Footie Friday: Puak Penyokong Di Malaysia




Ini abang Mansor Abdul Khoni, jika tak silap aku orang panggil dia Tok Mo. Siapa rajin tengok acara sukan yang melibatkan Malaysia pasti perasan Tok Mo ini, dengan kompangnya, bendera Malaysia dan perangai tak reti duduk diam. Baik menang atau kalah, main bagus atau bangang, Tok Mo tidak pernah berputus asa memberi sorakan. Penglibatan Tok Mo dalam karier menjadi tukang sorak Malaysia untuk semua jenis sukan ini sudah bertahun lamanya. Malahan jauh lebih lama sebelum istilah Ultras dikenali oleh awek-awek Facebook atau makcik Felda. Tapi apa yang pasti, Tok Mo bukan Ultras walaupun ciri-ciri beliau boleh dikatakan sama macam kebanyakan Ultras (kecuali bab usia). Sebaliknya Tok Mo bernaung di bawah kumpulan bernama Famemas.


Ya, Famemas. Kelab penyokong Malaysia ini diasaskan sejak tahun 2002, diperakui oleh Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara serta sentiasa aktif memberikan sorakan kepada pasukan Malaysia baik dalam acara sukan apa sekali pun khususnya ketika Sukan SEA. Famemas akan terbang bersama kontinjen atlit Malaysia, berkampung di sana sepanjang Sukan SEA berlangsung dan menonjolkan diri dalam hampir semua acara sukan. Atas sebab itu, ahli Famemas kebanyakannya mereka yang berkemampuan untuk mengeluarkan belanja tinggi semata-mata menjadi penyokong selain dari kelab ini menandatangani perjanjian tajaan dengan pihak swasta. Famemas ini vokal, tapi vokal mereka sekadar lantang memberi sokongan ketika perlawanan. Nak vokal pasal masalah sukan atau memberi kritikan mungkin tidak sangat.



Kemudian selain dari Famemas ada pula kelab penyokong yang sepenuhnya milik swasta, seperti Team Malaysia yang ditaja oleh TM. Bayar yuran keahlian, dapat baju seragam dah boleh jadi ahli Team Malaysia dan peluang berlakon dalam iklan TV. Lagi senang kalau diri sendiri itu kakitangan TM. Oleh kerana di belakangnya ialah sebuah syarikat telekomunikasi gergasi, Team Malaysia dapat bajet yang cukup untuk pergi Sukan SEA macam Famemas. Dan seperti mana Famemas itu dilihat agak kerajaan, Team Malaysia dilihat agak korporat dan ini membuatkan sebilangan besar rakyat Malaysia yang anti berpersatuan tidak berminat dengan kelab sebegini. Atas sebab itu juga Team Malaysia ini dilihat tidak sebulu dengan Ultras Malaya yang cukup anti dengan benda-benda kapitalis ini, selain dari kedua puak ini sejak kebelakangan dilihat selalu bersaing di stadium ketika perlawanan bola.



Majoriti penyokong Malaysia ialah yang begini. Apa yang aku katakan sebelumnya sebagai 'the silent majority' dan hanya bising bila gol dijaringkan atau pemain Malaysia beraksi secara bangang. Tengok brader yang pakai jersi Malaysia itu, tak lain dan tak bukan mesti tengah maki pemain Malaysia. Brader (ke akak?) jersi Chelsea sebelah dia pula jenis yang mungkin tak peduli pasal bola Malaysia tapi lebih prihatin dengan bola Inggeris. Dia turun stadium pun sebab masa itu Chelsea datang lawan Malaysia di Stadium Shah Alam. Mereka inilah yang orang katakan 'bersorak ketika menang tetapi tidak menyokong ketika kalah'. Habis nak buat macam mana, dah pilihan hidup mereka begini.


Tetapi ada juga yang masih suka berpersatuan, khususnya dalam kes bola sepak peringkat negeri. Mereka ini ahli-ahli kepada persatuan penyokong negeri dan pada masa yang sama juga mungkin ahli JKKK atau Belia 4B dan tak mustahil juga ahli UMNO berdaftar. Ini adalah kelompok penyokong yang telah wujud sejak zaman Semi Pro lagi. Kecenderungan mereka ialah untuk memukul rebana atau kompang sepanjang perlawanan, juga menggunakan bateri yang berkuasa selama 90 minit. Persatuan sebegini juga lazimnya akrab dengan persatuan bola sepak negeri selain biasa bergesel bahu dengan YB yang juga ahli majlis pimpinan persatuan bola sepak negeri.


Untuk persatuan penyokong ini juga, jika pasukan bola sepak negeri mereka berjaya, kecenderungan mereka ialah untuk memuja-muja YB selaku presiden persatuan bola sepak negeri. Ini selalunya dizahirkan melalui kain rentang 'glossy' dengan muka YB tersebut ditempek sebesar alam. Bajet untuk kain rentang mahal sebegini tidak mustahil datang dari poket YB sendiri atau tabung cawangan UMNO terlibat sementara tempahan kain rentang mestilah dibuat di syarikat Bumiputera yang dimiliki oleh salah seorang ahli UMNO cawangan tersebut.



Kemudian, ada pula kelompok yang sebegini. Ya jenis yang jangan dibuat main dalam hal ehwal bola sepak. Mereka ini boleh saja terdiri dari ahli persatuan penyokong atau kelompok 'silent majority' tadi. Tapi sekali bila dah panas, mereka tidak teragak-agak untuk mengkepala bana sesiapa pun. Ini baru tahap keluar kain rentang bajet ciput. Lagi 'real' punya marah ialah bila baling botol atau bakar mercun. Tahap 'dewa' punya marah pula boleh membawa kepada bakar stadium. Tapi terus terang, maki hamun boleh lagi diterima tapi baling botol, bakar mercun atau bakar stadium itu dah dikira bangang namanya.



Namun ada juga jenis yang tenang, penyabar dan sudah cukup gembira kalau dapat ke stadium untuk makan kuaci atau burger. Mereka ini ialah Ultras Kuaci atau Ultras Burger. Bersorak ketika menang, makan kuaci ketika semua pemain sedang menggaru telor di padang dan mungkin pulang awal kalau dah jenis tak ada harapan nak menang. Amat sukar dilihat ketika zaman gelap bola sepak Malaysia. Tetapi bila dah mula ada cerah sikit-sikit masa depan bola negara mereka ini akan kembali rajin turun ke stadium sekaligus mengukir senyuman di wajah akak jual kuaci atau brader jual burger.



Samalah juga dengan satu lagi kelompok penyokong yang boleh dikatakan baru muncul ini. Iaitu Ultras Awek. Dahulu sangat sukar dilihat tetapi kini seperti sudah menjadi kebiasaan di stadium. Mungkin satu masa dulu kecenderungan mereka sekadar menyarung jersi Manchester United dan menemani boyfie mereka yang ala-ala David Beckham atau Cristiano Ronaldo ke Hartamas Square untuk bola sepak Inggeris hujung minggu. Tapi kini dengan Manchester United sudah jatuh nombor dua dan pemain paling hensem mereka hanya tinggal Shrek Rooney, para gadis beralih arah ke Harimau Malaya, Apex dan juga adik Nazmi Faiz. Kaedah sokongan mereka ialah bertepuk-tepuk ketika Apex menangkap bola atau menggigit jari bila adik Nazmi Faiz dijatuhkan pihak lawan. Mereka juga cenderung bergambar ketika perlawanan supaya ada gambar untuk dimuat naik ke Facebook nanti. Tak kisahlah, sekurang-kurangnya ada bahan cuci mata untuk Ultras Kuaci dan Ultras Burger.



Bercakap pasal Manchester United tadi, kita tidak boleh lari dari HarimauMalaya.Com (HMC). Bagi yang telah mengikuti bola Malaysia lama sebelum zaman Piala AFF 2010 pasti tahu tentang HMC. Bermula dengan hanya beberapa kerat, HMC mula dikenali ramai apabila mereka buat gila dengan menyarung jersi hitam kuning Malaysia ketika Manchester United turun ke Bukit Jalil pada tahun 2009. Sekali pun berdepan puluhan ribu rakyat Malaysia keturunan Manchester, HMC tetap lantang memberi sokongan sehingga pemain macam Ari Yahyah pun boleh menewaskan Edwin van der Sar dan Ben Foster. Mengikut sumber tertentu asalnya Ultras Malaya bersekutu dengan HMC sejak tahun 2007, tetapi pada tahun 2010 berlaku perpecahan di antara HMC dan Ultras Malaya akibat perbezaan ideologi dan hari ini kedua-dua entiti telah membawa haluan masing-masing.



Dan yang terakhir sekali, tidak lain dan tidak bukan ialah Ultras Malaya. Dari hanya beberapa kerat ketika tahun 2007 dan sewaktu Harimau Malaya dikepala banakan dalam Piala Asia, kini suku-sakat Ultras telah bercambah malahan turut wujud di kalangan penyokong pasukan negeri. Awalnya tidak diterima oleh kelompok penyokong yang lain, tetapi kini populariti mereka semakin meningkat dengan keupayaan mengumpul bala tentera yang ramai pada setiap perlawanan dan kelantangan mereka di stadium. Seperti Ultras lain di serata dunia, Ultras Malaya adalah penyokong yang radikal dan fanatik. Tetapi radikal-radikal mereka pun masih belum mampu menurunkan Sultan Bola dari takhta kesultanan bola sepak FAM.

Ya, masih belum ada siapa mampu melawan daulat Sultan Bola sebenarnya.

Aku terpaksa gunakan banyak gambar untuk artikel kali ini kerana berdasarkan pengalaman aku, orang Malaysia (baca Melayu) menghadapi masalah untuk memahami hatta sepotong ayat yang lebih dari 10 perkataan. Sebab itu dalam artikel aku sebelum ini ada yang susah nak faham atau lebih teruk lagi, lain yang dibaca lain yang dia simpulkan.

Pokoknya, dalam hal menyokong bola itu sendiri ianya macam pegangan politik atau agama. Masing-masing nak ikut kepala otak (atau bana) mereka sendiri. Tetapi bila masuk bab kecoh siapa lebih patriotik dan siapa kurang patriotik, selayaknya memang semua elok dikepala banakan saja.

Macam mana dengan Sokernet?

Sokernet adalah pengulas bola sepak bukan penyokong bola sepak. Nampak perbezaan di situ?

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews