke setiap perlawanan tidak membawa sebarang tuah buat mereka. Mungkin ada lebih baiknya jika mengusung potret Elly Tran Ha.

Ko Ko Krunch


INDONESIA (Perak, naib juara Kumpulan A)

Matlamat Persatuan Sepak bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kancah sepak bola Sukan SEA 2011 ini adalah jelas, menang medali emas lantas menamatkan kemarau 20 tahun mereka. Jika Malaysia bisa menamatkan kemarau emas 20 tahun pada edisi 2009 maka Indonesia juga pasti bisa menamatkan kemarau yang sama.

Untuk itu skuad Garuda Muda kali ini diletak bawah pelatih kepala fenomenal, Rahmad Darmawan. Pernah melatih Persipura Jayapura dan Sriwijaya FC mendapat gelar Liga Indonesia, serta 3 gelar Copa Indonesia bersama Sriwijaya FC menjadikan Coach RD pilihan utama untuk misi keramat sepak bola Indonesia.

Coach RD membina skuad terdiri dari pesepak bola yang kebanyakan sudah hampir melewati had umur 23 tahun serta berpengalaman luas dalam saingan Liga Indonesia. Majoriti dari pesepak bola ini adalah dari provinsi Papua yang sebelumnya memang sudah banyak melahirkan pesepak bola timnas Indonesia.

Garuda Muda selaku tuan rumah bermula garang dalam perlawanan pembukaan dengan membelasah Kemboja 6-0. Rentak cemerlang ini diteruskan lagi apabila dalam perlawanan kedua Singapura dibenam 2-0. Garuda Muda kemudiannya menamatkan perjuangan Thailand yang bermain 9 orang apabila menang 3-1 sekaligus memberi keyakinan di seluruh Indonesia tentang prospek memenangi medali emas.

Namun dalam pertemuan terakhir Kumpulan A berdepan musuh tradisi Harimau Malaya, Garuda Muda tewas tipis 1-0. Lantas meletakkan Indonesia dalam laluan sukar selaku naib juara Kumpulan A kerana berdepan Vietnam di separuh akhir.

Pun begitu, bermain di Gelora Bung Karno, Indonesia tidak berdepan sebarang komplikasi untuk menewaskan 'ASEAN perennial underachiever' 2-0. Gol jaringan penyerang Papua Patrich Wanggai diganda pula kemudiannya oleh rakan seprovinsi, Titus Bonai di minit akhir perlawanan. Sekali lagi Garuda Muda mengatur temu janji dengan Harimau Malaya di pentas akhir GBK.

Gol awal Gunawan Dwi Cahyo pada minit ke-5 ibarat petanda medali emas bakal jadi milik Indonesia. Tetapi Malaysia yang sudah biasa bermain di GBK menyamakan kedudukan melalui Asraruddin Putra Omar pada minit ke-34. Kedudukan terikat hingga ke penghujung masa tambahan dengan kedua pasukan berbalas serangan dan penonton pula ramai yang sakit jantung.

Apabila masuk penentuan sepakan penalti, kelebihan penjaga gol Malaysia dan kekurangan penjaga gol Indonesia menjadi jurang pemisah, sekalipun pada satu masa jurang ini hampir dirapatkan oleh satu susuk bernama Fakri Saarani. Bila Khairul Fahmi menafikan sepakan Ferdinand Sinaga, satu GBK tahu Kurnia Meiga berdepan tugas berat untuk menghalang sepakan kapten berpengalaman Harimau Muda, Baddrol Bakhtiar.

Indonesia hanya mampu berpuas hati memenangi medali perak dan kemarau emas sepak bola Sukan SEA mereka bakal berterusan. Nasib Coach RD masih belum pasti, tetapi barisan Garuda Muda yang ada hari ini majoriti darinya tidak lagi dapat bermain dalam Sukan SEA 2013. Persoalannya adakah PSSI mampu membina kembali skuad yang mantap seperti hari ini dalam tempoh 2 tahun lagi atau kemarau emas sepak bola Indonesia bakal berterusan?

Second best as always


(bersambung)

Satu Lagi Kepala Bana




"Mereka kurang garang dan gagal menggerunkan lawan. Kita akan buat post-mortem apabila balik ke tanah air"
- Jamaluddin Hassan, jurulatih skuad Sepak Bana Malaysia






Tak payah balik tanah air pun tak apa. Post-mortem kepala bana dia!

Malaysia 1-1 Indonesia (4-3 pen) - Edisi Media Pencacai Penjilat Kepala Bana


Malaysia - Raja bola sepak ASEAN


Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara menghadiahkan pingat ibu segala emas buat semua rakyat Malaysia berbilang kaum apabila berjaya menundukkan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua pasukan terikat 1-1 hingga masa tambahan.

Anak buah jurulatih bijaksana Ong Kim Swee membuktikan lawatan sambil belajar mereka ke Slovakia berbaloi dengan aksi persembahan yang mengikut kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mirip seperti zaman emas bola sepak Malaysia dekad 1970-an.

Berdepan hampir 100,000 penyokong fanatik Garuda, skuad Harimau Muda tidak goyah tetapi sebaliknya menanam tekad untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi ketika Sukan SEA 2009.

Tetapi Indonesia terlebih dulu mengasak kubu pertahanan negara dan terlebih dulu di depan apabila Gunawan Dwi Cahyo menanduk bola masuk ke gawang Malaysia melepas penjaga gol tersohor, Khairul Fahmi.

Tetapi ibarat harimau luka, Malaysia bangkit kembali menyamakan kedudukan apabila umpanan kapten berwawasan Baddrol Bakhtiar ditanduk kemas oleh Mohd Asraruddin untuk gol penyamaan Harimau Muda sekaligus melenyapkan sorakan Indonesia di Gelora Bung Karno.

Kedua pasukan terus mengasak hingga ke masa tambahan dengan Indonesia bermatian mengekang pergerakan adiwira Fakri Saarani. Manakala itu setiap percubaan Garuda Muda berjaya dipatahkan oleh barisan utuh pertahanan Malaysia dan ketangkasan Khairul Fahmi di gawang.

Menjelang sepakan penalti, tangan emas Khairul Fahmi berjaya menepis tendangan Ferdinand Sinaga. Kapten Malaysia, Baddrol Bakhtiar kemudiannya menggalas tugas berat di bahu dalam sepakan terakhir tetapi rembatan kencang beliau gagal ditangkap kemas Kurnia Meiga untuk bola bergolek masuk ke gawang.

Kejayaan mempertahankan pingat emas merupakan hadiah terbaik Harimau Muda buat peminat bola sepak Malaysia khususnya Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang sebelum itu berkenan mencemar duli turun bertemu para pemain bagi merestui perjuangan skuad Harimau Muda.


Nota: 

Kalau Sokernet nak tulis berbunga begini memang senang dan boleh saja. Tapi kemudiannya apa beza Sokernet dengan suratkhabar macam Harian Metro, Kosmo! atau Utusan Malaysia? Lebih baik kamu semua baca suratkhabar saja dari baca Sokernet. Baca saja berita sukan yang ditulis oleh wartawan profesional sekaum dengan Rizal Hashim yang dibayar gajinya setiap bulan dan perlu menulis dengan baik untuk menjaga periuk nasi anak bini di rumah. Di situ saja kita sudah boleh nampak kenapa sukan Malaysia khususnya bola sepak selalu ke laut. Kerana yang menulis tidak berani menegakkan yang hak dan menentang kebathilan.


Tapi di Sokernet, para penulis tidak dibayar gaji dan tidak terhutang budi dengan sesiapa pun. Kami tulis sebab minat dan atas sebab itu kami bersuara dengan jujur dan tanpa sebarang batasan.


Ya, Malaysia menang. Tapi apa yang kepala bana tetap kepala bana. Kalau Malaysia menang Piala Dunia sekali pun dan permainan Fakri Saarani masih kepala bana, kami akan kata dia kepala bana.

Tak suka, beli Harian Metro dan baca sampai jadi bangang.

*Nanti dalam Footie Friday aku bagi versi rasmi Sokernet

India Power!




Pemain Malaysia 3: Ya Tuhan, powernya mamat India ni. Guna kepala otak control bola!
Pemain Malaysia 15: Power, power. Tak perlu guna kepala bana macam kita. Boleh terapung!
Sunil Chhetri: Dey macha! Belakang saya tada heran mau main itu Cardiff City. Apa ada hal, macha?

















Syukur, syukur pada Tuhan! Nasib baik Harimau Muda milik OKS menang! Selamat gua untuk sehari dua ni. Melayu kan mudah lupa!

Konfrontasi (Lagi)





Sebenarnya cerita Malaysia lawan Indonesia memang dah jadi kebiasaan sangat. Baik dalam bola sepak atau dalam acara Sukan SEA yang lain. Hari-hari pun kalau kita buka Astro Arena baik dalam acara sukan apa sekali pun, para penonton baik yang di Palembang atau Jakarta akan bising bila berlaku dua perkara sahaja. Pertama bising bersorak bila atlet Indonesia keluar, yang kedua bising mengejek bila atlet Malaysia tunjuk muka.

Perseteruan Malaysia-Indonesia aku anggap memang paling sengit dalam seluruh ASEAN ini. Kalau dengan Singapura pun kita tak macam ni punya teruk. Indonesia kalau dengan Timor Leste pun biasa-biasa juga. Myanmar dengan Thailand yang berperang gajah sebagai Burma dan Siam sebanyak 19 kali beratus tahun dulu sampai jadi Nang Nak dan Bang Rajan pun tak macam ini punya dendam. Sama juga dengan Thailand dan Kemboja yang sekarang masih sibuk berebut kuil. Kemboja yang 33 tahun dulu kena langgar dengan 150,000 askar Vietnam pun tak ada nak kecil hati sampai ke Sukan SEA (tapi itu sebab Vietnam tolong hapuskan Pol Pot dan Khmer Rouge).

Tapi Malaysia dan Indonesia masih terbawa lagi dengan cerita Konfrontasi atau Ganyang. Masih lagi berebut Rendang, Rasa Sayang dan Manohara. Kalau dalam badminton masih nak berebut jadi nombor 2 paling power di dunia selepas China. Kalau dalam silat olahraga tak kisah Vietnam menang pingat emas asalkan Malaysia dan Indonesia boleh berebut pingat perak. Dalam bola sepak pun sama, tak layak Piala Dunia atau Piala Asia tak jadi hal janji dapat menang ke atas satu sama lain. Hatta dalam acara terjun aku tengok Indonesia berusaha mengejek penerjun Malaysia yang memang power dan menang pingat emas walaupun penerjun Indonesia kebanyakannya hampeh (melainkan dalam acara PATI terjun tongkang buat melarikan diri dari pak polisi marinir Malaysia).

Macam pernah aku tuliskan masa zaman Piala AFF 2010 sudah, persengketaan Malaysia dengan Indonesia ini bukan asal dari Sukarno yang mula-mula berteriak 'Ganyang Malaysia!'. Persengketaan ini ribuan tahun dulu punya cerita bermula dari zaman Srivijaya lawan Majapahit. Kalau tak memang tak ada sebab Parameswara lari dari Srivijaya dan mengasaskan Melaka. Tak percaya boleh tanya Sultan Melaka sekarang, Raja Noor Jan Shah.

Oleh kerana itu, ada baiknya juga dalam Sukan SEA ini kita biarkan saja masing-masing meluahkan perasaan yang tersimpan. Biar bersengketa dan bergaduh dalam acara sukan, kalau dipendam lama-lama nanti makin teruk jadinya. Ini lebih baik dari kita berperang balik macam zaman Konfrontasi dulu.

Petang ini di Gelora Bung Karno, pemain bola Malaysia yang masih tak reti nak bersara di harap jangan tertekan. Tak perlu main ART sangat macam Arsenal, cukuplah main bangang-bangang standard ASEAN janji menang. Kalau menang aku jamin kepala Ong Kim Swee berjambul. Kalau kalah siap-siap sajalah untuk dikepala banakan.

Kepala Bana Kau!

Sebenarnya, kalau nak baca cerita bola yang menyebut:

1) Pemain negara janji aksi terbaik
2) Jurulatih negara janji aksi terbaik
3) Pengurus pasukan janji aksi terbaik
4) Setiausaha Agung FAM janji aksi terbaik
5) Tengku Bola janji aksi terbaik
6) Sultan Bola janji aksi terbaik

Kamu semua boleh pakat ramai-ramai pergi kedai beli Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro atau Kosmo!

Aku tak kisah dan aku tak peduli. Duit kau, belanja ikut kepala bana kau!

Tapi kalau nak baca cerita bola yang jujur, yang tak ada ayat-ayat manis dan membodek, yang ditulis oleh kaki bola tanpa mengharapkan satu sen pun sebagai gaji, yang bersedia memberi kritikan kepala bana yang menyakitkan hati, yang tak ada ayat bangang berbunyi 'harap pasukan bola Malaysia berikan aksi terbaik' macam surat khabar lain selalu tulis, kau boleh buka dan baca Sokernet.

Satu sen pun tak perlu bayar pada Sokernet.

Sekian untuk waktu ini, aku ada kerja hakiki nak diselesaikan selaku seorang pegawai ekonomi. Yakni macam mana nak selamatkan padang bola di kampung dari dirembat tauke resort 5 bintang. Celaka apa sebagai pegawai ekonomi nak masuk mesyuarat pertahankan padang bola?

Nanti kita cerita lebih panjang.












Sekadar gambar hiasan

Kenapa Mesti Dikepala Banakan?



Semalam selepas Malaysia seri dengan Singapura, sidang Sokernet telah sebulat suara mengutuk, mengeji, mencaci, menghina dan mengkepala banakan barisan pemain Harimau Muda.

Namun ada beberapa kutu yang kurang faham dengan tindakan sebulat suara Sokernet mengkepala banakan Harimau Muda. Mereka mengungkit-ungkit cerita tahun lepas atau dua tahun sudah bila Harimau Malaya dan Harimau Muda menang Piala AFF dan pingat emas Sukan SEA sekaligus dipuja oleh Sokernet.

Celaka. Dah menang mestilah dipuja, tak akan hendak dikepala banakan pula?

Dalam bola sepak, apabila kita menilai dan memperati permainan satu-satu pasukan, kita akan berakhir dengan salah satu dari 4 kesimpulan berikut:

1) Main cantik dan keputusan cantik - macam Manchester City
2) Main cantik tapi keputusan bangang - macam Arsenal
3) Main bangang tapi keputusan cantik - macam Chelsea
4) Main bangang dan keputusan bangang - macam Pahang

Perlawanan Malaysia lawan Singapura semalam layak dikategorikan dalam pilihan ke-4. Yakni main bangang dan keputusan juga bangang. Aku boleh terima lagi main cantik keputusan bangang  (macam masa Malaysia kalah 3-0 pada Jerman Barat dalam Olimpik 1972) atau main bangang keputusan cantik (macam masa Malaysia menang pingat emas Sukan SEA 2009 mengalahkan Vietnam 1-0). Tapi kalau main bangang dan keputusan bangang, memang layak kita kepala banakan saja.

Benda ini tak perlu nak cerita susah payah sangat. Siapa yang tengok perlawanan semalam dah boleh tahu tinggi mana tahap bangangnya Malaysia (dan Singapura). Aku yang terlelap dekat 2 ke 3 kali depan TV pun tahu bangangnya Malaysia (dan Singapura) semalam. Siapa yang tak tengok dan takat tahu keputusan 0-0 lepas tu kata 'okay apa?', dia termasuk dalam kategori bangang dan boleh kita kepala banakan sama.

Kesimpulannya, kita bukan lawan dengan Jepun semalam. Kita lawan dengan pasukan bola sepak ASEAN lain yang rata-ratanya semua bangang. Dalam seluruh ASEAN sekarang ini tak ada satu pun negara yang reti main bola. Mana pernah ada pasukan bola sepak ASEAN menang Piala Asia pun? Tapi kalau menang Piala AFF dan pingat emas Sukan SEA memang bersepah.

Jadi kalau bermain satu padang dengan Singapura pun boleh terserlah kebangangan Malaysia semalam, jangan haraplah nak pergi Piala Asia. Piala Dunia lagilah jangan berangan. Itu baru lawan Singapura yang bola sepaknya sama bangang macam kita. Lainlah lawan Jepun atau Jerman atau Argentina ke, bolehlah dimaafkan juga kalau Malaysia berperangai bangang.

Kalau begitulah tahap permainan yang ditunjukkan selepas pergi mengaji sampai ke Slovakia tu, aku pun setuju dengan Pipiyapong, eloklah ramai-ramai pakat bersara je. Umur pun rata-rata masih bawah 23 tahun, sempat lagi nak kejar sijil kimpalan Institut Kemahiran Belia Negara.
























Sekadar gambar hiasan

Jika FAM Bubar


Pada satu hari biasa biasa di mana yang tua sibuk beribadat di rumah mahu masuk syurga, yang separuh tua sibuk di pejabat mahu bayar bil, yang muda tak habis-habis berasmara kerana belum dapat dan yang kanak-kanak semakin obes di hadapan TV dan komputer, muncul satu susuk yang tidak asing lagi di kaca TV. Dengan kepala bersongkok,Sultan Bola ingin membuat satu pengumuman yang penting lagi mendebarkan. 
“Beta dengan ini mengisytiharkan Harimau Malaya dilupuskan dan semua liga bola sepak tempatan dibubar dan dihentikan serta-merta. Semua pemain bola sepak boleh balik kampung tanam jagung,” titah Sultan Bola. 
Maka terhenti terus pekerjaan seluruh rakyat Malaysia. Semuanya hairan berkerut-kerut kening tertanya-tanya. Semuanya melopong tak tentu hala. Belum dan 5 minit, semuanya sambung kerja seperti biasa.Yang beribadat - sambung bersila, yang bekerja - sambung menjenguk Facebook, yang berasmara - sambung membelek teman masing-masing dan yang kanak-kanak sambung baring sambil mengunyah. 
Pemain-pemain bola sepak yang buat-buat terkejut pula, bagai lembu pulanglah mereka ke kampung halaman masing-masing. Yang mendengar cakap pergilah dia menanam jagung. Yang pandai bercakap mulalah dia cuba-cuba menjual insurans. Dan yang banyak cakap, terus sibuk dia berpersatuan menuntut pampasan itu dan ini akibat tak pernah menyimpan. 

Mengikut catatan cerdik pandai sejarah, 25 tahun selepas kejadian 'Sultan Bola kepala bersongkok keluar TV', pasukan bola sepak Malaysia bermain hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia. Beberapa bulan selepas itu, Lucius Maximus berjaya menyiapkan penulisan buku Cerita Malaysia Ke Piala Dunia. Ianya menjadi 'best seller' selama 12 bulan berturut-turut di MPH, Kinokuniya, Popular dan beberapa toko buku mamak yang lain.

Itu cerita kalau 'Sultan Bola kepala bersongkok keluar TV' untuk umum bola sepak tempatan bubar. Tapi setakat hari ini Sultan Bola sekadar keluar TV untuk umum harga tiket bola RM50 masih murah berbanding harga tiket bola di negara lain. Jadi kita tahu Malaysia memang tidak akan ke Piala Dunia walaupun dalam tempoh 25 tahun lagi.

Atas sebab itu buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia ditulis, bukan yang sebaliknya. Atas sebab itu jugalah malam ini ramai-ramai kita perlu berbondong ke Rasta TTDI pada jam 8 untuk membeli buku yang berharga RM20 senashkah ini, kerana ianya jauh lebih murah dari harga tiket bola yang dijual FAM.

Siapa yang masih ragu-ragu, masih berkira-kira atau masih belum membudayakan amalan membaca, sila beringat bahawa hanya 50 nashkah terhad buku ini dicetak!


Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia
Rasta TTDI 8 malam
RM20 senashkah

"Seperti yang dijangka, Malaysia ghairah memburu gol dan kami hanya perlu menunggu sebarang kesilapan pihak lawan untuk melancarkan serangan balas" - Carlos Alberto Perreira

"Saya telah melakukan tugas saya sebaik mungkin. Saya tidak pernah menipu sesiapa mahu pun memperdaya sesiapa juga" - Frank Lord

"Mungkin para pegawai boleh memberikan saya rehat panjang dan lupakan saja tentang Seoul" - Shebby Singh

"Korea Selatan ibarat berada di atas pokok menanti untuk gugur. Malaysia mampu menggoncang mereka hingga jatuh" - Trevor Hartley

"Dunia belum berakhir" - Sultan Bola

CHEL53A!





Untuk brader-brader Chelsea semua, boleh baca artikel berikut ini untuk sedapkan hati:



Yang mana Arsenal tu tukar Chelsea, Arsene Wenger tukar Andre Villas-Boas dan seterusnya.

Jangan gelabah. Rilek dan buat-buat biasa je. Ada orang lain dah kena sampai 6 biji, yang 8 biji pun ada.

Apa ada hal?

Liverpool 1-1 Norwich City






"There are people questioning Luis Suárez’s integrity but it is their integrity that needs questioning" 
- Kenny Dalglish

Abang Perancis










Untuk perlawanan Piala Dunia Ragbi 2011, aku dah sedia dengan jersi zaman 2007, walaupun tahu tanpa Sebastien Chabal susah Les Bleus nak kalahkan All Blacks.

Tapi ada ada hal? Kalau asyik nak sokong All Blacks tak ada thrill bak kata orang. Sama macam sokong Liverpool, sokong sebab dulu-dulu kelab ni power katanya.

27 Ogos 1972: Jerman Barat 3-0 Malaysia



Jersi hitam kuning Harimau Malaya dan hitam putih Die Mannschaft di dalam satu padang - Benda yang mungkin kita tidak akan dapat lihat lagi seumur hidup kita


Sabtu malam Ahad lepas, ketika rakyat Malaysia masih sibuk berbincang kenapa Alex Ferguson tidak masukkan Rooney dan Chicharito dari awal, atau benarkah Evra dan Suarez mengeji satu sama lain, atau mungkinkah Giggs sayang 'telor' dan sama ada tendangan gol Gerrard adalah genius atau tidak disengajakan, sambil pada masa yang sama berkemungkinan pula melayan perlawanan Manchester City dan Aston Villa, RTM melalui TV1 dengan senyap-senyap menayangkan satu perlawanan bolasepak klasik.

Siaran perlawanan 39 tahun sudah itu adalah pertemuan di antara Jerman Barat (sekarang Jerman) dan Malaysia dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman Barat. Menurut dari rakaman klasik RTM tersebut, siaran ini adalah 'siaran terus menerus TV Malaysia dari Munich melalui satelait bumi Kuantan'. Satelit (satelait ini ejaan lama) bumi Kuantan terletak berdekatan pantai Beserah, mula dibina pada 1967 dan siap sepenuhnya pada 4 April 1970 dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Kalau tidak kerana 'satelait bumi Kuantan' ini memang tidak dapat abah-abah kita dulu nak layan bolasepak Olimpik 1972.

'Satelait bumi Kuantan' ini juga bolehlah dikira satu-satunya sumbangan negeri Pahang terhadap bolasepak Malaysia. Sultan Bola dan Pipiyapong pula bukanlah sumbangan tetapi lebih kepada sumbang mahram terhadap bolasepak Malaysia.

Satu-satunya sumbangan Pahang terhadap bolasepak Malaysia

Pertemuan Jerman Barat dan Malaysia berlangsung pada 27 Ogos 1972 di Olympiastadion Munich. Olympiastadion Munich ini memang dibuat khusus untuk Sukan Olimpik, siap sepenuhnya pada 26 Mei 1972. Walaupun bukan perlawanan bolasepak pertama, tetapi pertemuan Jerman Barat dan Malaysia boleh dikira sebagai perlawanan kompetitif pertama di stadium keramat ini. Keramat kerana dua tahun selepas Olimpik, Jerman Barat menjulang Piala Dunia 1974 di Olympiastadion Munich dengan menewaskan Belanda 2-1.

Olympiastadion Munich - Malaysia lawan kompetitif pertama Jerman di stadium keramat ini

Perlawanan Jerman Barat dan Malaysia dihadiri lebih kurang 60,000 penonton di stadium dan disiarkan secara langsung ke serata dunia. Armando Marques dari Brazil menjadi pengadil perlawanan. Arbitro brasileiro ini bagi siapa yang tidak tahu merupakan pengadil paling tersohor dan kontroversi dalam sejarah bolasepak Brazil. Bahawa perlawanan Malaysia pernah diadili oleh pengadil lagenda Brazil adalah juga satu penghormatan.

Satu-satunya pengadil Brazil yang pernah ditulis buku tentang kariernya - O Mito (The Myth)

Bolasepak Olimpik zaman itu terbuka hanya untuk pemain bertaraf amatur. Jadi pasukan Jerman Barat yang berdepan Malaysia dibarisi oleh pemain amatur. Pun begitu ada dari mereka yang kemudiannya muncul pemain profesional dan kebangsaan Jerman, seperti Ronald Worm (MSV Duisburg), Manfred Kaltz (Hamburger SV) dan Uli Hoeness (Bayern Munich), sementara Ottmar Hitzfeld (FC Basel) pula kini dikenali sebagai antara pengurus bolasepak terbaik Eropah. Apa ada hal, pemain kita zaman itu pun semuanya amatur juga.

Malaysia di bawah kendalian jurulatih Jalil Che Din bermain dengan yakin dan tidak goyah sekali pun di stadium yang padat dengan mamat dan minah Jerman. Menjaga gawang ialah Wong Kam Fook yang cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya Jerman Barat ("Wong Kam Fook melentik sungguh cantik tadi menyelamatkan bola"). Barisan pertahanan dengan tonggak utamanya Soh Chin Aun dan Namat Abdullah tidak teragak untuk menghalang sebarang cubaan membawa bola masuk ke dalam kotak penalti Malaysia sementara Abdullah Othman dan Mohammed Chandran cemerlang sebagai fullback yang menyokong jentera serangan.

Namat Abdullah & Soh Chin Aun - Jaket Namat Abdullah tu, siapa ada memang boleh jual harga RM10,000 di eBay

Malaysia mengekang Jerman Barat tanpa sebarang jaringan dalam separuh masa pertama. "Para penonton tidak berpuas hati dengan cara permainan Jerman Barat," kata pengulas RTM. Malaysia juga sekali-sekala mengasak pertahanan Jerman Barat, khususnya bila Looi Loon Teik dimasukkan pada minit ke-61 dan banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan di sebelah kanan.

Pun begitu Malaysia berdepan beberapa kesukaran, khususnya ketika merebut bola di udara. Seperti kata pengulas, "hantaran lambung tapi sayang pemain Jerman lebih tinggi" dan "Salleh menggelecek bola itu depan pintu gol Jerman Barat, hantaran tapi pemain kita susah mendapat bola tinggi". Faktor fizikal menjadi penghalang utama. Juga masalah rumput yang berbeza, seperti kata pengulas "rumput di sini lebih tebal dari rumput di Malaysia, sepakan leret mestilah kuat", menghalang Malaysia dari bermain hantaran pendek.

Jerman Barat akhirnya berjaya menggunakan kelebihan mereka dan mula menghasilkan gol melalui Ronald Worm (56), Juergen Kalb (71) dan Rudolf Seliger (82). Malaysia beberapa kali cuba bangkit, Mohammed Chandran bermain secara lebih ofensif sambil Wan Zawawi dan Hamzah Hussein (yang masuk menggantikan Wong Choon Wah) banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Jerman Barat. Malahan pada satu masa pemain Malaysia mampu melakukan 10 hantaran satu sama lain di tepi kotak penalti lawan! Jerman Barat bernasib baik kerana bolasepak zaman itu membenarkan back-pass kepada penjaga gol, maka seperti biasa mereka menggunakannya untuk membuang masa.

Soh Chin Aun - Tidak sayangkan telor macam Ryan Giggs

Walaupun kalah, secara keseluruhan permainan Malaysia di Olimpik 1972 ini aku berani katakan 100 kali lebih bagus dari permainan Malaysia hari ini. Pakcik-pakcik 1972 ini nampaknya tahu apa itu istilah 'penguasaan bola' dan 'hantaran tepat'. Ada kalanya mereka bermain satu unit, menyerang dan bertahan secara bersama. Sampaikan aku merasakan bahawa Total Football sebenarnya dicipta oleh Malaysia (dua tahun kemudian di Olympiastadion Munich, Belanda menunjukkan permainan yang serupa dalam Piala Dunia). Yang pasti penyakit seperti 'tendang ikut arah telor' memang tidak wujud di kalangan pemain.

Begitu juga dengan mutu ulasan oleh pengulas zaman itu yang aku tidak tahu namanya. Yang pasti beliau mengulas dengan tenang dan tidak merapu. Setiap perkataan dan ayat disebut dengan jelas, setiap aksi diperincikan sebaik mungkin. Tak macam ulasan merapu Astro Arena.

Skuad Malaysia yang terbang ke Munich turut membawa bersama mereka seekor anak harimau milik Zoo Negara bernama Tuah II.  Tuah II adalah maskot dan haiwan peliharaan skuad Malaysia. Selesai Olimpik 1972, Tuah II telah dihadiahkan kepada Zoo Munich.

Pemain Malaysia dulu bawa harimau, pemain Malaysia sekarang?

Bagi aku, perlawanan Jerman Barat-Malaysia dalam Olimpik 1972 ini bukan sekadar bolasepak klasik, tapi satu kemuncak sejarah penting negara. 27 Ogos 1972 ini adalah tarikh keramat, Malaysia menentang kuasa besar bolasepak dunia. Kita kena sedar, hari ini mustahil sudah untuk Malaysia bermain menentang Jerman dalam bolasepak. Dan jika sekalipun itu berlaku janganlah harap kita mampu sekadar tewas 3-0, kerana silap-silap kita boleh dilauk 30-0 kalau dinilai dari mutu bolasepak kita dan Jerman hari ini!

p/s: Dah habis perlawanan klasik ini barulah aku pergi layan Chelsea lawan Everton. Aku tengok gaya permainan Everton pun tak hebat macam Malaysia di Olimpik 1972. Apa ada hal?

Followers

Pageviews