Rangkuman Bola Sepak Sukan SEA 2011




Sukan SEA 2011 telah melabuhkan tirai. Seperti edisi-edisi Sukan SEA sejak beberapa tahun yang lalu, macam biasa tuan rumah muncul juara keseluruhan. Tapi seperti edisi Sukan SEA yang sebelumnya juga, selain dari melihat siapa yang muncul juara keseluruhan, turut dinanti ialah siapa yang memenangi pingat emas bola sepak.

Pingat emas bola sepak, walaupun nilainya sebutir tetapi ia dianggap seperti ibu segala pingat emas. Dan dalam rantau ASEAN yang penduduknya gila bola tetapi pasukan bolanya pula tahap bangang, saingan perebutan pingat emas bola sepak Sukan SEA (selain Piala AFF) adalah sama hebatnya seperti bertanding di Sukan Olimpik (atau dalam kes Piala AFF boleh dikira setanding Piala Dunia).

KEMBOJA (Corot Kumpulan A)

Diundi dalam 'kumpulan neraka', Angkor Warriors seperti biasa mengekalkan rekod tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam Sukan SEA. Kalah semua perlawanan, bolos 16 gol dengan hanya 2 jaringan adalah pencapaian yang dibuat oleh anak buah jurulatih dari Korea Selatan, Lee Tae-Hoon.

Tetapi skuad Kemboja yang turun ini secara majoritinya dibarisi pemain berusia bawah 20 tahun. Dan kalau Malaysia sebagai contoh ada seorang pemain usia 17 tahun bernama Nazmi Faiz, Kemboja pula mempunyai sejumlah 3 pemain yang sebaya Nazmi Faiz. Dan mengikut jangkaan Lee Tae-Hoon, ini adalah skuad muda yang dibentuk untuk persediaan dalam Sukan SEA 2013 nanti di Myanmar.

Pun begitu persoalan utama ialah sama ada Lee Tae-Hoon masih kekal bersama Kemboja dalam tempoh 2 tahun lagi kerana sudah kedengaran cakap-cakap beliau bakal dipecat.


FILIPINA (Corot Kumpulan B)

Setelah skuad senior mereka berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2010, Young Azkals cuba meniru formula yang serupa dengan membina sebuah skuad yang mennghimpunkan diaspora pemain bola sepak keturunan Filipina dari serata dunia.

Dan hasilnya ialah skuad yang dibarisi pemain berpengkalan di Amerika Syarikat, Jerman, Belgium, Sepanyol serta Belanda. Di bawah kendalian jurulatih Jerman bernama Michael Weiss, Filipina bagaimanapun terus membuktikan mereka cuma genius dalam bola keranjang tapi bangang dalam bola sepak.

Kalah 4 perlawanan dan menang hanya 1 ketika menentang Laos membuktikan bola sepak masih jauh ketinggalan di satu-satunya negara ASEAN yang tidak mengiktiraf sukan dunia ini sebagai sukan utama mereka.

THAILAND (Ke-4 Kumpulan A)

Semasa tamatnya Piala AFF 2010 setahun yang lalu, aku ada menekankan bahawa era kegemilangan bola sepak Thailand sudah berada di penghujung. Dalam Sukan SEA 2011 ini skuad Changsuk membuktikan betapa bola sepak Thailand memang berada di zaman gelap.

Setelah mendominasi Sukan SEA selama 14 tahun, Thailand tersingkir awal dalam Sukan SEA 2009. Nampaknya untuk edisi kali ini nasib yang sama juga menimpa Thailand. Malahan lebih teruk lagi, anak buah Prapol Pongpanich hanya menang ke atas Laos Kemboja tetapi tewas di tangan Indonesia, Malaysia dan Singapura sekaligus mencipta rekod terburuk Thailand dalam bola sepak Sukan SEA.

Apa yang pasti, Thailand perlu segera melakukan rombakan dalam bola sepak mereka. Melainkan kalau mereka mahu merasa berada dalam zaman gelap bola sepak macam Malaysia dulu.

Selamat menikmati zaman gelap!


BRUNEI (Ke-5 Kumpulan B)

Seperti lazimnya, Brunei terus kekal sebagai antara pasukan belasahan di dalam rantau ASEAN. Walaupun kaya raya dan mampu menghantar skuad Tebuan Muda berguru bukan sekadar Slovakia, malah mungkin Sepanyol atau England, bola sepak di negara kerdil ini masih kekal di takuk lama.

Anak buah Dayem Haji Ali kalah 3 perlawanan, seri 1 dan menang 1 tetapi mencatatkan bolos 17 gol, rekod bolos tertinggi dalam Sukan SEA 2011. Mereka boleh dikira bernasib baik diundi dalam Kumpulan B yang turut menempatkan pasukan senasib seperti Filipina dan Laos.

Mungkin ada lebih baiknya jika Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam menimbangkan untuk menyertai kembali saingan liga bola sepak Malaysia. Paling tidak ada juga aktiviti bermain bola secara konsisten untuk anak muda Brunei dari menghabiskan duit hasil minyak dengan 'clubbing' di Kota Kinabalu pada hujung minggu.

LAOS (Ke-4 Kumpulan B)

Kejayaan layak ke separuh akhir dalam edisi lalu gagal diulangi skuad Thim Xad kali ini. Terbukti kejayaan dua tahun lepas adalah pencapaian jaguh kampung buat Laos yang pada mulanya dijangka mampu memberi kejutan.

Skuad kendalian Hans Peter-Schaller tampak garang di perlawanan pembukaan apabila tewas tipis kepada Myanmar. Tetapi selepas itu masalah konsistensi menjejaskan rentak Laos apabila hanya seri dengan Brunei dan tewas mengejut pada Filipina. Secara keseluruhannya Laos mencatat hanya satu kemenangan, sari 1 dan tewas 3 perlawanan.

Cuma satu saja berita baik buat Laos ialah kejayaan kapten pasukan, Lamnao Singtao yang muncul penjaring terbanyak Sukan SEA 2011 dengan 6 gol.

TIMOR LESTE (Ke-3 Kumpulan B)

Dalam Sukan SEA 2009, skuad O Sol Nascente kalah semua 4 perlawanan mereka dan bolos 28 gol berbalas hanya satu jaringan tunggal. Kekalahan terbesar dan paling memalukan buat mereka ialah apabila dibelasah 11-0 oleh Harimau Muda.

Hari ini dalam Sukan SEA 2009, O Sol Nascente melakukan kejutan apabila mampu berada di posisi ke-3 Kumpulan B dengan menang 2 dan kalah 3 perlawanan di samping meledak 4 gol berbalas hanya 8 bolos. Jika ada pasukan yang perlu diberi tabik hormat kerana peningkatan luar biasa, inilah dia pasukannya.

Apa rahsia kejayaan Timor Leste untuk meningkat dengan mendadak dalam tempoh 2 tahun?

Jurulatih mereka dari Brazil, Antonio Carlos Vieira ada jalan mudah. Skuad Timor Leste hari ini membariskan beberapa pemain keturunan Timor-Brazil. Antaranya seperti Antonio Marcos Sousa yang bermain untuk kelab Botafogo di Brazil dan Murilo de Almeida yang bermain untuk kelab America FC. Suka atau tidak, Timor Leste boleh diberi jolokan sebagai 'Brazil ASEAN'.

Ini bukan pasukan bola sepak Timor Leste


SINGAPURA (Ke-3 Kumpulan A)

Tanpa pemain import naturalisasi seperti yang terdapat dalam skuad senior mereka, Young Lions tidaklah sehebat mana. Apatah lagi bermain di padang rumput tulen dan bukannya tiruan, anak buah jurulatih dari Serbia, Slobodan Pavkovic kelihatan agak terbatas.

Biar pun berjaya mengikat juara bertahan Malaysia, keupayaan sebenar Singapura terpampang jelas apabila hanya menang tipis Kemboja 2-1 setelah ketinggalan di separuh masa pertama. Kekalahan 2-0 di tangan Indonesia petanda keterbatasan Young Lions dan mereka bernasib baik untuk menang ke atas Thailand yang bola sepaknya sudah pun ke laut.

Namun masih ada harapan untuk barisan pemain Singapura yang sedia ada apabila mereka bakal bersaing dalam liga bola sepak Malaysia musim depan buat menimba ilmu dari pemain-pemain berpengalaman Malaysia. Asalkan jangan terjangkit dengan badi Fakri Saarani.

VIETNAM (Ke-4 Sukan SEA 2011, juara Kumpulan B)

Kalau Sepanyol pernah dilabel sebagai 'world perennial underachiever', skuad Đội tuyển Việt Nam pula memang layak dilabelkan sebagai 'ASEAN perennial underachiever'. Bezanya Sepanyol sudah menamatkan badi 'perennial underachiever' mereka tetapi bagi Vietnam ianya masih berterusan.

Melainkan kejayaan Vietnam Selatan merangkul emas ketika era Sukan SEAP 1959, Vietnam moden hari ini telah layak ke 5 perlawanan akhir dan kalah kesemuanya. Sukan SEA 2011 mencatatkan kisah yang lebih teruk lagi buat pemenang pingat perak edisi lalu. Sekalipun skuad kendalian jurulatih Jerman, Falko Gotz dibarisi oleh pemain berpengalaman dari V-League mereka.

Apabila diundi dalam Kumpulan B ramai pemerhati yang pantas melabelkan Vietnam sebagai pilihan utama untuk muncul juara kumpulan. Ini terbukti benar dengan Vietnam mengganas ke atas pasukan kerdil seperti Timor Leste, Laos, Brunei dan Filipina. Hanya Myanmar berjaya mengikat Vietnam seri tanpa jaringan, tetapi negara komunis ini sudah pun meledak 16 gol untuk menjuarai kumpulan mengatasi pesaing mereka si negara junta tersebut. Malang buat Vietnam apabila lawan mereka di separuh akhir ialah tuan rumah Indonesia.

Dan seperti mana-mana pasukan Vietnam baik dalam Sukan SEA sebelumnya atau Piala AFF, skuad kali ini ketar lutut apabila bermain dalam perlawanan penting. Berdepan Indonesia di Gelora Bung Karno dalam separuh akhir, Vietnam hilang taring ibarat gerila Viet Cong tanpa AK-47. Dua gol Indonesia pada babak kedua cukup untuk meleburkan buruan pingat emas Vietnam. Sekalipun potret Ho Chi Minh diusung masuk penyokong Vietnam ke dalam Gelora Bung Karno.

Harap jangan ada Ultra Harimau Malaya buat kerja gila usung gambar Najib Razak pula


MYANMAR (Gangsa, naib juara Kumpulan B)

Percaya atau tidak, pada tahun 2009 kerajaan junta tentera Myanmar meluluskan satu pelan induk pembangunan bola sepak Myanmar yang antaranya membawa kepada penubuhan Myanmar National League (MNL). Pihak swasta dan orang perseorangan diberi kebenaran untuk menubuhkan kelab profesional dengan syarat dapat menyediakan wang modal secukupnya. Pihak junta bermurah hati memberi insentif seperti pengecualian cukai selama 3 tahun dan kebenaran menggunakan stadium milik kerajaan secara percuma. Suku-sakat Aung San Suu Kyi pantas menuduh tindakan murah hati junta ini sebagai helah pilihanraya.

Helah pilihanraya atau tidak, hari ini MNL telah mula membuahkan hasil buat Myanmar. Di bawah pimpinan jurulatih dari Sweden, Stefan Hansson, skuad White Angels dalam Sukan SEA 2011 adalah produk kelab-kelab profesional Myanmar seperti Ayeyawady United, Naypyidaw FC dan Kanbawza FC. Barisan pemain mereka adalah bintang dan idola dalam MNL, seperti penyerang Kyaw Ko Ko yang bermain untuk Zeyashwemye FC.

Pernah pada satu masa menguasai bola sepak ASEAN dengan nama Burma selaku pemenang pingat emas dalam 4 edisi Sukan SEAP dan layak ke Sukan Olimpik 1972 bersama Malaysia, skuad kali ini bermain agak baik ketika peringkat kumpulan. Mereka muncul naib juara Kumpulan B setelah dipisahkan dengan perbezaan jaringan berbanding Vietnam untuk dikira kurang bernasib baik terpaksa berdepan dengan juara bertahan Malaysia.

Namun harus diakui, dalam pertemuan separuh akhir dengan Malaysia, Myanmar sekali pun agak gugup masih berjaya memberikan persembahan yang tidak kurang hebat. Hanya gol tunggal di minit-minit terakhir oleh kononnya adiwira penyelamat, Fakri Saarani yang berjaya menebus maruah Malaysia dari diheret ke masa tambahan dan kemungkinan penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan penentuan gangsa, keupayaan sebenar Myanmar kembali ditonjolkan dalam pertembungan kembali mereka dengan Vietnam. Stefan Hansson memilih untuk lebih banyak bertahan dan sebaliknya bergantung harap pada serangan balas dalam percaturan taktikal beliau. Ia membuahkan hasil apabila dalam tempoh 90 minit perlawanan Myanmar mengesahkan pingat gangsa milik mereka dengan kemenangan 4-1 ke atas Vietnam.

Bagi bola sepak Myanmar, ia petanda baik kerana Sukan SEA 2013 bakal berlangsung di Myanmar. Untuk Vietnam pula, terbukti amalan mengusung potret Ho Chi Minh ke setiap perlawanan tidak membawa sebarang tuah buat mereka. Mungkin ada lebih baiknya jika mengusung potret Elly Tran Ha.

Ko Ko Krunch


INDONESIA (Perak, naib juara Kumpulan A)

Matlamat Persatuan Sepak bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kancah sepak bola Sukan SEA 2011 ini adalah jelas, menang medali emas lantas menamatkan kemarau 20 tahun mereka. Jika Malaysia bisa menamatkan kemarau emas 20 tahun pada edisi 2009 maka Indonesia juga pasti bisa menamatkan kemarau yang sama.

Untuk itu skuad Garuda Muda kali ini diletak bawah pelatih kepala fenomenal, Rahmad Darmawan. Pernah melatih Persipura Jayapura dan Sriwijaya FC mendapat gelar Liga Indonesia, serta 3 gelar Copa Indonesia bersama Sriwijaya FC menjadikan Coach RD pilihan utama untuk misi keramat sepak bola Indonesia.

Coach RD membina skuad terdiri dari pesepak bola yang kebanyakan sudah hampir melewati had umur 23 tahun serta berpengalaman luas dalam saingan Liga Indonesia. Majoriti dari pesepak bola ini adalah dari provinsi Papua yang sebelumnya memang sudah banyak melahirkan pesepak bola timnas Indonesia.

Garuda Muda selaku tuan rumah bermula garang dalam perlawanan pembukaan dengan membelasah Kemboja 6-0. Rentak cemerlang ini diteruskan lagi apabila dalam perlawanan kedua Singapura dibenam 2-0. Garuda Muda kemudiannya menamatkan perjuangan Thailand yang bermain 9 orang apabila menang 3-1 sekaligus memberi keyakinan di seluruh Indonesia tentang prospek memenangi medali emas.

Namun dalam pertemuan terakhir Kumpulan A berdepan musuh tradisi Harimau Malaya, Garuda Muda tewas tipis 1-0. Lantas meletakkan Indonesia dalam laluan sukar selaku naib juara Kumpulan A kerana berdepan Vietnam di separuh akhir.

Pun begitu, bermain di Gelora Bung Karno, Indonesia tidak berdepan sebarang komplikasi untuk menewaskan 'ASEAN perennial underachiever' 2-0. Gol jaringan penyerang Papua Patrich Wanggai diganda pula kemudiannya oleh rakan seprovinsi, Titus Bonai di minit akhir perlawanan. Sekali lagi Garuda Muda mengatur temu janji dengan Harimau Malaya di pentas akhir GBK.

Gol awal Gunawan Dwi Cahyo pada minit ke-5 ibarat petanda medali emas bakal jadi milik Indonesia. Tetapi Malaysia yang sudah biasa bermain di GBK menyamakan kedudukan melalui Asraruddin Putra Omar pada minit ke-34. Kedudukan terikat hingga ke penghujung masa tambahan dengan kedua pasukan berbalas serangan dan penonton pula ramai yang sakit jantung.

Apabila masuk penentuan sepakan penalti, kelebihan penjaga gol Malaysia dan kekurangan penjaga gol Indonesia menjadi jurang pemisah, sekalipun pada satu masa jurang ini hampir dirapatkan oleh satu susuk bernama Fakri Saarani. Bila Khairul Fahmi menafikan sepakan Ferdinand Sinaga, satu GBK tahu Kurnia Meiga berdepan tugas berat untuk menghalang sepakan kapten berpengalaman Harimau Muda, Baddrol Bakhtiar.

Indonesia hanya mampu berpuas hati memenangi medali perak dan kemarau emas sepak bola Sukan SEA mereka bakal berterusan. Nasib Coach RD masih belum pasti, tetapi barisan Garuda Muda yang ada hari ini majoriti darinya tidak lagi dapat bermain dalam Sukan SEA 2013. Persoalannya adakah PSSI mampu membina kembali skuad yang mantap seperti hari ini dalam tempoh 2 tahun lagi atau kemarau emas sepak bola Indonesia bakal berterusan?

Second best as always


(bersambung)

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews