Malaysia - Raja bola sepak ASEAN |
Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara menghadiahkan pingat ibu segala emas buat semua rakyat Malaysia berbilang kaum apabila berjaya menundukkan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua pasukan terikat 1-1 hingga masa tambahan.
Anak buah jurulatih bijaksana Ong Kim Swee membuktikan lawatan sambil belajar mereka ke Slovakia berbaloi dengan aksi persembahan yang mengikut kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mirip seperti zaman emas bola sepak Malaysia dekad 1970-an.
Berdepan hampir 100,000 penyokong fanatik Garuda, skuad Harimau Muda tidak goyah tetapi sebaliknya menanam tekad untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi ketika Sukan SEA 2009.
Tetapi Indonesia terlebih dulu mengasak kubu pertahanan negara dan terlebih dulu di depan apabila Gunawan Dwi Cahyo menanduk bola masuk ke gawang Malaysia melepas penjaga gol tersohor, Khairul Fahmi.
Tetapi ibarat harimau luka, Malaysia bangkit kembali menyamakan kedudukan apabila umpanan kapten berwawasan Baddrol Bakhtiar ditanduk kemas oleh Mohd Asraruddin untuk gol penyamaan Harimau Muda sekaligus melenyapkan sorakan Indonesia di Gelora Bung Karno.
Kedua pasukan terus mengasak hingga ke masa tambahan dengan Indonesia bermatian mengekang pergerakan adiwira Fakri Saarani. Manakala itu setiap percubaan Garuda Muda berjaya dipatahkan oleh barisan utuh pertahanan Malaysia dan ketangkasan Khairul Fahmi di gawang.
Menjelang sepakan penalti, tangan emas Khairul Fahmi berjaya menepis tendangan Ferdinand Sinaga. Kapten Malaysia, Baddrol Bakhtiar kemudiannya menggalas tugas berat di bahu dalam sepakan terakhir tetapi rembatan kencang beliau gagal ditangkap kemas Kurnia Meiga untuk bola bergolek masuk ke gawang.
Kejayaan mempertahankan pingat emas merupakan hadiah terbaik Harimau Muda buat peminat bola sepak Malaysia khususnya Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang sebelum itu berkenan mencemar duli turun bertemu para pemain bagi merestui perjuangan skuad Harimau Muda.
Nota:
Kalau Sokernet nak tulis berbunga begini memang senang dan boleh saja. Tapi kemudiannya apa beza Sokernet dengan suratkhabar macam Harian Metro, Kosmo! atau Utusan Malaysia? Lebih baik kamu semua baca suratkhabar saja dari baca Sokernet. Baca saja berita sukan yang ditulis oleh wartawan profesional sekaum dengan Rizal Hashim yang dibayar gajinya setiap bulan dan perlu menulis dengan baik untuk menjaga periuk nasi anak bini di rumah. Di situ saja kita sudah boleh nampak kenapa sukan Malaysia khususnya bola sepak selalu ke laut. Kerana yang menulis tidak berani menegakkan yang hak dan menentang kebathilan.
Tapi di Sokernet, para penulis tidak dibayar gaji dan tidak terhutang budi dengan sesiapa pun. Kami tulis sebab minat dan atas sebab itu kami bersuara dengan jujur dan tanpa sebarang batasan.
Ya, Malaysia menang. Tapi apa yang kepala bana tetap kepala bana. Kalau Malaysia menang Piala Dunia sekali pun dan permainan Fakri Saarani masih kepala bana, kami akan kata dia kepala bana.
Tak suka, beli Harian Metro dan baca sampai jadi bangang.
*Nanti dalam Footie Friday aku bagi versi rasmi Sokernet
No comments:
Post a Comment