Rebiu Liga Super Perlawanan 6 & Prebiu Piala FA Pusingan 2
REBIU PERLAWANAN 6 LIGA SUPER
Musuhnya Habis Binasa?
Misi pemburuan 3 piala nampaknya sudah semakin parah. Sama saja parahnya dengan Jang yang melepas nak kahwin dengan Milah. Sekalipun mempunyai slogan 'Musuhnya Habis Binasa' yang penuh berseni dan beradat ibarat luahan tutur kata Rais Yatim, Negeri Sembilan langsung tidak digeruni oleh lawannya.
Red Warriors menyambut kedatangan Negeri Sembilan ke Kota Bharu dengan satu matlamat, mem-budu-kan Jang. Dan itulah yang dilakukan oleh anak buah M Karathu. Negeri Sembilan berjaya mengikat Kelantan tanpa jaringan di babak pertama tetapi di babak kedua Jang tumbang seperti tewasnya Aidil Zafuan dalam pelukan Rita Rudaini.
S Chanturu terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-51 hasil tendangan percuma dari Nurul Azwan Roya. Kemudiannya penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha memastikan 3 mata penuh selamat dalam genggaman hasil jaringan minit 76 dan 82.
Kekalahan 3-0 Negeri Sembilan sebenarnya boleh dikatakan di luar jangkaan apatah lagi ini ibarat pertemuan ulangan akhir Piala Malaysia 2010. Dan dengan ketandusan gol di barisan serangan Jang setakat ini (hanya 5 gol dari 6 perlawanan) mungkin tiba masanya untuk Wan Jamak mengintai penyerang terbaru bagi mempertajamkan barisan serangan. Ayam tambatan Sokernet, Jorji mungkin pilihan terbaik untuk Jang misalnya.
Keputusan: Kelantan 3 - Negeri Sembilan 0
Red Giants Bangkit
Selangor kembali bangkit untuk mempertahankan kejuaraan liga apabila mudah menundukkan Kedah di Shah Alam. Selepas seri tanpa jaringan di Pasir Gudang minggu lalu, Kedah dijadikan mangsa oleh Red Giants untuk melepas geram meledak gol sekaligus mengukuhkan reputasi Selangor sebagai kuasa bolasepak dulu, kini dan selamanya.
Fadzli Saari (53) dan Asraruddin Putra Omar (81) muncul penjaring buat Selangor di Shah Alam untuk meletakkan Red Giants di posisi ke-4 Liga Super dengan 11 mata. Kedah pula kini terus terperosok di posisi ke-10, 2 kekalahan dari 2 perlawanan memberikan mereka rekod terburuk bermain di tempat lawan sedang mencatat keputusan seri di tempat sendiri nampaknya sudah menjadi adat buat Hijau Kuning.
Mahu atau tidak, Kedah perlu berbuat sesuatu atau kejayaan 'Double Treble' beberapa tahun dulu akan hanya jadi 'sandarkan pada kenangan'.
Keputusan: Selangor 2 - Kedah 0
Penyu Mengganas
Okay, penyu sebenarnya bukanlah haiwan yang ganas tetapi Terengganu terus memastikan bahawa jolokan kuasa bolasepak Pantai Timur bukan milik Kelantan secara mutlak. Berdepan Johor FC di Kuala Terengganu, anak buah Irfan Bakti tidak membuang masa mengutip 3 mata penuh untuk terus mengejar musuh tradisi Kelantan.
Hanya 7 minit diperlukan Hadi Yahya untuk memecah kebuntuan hasil hantaran lintang Ashaari Shamsuddin. Berselang 7 minit kemudian Terengganu menggandakan jaringan, kali ini melalui Ismail Farouqi hasil tendangan percuma.
Percaturan Irfan Bakti memastikan Terengganu terus menguasai babak kedua perlawanan dengan Johor FC yang ketandusan penyerang berkualiti gagal mengancam gawang Terengganu. Pada minit ke-77, Hadi Yahya melorong bola buat membalas budi Ashaari Shamsuddin untuk pemenang Kasut Emas 2010 itu menghasilkan gol ke-3 Terengganu.
Keputusan: Terengganu 3 - Johor FC 0
Tok Gajah Kecewakan Haris Adam
Kalau Kelantan dan Terengganu sukses selalu, lain pula ceritanya dengan Pahang. Skuad Tok Gajah terus dirundung malang sekali pun bermain di Stadium Darul Makmur.
Bertemu Sabah tugas mudah buat Dollah Salleh dan Pahang tetapi mereka jelas ketar lutut berdepan dengan pasukan yang dikuasai Ultra Sumandak. Razlan Oto meletakkan pelawat di depan pada minit ke-31 dan kemudian Leopold Alphonso menambah gol ke-2 Sabah pada minit ke-70.
Tetapi mungkin kerana campur tangan saat akhir Sultan Bola, Pahang berjaya bangkit melalui R Surendran (71) dan Famirul Asyraf (79) buat kedua-dua pasukan berkongsi mata dan kekal di bottom half Liga Super.
Keputusan: Pahang 2 - Sabah 2
Budak Felda Terus Mara
Bukan senang menjadi sebuah pasukan kelab dan bermain menentang gergasi-gergasi pasukan negeri. Tetapi setakat Perlawanan 6 ini Felda United membuktikan mereka mampu bersaing sekalipun menjadikan pasukan kelab lain sebagai mangsa.
Menentang T-Team yang berada dalam zon penyingkiran, Felda United mudah membolot 3 mata penuh bagi melonjak diri ke posisi ke-5 Liga Super. Farderin Kadir (61) dan Zamri Chin (66) muncul penyumbang gol buat pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ.
T-Team yang menang kali pertama minggu lepas kini kembali tertekan. Indra putra, Azizi Matt Rose dan Nor Farhan yang diharap dapat memperkuatkan barisan kesebelasan T-Team terus mengecewakan sedang Yunus Alif masih gagal mencari penawar yang diperlukan.
Keputusan: Felda United 2 - T-Team 0
Yob Kekal Rekod Tanpa Kalah
Perak yang setakat ini telah mengejutkan ramai pihak dengan pencapaian luar jangkaan berdepan ujian getir apabila didatangi oleh Ong Kim Swee dan Harimau Muda A beliau. Tetapi Yob seperti biasa steady seperti M Daud Kilau.
Selaku pesaing rapat Kelantan, Cikgu Jan pastinya mahukan 3 mata penuh tetapi ianya agak sukar kerana Harimau Muda A setakat ini hanya tumpas sekali itu pun secara tidak sengaja kepada Negeri Sembilan. Dan seawal minit ke-12 apabila Wan Zack Haikal mengejutkan segenap Yob dan Yong melalui jaringan beliau melalui satu serangan balas.
Perlawanan yang disiarkan secara langsung jelas menarik dengan Yob terus menggandakan asakan untuk membalas gol Harimau Muda A. SJ9 dan AR14 memberikan gandingan mantap tetapi pertahanan anak buah Ong Kim Swee tetap utuh menahan asakan Yob.
Cikgu Jan memilih untuk memasukkan El Tornado di hujung permainan ketika Yob kelihatan bakal tumpas buat kali pertama musim ini. Tetapi penyelamat terakhir umat Yob rupanya ialah Noor Hazrul, tendangan percuma dari beliau menembusi dinding pemain Harimau Muda A pada minit ke-86 untuk gol penyamaan.
Yob terus kekal di posisi ke-2 Liga Super tetapi kini ketinggalan 2 mata di belakang Red Warriors sementara Harimau Muda A jatuh ke posisi ke-6 selepas pesaing terdekat lain masing-masing mencatatkan kemenangan.
Keputusan: Perak 1 - Harimau Muda A 1
Singa Utara Terus Kempunan
Jauh di utara, Perlis yang masih lagi belum pernah menang musim ini terus kecewa. Meraikan kunjungan Kuala Lumpur ianya peluang terbaik untuk Singa Utara mencatat kemenangan pertama tetapi hanya seri tanpa jaringan mampu dihasilkan.
Jurulatih Perlis, Mustakeen Omar juga telah secara sah meletak jawatan beliau, menjadi jurulatih pertama yang menjadi mangsa kepincangan pasukan sendiri musim ini. Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff adalah pilihan utama untuk menjadi mangsa ke-2.
Keputusan: Perlis 0 - Kuala Lumpur 0
PREBIU PUSINGAN 2 PIALA FA
Saingan Piala FA untuk Pusingan 2 bermula malam ini dan esok, melibatkan semua 16 pasukan termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah yang mendapat 'bye' pada Pusingan 1.
Berikut susun atur perlawanan dengan pasukan ditilik menang oleh Unit Paranormal Sokernet bertanda *.
Negeri Sembilan* - Kuala Lumpur
PKNS FC - Pahang*
Perak* - Sime Darby FC
ATM - Terengganu*
Selangor* - Harimau Muda B
Harimau Muda A* - Johor
Johor FC - Kelantan*
Felda United* - Kedah
Berita gembira buat adik Haris Adam, Astro Arena bakal menyiarkan perlawanan PKNS FC lawan Pahang esok.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment