nota: yes, slow, penulis dah emel 2 hari lepas dan baru hari ini saya nak up.
Ia tidak di up ke kolum penulis tamu sebab saya sendiri yang menyuruh beliau menulis sementelah tahu beliau sanggup ponteng kerja demi meraikan wira negara dan menghantar gambar ke sokernet. Kira ada ala laporan eksklusif peristiwa bola negara la.
Selamat membaca;
Penyokong banjiri LCCT sambut kepulangan wira Malaysia
Oleh Khaleeq Shahzada Manja
SEPANG, 22 Nov - Lebih 800 orang rakyat Malaysia memenuhi balai ketibaan Terminal Tambang Murah LCCT bagi menyambut ketibaan skuad bola sepak Sukan Sea XXVI kendalian jurulatih Ong Kim Swee.
Ada antara penyokong yang hadir menanti seawal jam 2 pagi, sejurus tamat perlawanan akhir di Jakarta yang menyaksikan skuad Harimau Muda menewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 setelah masa tambahan bagi mempertahankan emas yang dimenangi di Sukan Sea Laos dua tahun lalu.
Tepat jam 8 pagi, pemain dan pegawai diketuai Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar keluar dari balai ketibaan menuju ke bas rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), disambut nyanyian dan pekikan ucapan tahniah penyokong yang rata-rata teruja bertemu wira-wira negara.
“Memang puas hati. Ini kali pertama saya merasai suasana begini. Tahniah kepada skuad Harimau Muda dan terima kasih kerana memberikan kami sesuatu untuk diraikan,” kata Amin Fuad, salah seorang penyokong yang ditemui.
No comments:
Post a Comment