Footie Friday: Berapa Kali Turun Padang Semusim & Hasrat FAM Mengurangkan Pasukan Di Liga Super



FC Barcelona - 60 perlawanan sepanjang musim 2010/11

Berapa agaknya purata permainan semusim untuk seorang pemain bola sepak profesional?

Berapa pula purata permainan semusim untuk sebuah pasukan atau kelab bola sepak profesional?

Ada banyak kajian oleh banyak pihak tentang purata perlawanan yang ideal untuk seorang pemain atau sebuah pasukan. Tapi secara kasar boleh diandaikan purata 35 perlawanan semusim untuk seorang pemain pro dan purata 45 perlawanan semusim untuk sebuah pasukan pro. Dan tempoh semusim itu pula boleh dikatakan menjangkau 10 bulan lamanya dengan baki 2 bulan lagi adalah waktu rehat untuk pemain dan pasukan.

Ini adalah 'trend' bola sepak moden di seluruh dunia. Di England, Premier League mereka melibatkan 20 pasukan yang setiap satunya bermain sebanyak 38 perlawanan semusim. Itu belum dicampur lagi dengan perlawanan untuk FA Cup atau League Cup, dan bagi pasukan yang bermain di pentas Eropah pula mereka mempunyai perlawanan tambahan baik dari saingan Champions League atau Europa League.

Struktur 20 pasukan dalam liga ini turut diamalkan di negara Eropah lain seperti Itali, Perancis dan Sepanyol. Jerman dan Belanda pula mempunyai 18 pasukan dalam Bundesliga dan Eredivisie mereka tetapi itu sudah cukup untuk menjamin minimum 34 perlawanan semusim untuk setiap pasukan tidak termasuk perlawanan DFB-Pokal dan KNVB Cup.

Di luar Eropah, ianya hampir sama. Primera Division milik Argentina mempunyai 20 pasukan, begitu juga Serie A milik Brazil. J.League di Jepun pula ada 18 pasukan sementara K-League di Korea Selatan terdiri dari 16 pasukan.Di Amerika Syarikat, MLS yang bermula dengan 10 pasukan kini telah berkembang kepada 19 pasukan. A-League di Australia pula walaupun terdiri dari hanya 10 pasukan (kerana ia masih baru dan sedang berkembang seperti MSL satu masa dulu) menetapkan format perlawanan 3 pusingan agar setiap pasukan mendapat minimum 27 perlawanan semusim, tidak termasuk saingan di FFA Cup yang akan bermula tahun hadapan.

Apa kesimpulan dari ini semua? Kesimpulannya ialah setiap badan induk bola sepak di negara yang disebut tadi sedar bahawa seorang pemain pro dan sebuah pasukan pro perlu bermain perlawanan kompetitif secukupnya dalam setiap musim.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah pemain tempatan yang dikatakan pro dan pasukan tempatan yang turut dilabelkan pro, dapat bermain jumlah perlawanan secukupnya seperti mana pemain dan pasukan pro di negara lain?

Jika diikut pada musim lepas, Liga Super kita terdiri dari 14 pasukan yang bermain dua pusingan perlawanan untuk memberikan setiap pasukan 26 perlawanan liga semusim. Selain dari itu ada perlawanan Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk pasukan yang layak.

Terengganu merupakan pasukan yang paling banyak bermain perlawanan kompetitif sepanjang musim 2011. Sejumlah 26 perlawanan Liga Super, 7 perlawanan Piala FA dan 11 perlawanan Piala Malaysia untuk jumlah sebanyak 44 perlawanan kompetitif semusim. Tetapi ini hanya untuk Terengganu yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Tetapi bagaimana dengan pasukan yang nasibnya tidak seperti Terengganu?

Perlis adalah contoh terbaik. Pasukan tercorot Liga Super untuk musim 2011 ini bermain sebanyak 26 perlawanan Liga Super, hanya 1 perlawanan Piala FA (kalah 2-0 kepada Felda United di pusingan pertama) dan tidak layak bermain dalam Piala Malaysia. Jumlah perlawanan semusim buat Singa Utara ialah 27 perlawanan sahaja. Inilah jumlah perlawanan kompetitif yang ditempuh oleh pasukan pro bernama Perlis sepanjang 2011. Dan buat pemain pro skuad Singa Utara, yang kita tahu tidak ada seorang pun berjaya menyarung jersi Harimau Malaya sekaligus tidak mempunyai peluang bermain perlawanan antarabangsa, mereka semua hanya turun padang untuk 'bekerja' kurang dari 30 kali setahun.

Senario Perlis ini adalah senario sebuah pasukan Liga Super (yang bakal menjadi sebuah pasukan Liga Premier musim depan). Bagaimana pula dengan nasib pasukan Liga Premier sedia ada yang terdiri dari hanya 12 pasukan dengan 22 perlawanan liga semusim? Nasib pasukan seperti Sinar Dimaja Mai Sarah FC (aku sehingga hari ini masih kagum dengan nama pasukan yang langsung tidak komersil ini!) yang bermain 22 perlawanan liga dan hanya 1 perlawanan Piala FA untuk jumlah 23 perlawanan kompetitif dalam satu musim!

Kesimpulannya dari senario bola sepak domestik Malaysia ini adalah mudah. Sebuah pasukan perlu menjadi seperti Terengganu pada musim lepas, yakni bermain dalam Liga Super, bermain hingga ke perlawanan akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk mendapatkan sejumlah 44 perlawanan kompetitif. Dan itu pun ia masih kurang 1 perlawanan dari kadar purata 'standard' yang boleh kita sasarkan untuk mana-mana pasukan pro di seluruh dunia.

Terengganu FA - 44 perlawanan sepanjang musim 2010 dan masih ada yang mengadu letih

Tapi kalau bermain terlalu banyak perlawanan, bukankah pemain akan keletihan?

Itu soalan yang selalu dibangkitkan khususnya di Malaysia. Dan juga alasan yang kerap digunakan oleh jurulatih dan pemain khususnya selepas mereka kalah dalam satu perlawanan antarabangsa. Ketika negara bola sepak lain sedang sibuk mencari jalan meningkatkan kecergasan pemain supaya mereka boleh bermain jumlah perlawanan semaksimum mungkin di Malaysia kita masih lagi mencari jalan untuk kurangkan perlawanan supaya pemain tidak letih. Ini saja sudah jelas menunjukkan mentaliti bola sepak kita yang mundur.

Seorang pemain pro bergelar pro kerana itulah profesion mereka dan kerana mereka berstatus profesional. Pekerjaan seorang pemain bola ialah bermain bola. Jika seorang pekerja ladang kelapa sawit dikehendaki turun menombak sawit di ladang sekerap mungkin dalam setahun maka seorang pemain bola yang berstatus pro juga dikehendaki turun ke padang sekerap mungkin dalam semusim. Dan dalam bola sepak era moden kekerapan ini adalah pada purata 35 kali dalam satu musim.

Begitu juga untuk sebuah pasukan pro. Tidak ada gunanya menubuhkan sebuah pasukan bola profesional jika ianya turun beraksi di padang kurang dari 30 kali dalam satu musim. Gaji yang lumayan dibayar kepada pengurus, jurulatih serta pemain setiap bulan tetapi sayangnya pasukan dengan kos pengurusan yang tinggi ini hanya beroperasi kurang dari 2700 minit dalam satu musim.

Telah aku bangkitkan hampir 3 tahun sebelum ini bahawa Liga Super dan Liga Premier kita perlu mempunyai paling kurang 18 pasukan setiap satu. Dengan ini setiap pasukan dijamin minimum 34 perlawanan kompetitif di peringkat liga dan tambahan beberapa perlawanan di Piala FA dan juga Piala Malaysia bagi yang layak. Ini adalah jumlah pasukan dalam satu liga yang ideal untuk kita mencapai sasaran jumlah perlawanan yang ideal untuk seorang pemain dan sebuah pasukan berstatus pro.

Tetapi, belum pun sempat sasaran itu dicapai sekali lagi FAM tampil dengan idea 'bernas' merombak struktur Liga Super musim 2012 dengan cadangan untuk mengurangkan jumlah pasukan bertanding.

Alasan yang diberikan ialah demi meningkatkan wibawa dan memartabatkan sukan bola sepak di negara ini.

Bincangkan.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews