Footie Friday: Bola Sepak Malaysia & ASEAN






Terlebih dulu tahniah diucapkan kepada skuad Harimau Muda di bawah kepimpinan Ong Kim Swee kerana berjaya merangkul pingat emas Sukan SEA 2011. Ucapan tahniah ini merangkumi setiap lapisan pemain, juga  pegawai pasukan baik yang datang untuk kerja atau yang datang untuk menghabiskan duit bajet yang berlebih.

Hal-hal seperti pemain mana yang kepala bana, yang mana tak layak menyarung jersi Malaysia dan sebagainya kita tolak tepi. Ya, sebana-bana dia pun masih juga dikalungkan pingat emas. Sebana-bana dia pun, bak kata penyokong fanatik Malaysia, masih muncul adiwira penyelamat dengan gol tunggal ke atas Myanmar yang membawa Malaysia ke perlawanan akhir.

Kejayaan memenangi emas bola sepak Sukan SEA 2011 adalah satu pencapaian besar dalam bola sepak Malaysia, sama juga dengan kejayaan menjuarai Piala AFF. Kerana untuk negara yang bola sepaknya masih dunia ketiga macam Malaysia dan pasukan ASEAN lain, ini sajalah kejayaan pentas antarabangsa yang realistik buat kita. Emas Sukan SEA adalah seperti emas Sukan Olimpik, dan Piala AFF itu ibarat Piala Dunia.

Hari ini kita tidak perlu bercerita tentang resepi kejayaan Harimau Muda. Hal ini seperti biasa sudah puas dihebohkan oleh media massa, baik di dada akhbar atau kaca televisyen. Tetapi secara ringkasnya kalau sudah berjuta ringgit dihabiskan untuk ke Slovakia maka hasilnya memanglah paling busuk pingat emas Sukan SEA. Itu tanpa mengambil kira bahawa satu masa dulu FAM tidak perlu pun menghantar para pemain berkampung di negara Eropah semata-mata kerana mengejar pingat emas Sukan SEA.

Persoalannya sekarang setinggi mana prestij pingat emas Sukan SEA atau Piala AFF ini di kancah bola sepak dunia? Adakah dengan status Raja Bola ASEAN benar-benar boleh menjadi kayu pengukur keupayaan Malaysia di pentas Asia kalau tidak dunia?

Thailand pernah pada satu masa dulu mendominasi bola sepak di rantau ASEAN apabila dari tahun 1993 menjuarai pingat emas Sukan SEA selama 8 edisi berturut-turut. Pada waktu yang sama juga skuad senior Thailand muncul juara Piala AFF sebanyak 3 kali. Tapi sepanjang penguasaan 16 tahun ini tidak pernah sekali pun skuad bawah 23 tahun Thailand layak ke Olimpik atau skuad senior mereka layak ke Piala Dunia. Paling hebat dicapai Thailand ialah layak ke Piala Asia sebanyak 5 kali berturutan biar pun kerap dibelasah oleh gergasi Asia seperti Arab Saudi dan Jepun di peringkat kumpulan.

Ini semua berlaku sekali pun era emas bola sepak Thailand ketika itu dibarisi pemain seperti Kiatisuk Senamuang dan Piyapong Piew-on. Thailand diakui sebagai Raja Bola ASEAN tetapi keluar dari rantau ini dan bersaing dalam pentas benua Asia, mereka jelas tidak mampu menandingi kehebatan pasukan dari Timur Jauh atau wilayah Arab. Pentas dunia jangan ceritalah.

Thailand - Pernah menjadi Raja Bola ASEAN tapi pada masa yang sama boleh dijadikan Cerita Thailand Tidak Ke Piala Dunia

Melihat pada senario Thailand ini yang membuatkan kita perlu sedar bahawa menjadi juara di ASEAN adalah sama seperti India menjadi juara Piala SAFF (South Asia Football Federation). Status juara ASEAN itu tidak membawa sebarang makna yang besar melainkan dari menjadi juara di kalangan negara yang pasukan bolasepaknya bangang.

Atas sebab itu sebagai pengikut bola sepak Malaysia yang bukan bermula dari Isnin lepas, atau Piala AFF 2010 atau Sukan SEA 2009, aku dan rakan-rakan Sokernet yang lain menganggap kejayaan Malaysia menjuarai pingat emas Sukan SEA 2011 ini sebagai biasa-biasa saja. Seronok itu memang, dan memang perlu kita merasa seronok dan bergembira kerana seperti yang dikatakan tadi ini sajalah punca keseronokan kita dalam bola sepak. Satu-satunya kejuaraan yang realistik buat Harimau Malaya atau Harimau Muda ialah menjadi juara di kampung sendiri.

Tetapi persoalan berikutnya pula, selama mana kita mahu berpuas hati sebagai juara Sukan SEA dan Piala AFF? Atau adakah kita mahu mengikut jejak langkah Thailand dulu, raja di ASEAN tetapi melukut tepi gantang di pentas Asia?

Ong Kim Swee mensasarkan Olimpik 2012 untuk anak-anak Harimau Muda beliau, tetapi kita tahu ianya sesuatu yang hampir mustahil. K Rajagopal pula meletakkan Piala Asia 2015 sebagai KPI untuk pemain-pemain Harimau Malaya beliau, tetapi dari siri perlawanan persahabatan setakat ini setiap kekalahan telah dilapik dengan ayat manis 'ia pendedahan yang baik untuk pemain negara'. Bagi mereka yang datang ke stadium bukan sekadar untuk membakar 'flare' atau yang menengok bola di kaca televisyen bukan sekadar melihat pemain comel, kita tahu realiti sebenar bola sepak Malaysia.

Realitinya, Malaysia juara ASEAN kerana kita bernasib baik pasukan ASEAN lain lebih sedikit bangangnya dalam bola sepak berbanding pasukan negara kita. Bayangkan jika Australia bertanding dalam Sukan SEA atau Piala AFF, alamat dari Brunei hingga ke Vietnam (ikut susunan abjad) kita semua bakal gigit jari. Harus diingat, Australia adalah negara anggota jemputan khas dalam AFF (ASEAN Football Federation), mereka boleh menyertai semua kejohanan remaja AFF tetapi dinafikan dari kejohanan bertaraf senior hanya kerana semua negara ASEAN tidak berani berdepan dengan Socceroos di atas padang.

Kalau Australia bertanding dalam Sukan SEA atau Piala AFF

Piala Asia 2011 yang berlangsung di Qatar awal tahun ini adalah bukti terbaik di mana duduknya bola sepak ASEAN sekarang. Tidak ada satu pun pasukan bola sepak dari ASEAN yang layak ke Piala Asia 2011. Tidak ada satu pun dari 11 pasukan ASEAN yang wujud hari ini.

Bagi seorang yang pernah merasai saatnya Malaysia menang pingat emas bola sepak Sukan SEA 1989, kejayaan Sukan SEA 2009, Piala AFF 2010 dan terkini Sukan SEA 2011 adalah tidak lebih dari sekadar memberi kepuasan dan keseronokan. Kepuasan dan keseronokan dalam menyokong pasukan negara yang pernah pada satu masa melalui kemarau kejuaraan 20 tahun lamanya.

Tapi sedikit pun ia tidak akan dapat memberi ilusi palsu yang kita sudah mampu untuk paling kurang ke Piala Asia. Kerana hakikatnya di sebalik kebangkitan bola sepak Malaysia ini, kita sebenarnya bangkit di sebuah rantau yang bangsanya bangang dalam bermain bola sepak.

Jadi apa langkah seterusnya?

Kami abang-abang skuad 1989 berharap adik-adik skuad 2011 bolehlah cuba menang benda lain pula

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews