Showing posts with label liga super malaysia. Show all posts
Showing posts with label liga super malaysia. Show all posts

Tahniah Red Warriors





Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo.....Gomo Kelate Gomo


Musim Liga Super 2011 melabuhkan tirai malam tadi. Kelantan aka The Red Warriors telah dinobatkan sebagai juara baru Liga Super. Merasa juga demo nak pegang trofi Liga Super ya?

Sokernet mengucapkan tahniah kepada Kelantan dan pastinya Red Warriors semua bergembira dan bersyukur di atas kejayaan gilang-gemilang ini. Tapi pastinya dalam ramai-ramai peminat Red Warriors tidak ada yang lebih layak untuk bergembira dan sujud syukur melainkan...




Ya, Perdana Menteri kita yang merupakan anak jati kelahiran Pekan, Pahang dan juga peminat nombor 1 Red Warriors!




p/s: Pahang apa cerita? Relegated atau bakal diselamatkan dengan daulat Sultan Bola sekali lagi?

Tahukah anda, Yob?





"Ater setiap yang beranak di segenap pelusuk negeri teman ini, yang jantan namanye Yob, yang betine namanye Yong, deme ini tidaklah lain makannye kecuali deghoyan dengan tempoyak, dan tidaklah lain pasukan pilihannye melainkan skuad Seladang ajenye"
- Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (Fasal 7)

Yob tenang seperti biasa. Pasukan teman idak le kecoh kahwin dengan artis atau sibuk digosipkan dengan artis. Pasukan teman keghojenye main bola ater itu aje le yang dibuat deme sejak adanye langit dan bumi (dan juga padang bola). Deme tak pernah bergebang misi 3 piale ke ape ke. Kalau elok bebenor mainnye, deme menang piale. Kalau idak berape elok gayanye, deme menten je dalam Liga Super. Abih musim Liga Super deme sibuk musim deghoyan. Tapi nama nak kena relegated tu idak le sama sekali.

Yob dan Seladang, sejak dari azali lagi dan sejak dari M Karathu belum jadi Datuk M Karathu, adalah pasukan yang low profile kata orang putih. Tak pernah kecoh dapat pemain bertaraf bintang atau pemain muka jambu. Dasar pembelian pemain Yob sangat mudah, siapa yang gemor makan deghoyan atau tempoyak, deme boleh main untuk Seladang. Tak percaye? Mike tanye Jang Jung!


Deme idak kahwin dengan artis!


Teman tau, dalam bolasepak Malaysia ini apok segala bola ialah tak lain dan tak bukan Red Giants. Udah bermacam piala dijulang deme, jenis yang Liverpool pun tak mampu nak julang ceritenye. Anak sedare Pak Jabit yang keghoje pejabat SUK Selangor tu pernah cerite kat teman, di Selangor FA nun deme simpan piale bukan dalam kabinet lagi dah, tapi dalam gudang! Punya la banyak piale deme menang sampai udah tak terbela gayanye.

Teman tabik. Teman tabik sama Red Giants. Nak banding dengan Seladang teman memang tak tercelen kata orang kampung teman. Tapi itu dari segi fakta dan sejarah aje le ye. Ateh padang, hah lain ceritenye kome!


"Oh kome, deghoyan dah berbunge" - nyanyi Cikgu Jan minggu sudah


Besok di Shah Alam, Yob akan berdepan dengan Red Giants. Tapi Yob tenang setenang air muka Cikgu Jan. Bukan baru kali pertama Yob berdepan dengan Red Giants. Udah tak terkire banyaknye!

Mengikut sumber yang teman dengor, barisan kesebelasan Yob berada dalam keadaan tip-top. Selepas kemenangan bergaye ke atas Happy Warriors dan mengayamkan Khairul Fahmi Che Mat macam ayam KFC (M) Holdings, Seladang terus bernafsu untuk menyondol Red Giants. Ater?


Kiper Kelantan yang femes sedang mengutip buah nyor


Teman yakin, Hantu Kak Limah dan Hantu Piala FA 1992 akan merasuk Yob sekalian esok untuk merampas puncak klasemen Liga Super dari Red Giants. Tidak mustahil asalkan Red Giants tidak keluarkan senjata mesum seperti di bawah yang Sabah pernah gunakan ke atas Yob di Likas minggu lalu.




Bab macam ni, Yob bergoncang sikit.

*Gambor-gambor dari Perak FA dan simpanan peribadi teman

Kelate Kecek Besar Jah, Mapuh Kene Nga Pahe 2-0!







Nak buat lagu mano? Kito harap yang baik-baik kat Red Warriors belako. Kalah mene adat permainan.

Ish, ambo berdaroh idung nih. Tok tehe nengok video lagu ni!

Yob - The Invincibles





Ater, mike pun nak klasemen juge, ajenye ye!

Rebiu Liga Super Perlawanan 6 & Prebiu Piala FA Pusingan 2



REBIU PERLAWANAN 6 LIGA SUPER

Musuhnya Habis Binasa?

Misi pemburuan 3 piala nampaknya sudah semakin parah. Sama saja parahnya dengan Jang yang melepas nak kahwin dengan Milah. Sekalipun mempunyai slogan 'Musuhnya Habis Binasa' yang penuh berseni dan beradat ibarat luahan tutur kata Rais Yatim, Negeri Sembilan langsung tidak digeruni oleh lawannya.



Red Warriors menyambut kedatangan Negeri Sembilan ke Kota Bharu dengan satu matlamat, mem-budu-kan Jang. Dan itulah yang dilakukan oleh anak buah M Karathu. Negeri Sembilan berjaya mengikat Kelantan tanpa jaringan di babak pertama tetapi di babak kedua Jang tumbang seperti tewasnya Aidil Zafuan dalam pelukan Rita Rudaini.

S Chanturu terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-51 hasil tendangan percuma dari Nurul Azwan Roya. Kemudiannya penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha memastikan 3 mata penuh selamat dalam genggaman hasil jaringan minit 76 dan 82.

Kekalahan 3-0 Negeri Sembilan sebenarnya boleh dikatakan di luar jangkaan apatah lagi ini ibarat pertemuan ulangan akhir Piala Malaysia 2010. Dan dengan ketandusan gol di barisan serangan Jang setakat ini (hanya 5 gol dari 6 perlawanan) mungkin tiba masanya untuk Wan Jamak mengintai penyerang terbaru bagi mempertajamkan barisan serangan. Ayam tambatan Sokernet, Jorji mungkin pilihan terbaik untuk Jang misalnya.
Keputusan: Kelantan 3 - Negeri Sembilan 0

Red Giants Bangkit

Selangor kembali bangkit untuk mempertahankan kejuaraan liga apabila mudah menundukkan Kedah di Shah Alam. Selepas seri tanpa jaringan di Pasir Gudang minggu lalu, Kedah dijadikan mangsa oleh Red Giants untuk melepas geram meledak gol sekaligus mengukuhkan reputasi Selangor sebagai kuasa bolasepak dulu, kini dan selamanya.



Fadzli Saari (53) dan Asraruddin Putra Omar (81) muncul penjaring buat Selangor di Shah Alam untuk meletakkan Red Giants di posisi ke-4 Liga Super dengan 11 mata. Kedah pula kini terus terperosok di posisi ke-10, 2 kekalahan dari 2 perlawanan memberikan mereka rekod terburuk bermain di tempat lawan sedang mencatat keputusan seri di tempat sendiri nampaknya sudah menjadi adat buat Hijau Kuning.

Mahu atau tidak, Kedah perlu berbuat sesuatu atau kejayaan 'Double Treble' beberapa tahun dulu akan hanya jadi 'sandarkan pada kenangan'.
Keputusan: Selangor 2 - Kedah 0

Penyu Mengganas

Okay, penyu sebenarnya bukanlah haiwan yang ganas tetapi Terengganu terus memastikan bahawa jolokan kuasa bolasepak Pantai Timur bukan milik Kelantan secara mutlak. Berdepan Johor FC di Kuala Terengganu, anak buah Irfan Bakti tidak membuang masa mengutip 3 mata penuh untuk terus mengejar musuh tradisi Kelantan.

Hanya 7 minit diperlukan Hadi Yahya untuk memecah kebuntuan hasil hantaran lintang Ashaari Shamsuddin. Berselang 7 minit kemudian Terengganu menggandakan jaringan, kali ini melalui Ismail Farouqi hasil tendangan percuma.

Percaturan Irfan Bakti memastikan Terengganu terus menguasai babak kedua perlawanan dengan Johor FC yang ketandusan penyerang berkualiti gagal mengancam gawang Terengganu. Pada minit ke-77, Hadi Yahya melorong bola buat membalas budi Ashaari Shamsuddin untuk pemenang Kasut Emas 2010 itu menghasilkan gol ke-3 Terengganu.
Keputusan: Terengganu 3 - Johor FC 0

Tok Gajah Kecewakan Haris Adam

Kalau Kelantan dan Terengganu sukses selalu, lain pula ceritanya dengan Pahang. Skuad Tok Gajah terus dirundung malang sekali pun bermain di Stadium Darul Makmur.

Bertemu Sabah tugas mudah buat Dollah Salleh dan Pahang tetapi mereka jelas ketar lutut berdepan dengan pasukan yang dikuasai Ultra Sumandak. Razlan Oto meletakkan pelawat di depan pada minit ke-31 dan kemudian Leopold Alphonso menambah gol ke-2 Sabah pada minit ke-70.

Tetapi mungkin kerana campur tangan saat akhir Sultan Bola, Pahang berjaya bangkit melalui R Surendran (71) dan Famirul Asyraf (79) buat kedua-dua pasukan berkongsi mata dan kekal di bottom half Liga Super.
Keputusan: Pahang 2 - Sabah 2

Budak Felda Terus Mara

Bukan senang menjadi sebuah pasukan kelab dan bermain menentang gergasi-gergasi pasukan negeri. Tetapi setakat Perlawanan 6 ini Felda United membuktikan mereka mampu bersaing sekalipun menjadikan pasukan kelab lain sebagai mangsa.



Menentang T-Team yang berada dalam zon penyingkiran, Felda United mudah membolot 3 mata penuh bagi melonjak diri ke posisi ke-5 Liga Super. Farderin Kadir (61) dan Zamri Chin (66) muncul penyumbang gol buat pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ.

T-Team yang menang kali pertama minggu lepas kini kembali tertekan. Indra putra, Azizi Matt Rose dan Nor Farhan yang diharap dapat memperkuatkan barisan kesebelasan T-Team terus mengecewakan sedang Yunus Alif masih gagal mencari penawar yang diperlukan.
Keputusan: Felda United 2 - T-Team 0

Yob Kekal Rekod Tanpa Kalah

Perak yang setakat ini telah mengejutkan ramai pihak dengan pencapaian luar jangkaan berdepan ujian getir apabila didatangi oleh Ong Kim Swee dan Harimau Muda A beliau. Tetapi Yob seperti biasa steady seperti M Daud Kilau.

Selaku pesaing rapat Kelantan, Cikgu Jan pastinya mahukan 3 mata penuh tetapi ianya agak sukar kerana Harimau Muda A setakat ini hanya tumpas sekali itu pun secara tidak sengaja kepada Negeri Sembilan. Dan seawal minit ke-12 apabila Wan Zack Haikal mengejutkan segenap Yob dan Yong melalui jaringan beliau melalui satu serangan balas.

Perlawanan yang disiarkan secara langsung jelas menarik dengan Yob terus menggandakan asakan untuk membalas gol Harimau Muda A. SJ9 dan AR14 memberikan gandingan mantap tetapi pertahanan anak buah Ong Kim Swee tetap utuh menahan asakan Yob.

Cikgu Jan memilih untuk memasukkan El Tornado di hujung permainan ketika Yob kelihatan bakal tumpas buat kali pertama musim ini. Tetapi penyelamat terakhir umat Yob rupanya ialah Noor Hazrul, tendangan percuma dari beliau menembusi dinding pemain Harimau Muda A pada minit ke-86 untuk gol penyamaan.

Yob terus kekal di posisi ke-2 Liga Super tetapi kini ketinggalan 2 mata di belakang Red Warriors sementara Harimau Muda A jatuh ke posisi ke-6 selepas pesaing terdekat lain masing-masing mencatatkan kemenangan.
Keputusan: Perak 1 - Harimau Muda A 1

Singa Utara Terus Kempunan

Jauh di utara, Perlis yang masih lagi belum pernah menang musim ini terus kecewa. Meraikan kunjungan Kuala Lumpur ianya peluang terbaik untuk Singa Utara mencatat kemenangan pertama tetapi hanya seri tanpa jaringan mampu dihasilkan.

Jurulatih Perlis, Mustakeen Omar juga telah secara sah meletak jawatan beliau, menjadi jurulatih pertama yang menjadi mangsa kepincangan pasukan sendiri musim ini. Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff adalah pilihan utama untuk menjadi mangsa ke-2.
Keputusan: Perlis 0 - Kuala Lumpur 0

PREBIU PUSINGAN 2 PIALA FA

Saingan Piala FA untuk Pusingan 2 bermula malam ini dan esok, melibatkan semua 16 pasukan termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah yang mendapat 'bye' pada Pusingan 1.

Berikut susun atur perlawanan dengan pasukan ditilik menang oleh Unit Paranormal Sokernet bertanda *.

Negeri Sembilan* - Kuala Lumpur
PKNS FC - Pahang*
Perak* - Sime Darby FC
ATM - Terengganu*
Selangor* - Harimau Muda B
Harimau Muda A* - Johor
Johor FC - Kelantan*
Felda United* - Kedah

Berita gembira buat adik Haris Adam, Astro Arena bakal menyiarkan perlawanan PKNS FC lawan Pahang esok.

Rebiu Liga Super Perlawanan 5 & Prebiu Liga Super Perlawanan 6

Rebiu Perlawanan 5

Kuala Lumpur 1 - Terengganu 2

Selepas tunduk kepada Red Giants dalam perlawanan 4, Terengganu kembali menemui rentak kemenangan mereka apabila mudah membenam Kuala Lumpur. The Hawks sepatutnya bermain sebagai tuan rumah tetapi oleh kerana Stadium KLFA sedang dibaik pulih padangnya maka perlawanan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dan peluang ini tidak disia-siakan oleh anak buah Irfan Bakti, Hadi Yahya merobek gawang pada minit ke-38 dan Ashaari Samsuddin pula pada minit ke-52. Kuala Lumpur yang bermain dengan hanya 10 orang pada minit ke-65 bagaimana pun memperolehi gol saguhati melalui Yong Kuong Yong pada minit ke-83.

Kemenangan kedua musim ini meletakkan Terengganu di posisi 5 Liga Super sementara Kuala Lumpur jatuh ke posisi 10 dengan kekalahan kedua berturut-turut.

Kedah 1 - Kelantan 1

Stadium Darul Aman terus kekal sebagai kubu kuat Hijau Kuning tetapi dengan 3 dari 4 perlawanan di sana berakhir dengan keputusan seri ia bukanlah keputusan yang memenuhi jangkaan para penyokong.

Azlan Ismail meletakkan Kedah di depan pada minit ke-57 melalui tap in menarik dari hantaran lintang Baddrol Bakhtiar.Dan pada minit ke-67 Azmi Muslim hampir menggandakan gol skuad Kenari tetapi Khairul Fahmi cemerlang di gawang Red Warriors.

Ketika Kelantan dilihat bakal menerima kekalahan pertama musim ini, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan kenapa beliau antara penyerang terbaik Malaysia ketika ini apabila merembat kencang gol penyamaan melalui satu turning yang menarik pada minit ke-79. Keputusan seri sudah memadai untuk Kelantan sementara Kedah terus tertekan dengan penyokong mengibar kain rentang menuntut perletakan jawatan jurulatih, Ahmad Yusoff.

Johor FC 0 - Selangor 0

Kebangkitan barisan serangan Red Giants mungkin sekadar hangat-hangat tahi ayam jika dilihat kepada keputusan perlawanan ini. Bertandang ke Pasir Gudang menentang pasukan kelab yang sinonim dengan ayam goreng hingga menjilat jari, K Devan dan barisan bintang beliau digoreng masak-masak oleh Johor FC.

Untuk Johor FC, kegagalan menemui jaring gol memang sudah dijangka dari barisan serangan mereka yang agak tumpul tetapi tidak buat Selangor yang dibarisi majoriti pemain kebangsaan. Keputusan seri terus meletakkan Selangor di pertengahan liga ala-ala Liverpool dan semakin tertekan dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super mereka.

Sementara Safee Sali di Indonesia khabarnya rilek-rilek mencetak gol buat Pelita Jaya dalam perlawanan persahabatan.

Negeri Sembilan 1 - Sabah 0

Sabahawks diiringi Sumandak bertandang ke Paroi untuk bertemu Jang yang sebelum ini kalah 2 perlawanan berturut-turut.

Sabah setakat ini dikenali sebagai antara pasukan paling konservatif dari segi permainan, hanya menyumbat 1 gol dan bolos 2 dari 4 perlawanan sebelumnya. Dan untuk 82 minit pertama Jang dilihat bakal lemas dalam pelukan Sumandak apabila terus buntu mencari gol.

Nasib ada Zaquan Adha yang berkahwin dengan Ayu Raudhah dan tidak mudah tergoda dengan pesona Ultra Sumandak. Gol tunggal beliau memastikan Jang beroleh 3 mata dan melompat ke posisi 3 Liga Super di bawah Abe dan Yob. (Pembetulan: Hai-O yang skor, Stuart Ramalingam tipu aku lagi!)

Pahang 0 - Perak 2

Talk to the hand kata orang Pahang. Yob bertandang ke Stadium Darul Makmur demi menjadi pasukan pertama yang bakal menumbangkan Tok Gajah di sarangya sendiri. Ater?

Ater Yob dengan mudah mengotekan janji untuk pulang dengan 3 mata penuh berserta gading Tok Gajah. SJ9 yang pertama merobek gawang Pahang melalui gol jarak dekat minit ke-23. Dan kemudian ianya disusuli oleh kuda tua AR14 tepat pada minit ke-45. Untuk separuh masa kedua para pemain Yob lebih santai dengan banyak berguling-guling di atas rumput negeri Pahang yang makmur. Ajenye ye!

Sekali lagi, dua pemain Kedah menjadi penyumbang gol buat Yob dengan El Tornado khabarnya direhatkan oleh Cikgu Jan. Dengan Yob telah meledak 6 gol musim ini, Kedah pula hanya baru menghasilkan 2 gol dan mengundang persoalan dari Changlun ke Sungai Petani, kenapa SJ9 dijual pada Perak dan AR14 tidak dipujuk pulang ke Kedah dari Kelantan?

Harimau Muda A 1 - Felda United 1

Harimau muda peliharan Ong Kim Swee gagal meraih peluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan klasemen Kelantan apabila hanya mampu seri dengan Felda United di Shah Alam. Tetapi ianya tidak mengapa kerana misi yang paling utama buat Harimau Muda A ialah layak ke Olimpik 2012 dengan persaingan Liga Super lebih kepada latihan buat para pemain.

Wan Zaharulnizam yang menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan sebelumnya meneruskan kecemerlangan apabila menymbang gol tunggal buat Harimau Muda A. Felda United bernasib baik diberikan penalti yang disempurnakan oleh Liew Kit Kong pada minit ke-68.

Keputusan seri bermakna Harimau Muda A jatuh ke posisi 4 di bawah Negeri Sembilan sementara Felda United selesa di posisi ke-7 Liga Super.

T-Team 3 - Perlis 0

Pertembungan dasar Liga Super menemukan dua pasukan yang masih belum beroleh kemenangan musim ini. Tetapi Yunus Alif dan pemain T-Team beliau membuktikan untuk musim 2011 ini gelaran pasukan paling hina menjadi milik mutlak Singa Utara buat masa ini.

Seawal 3 minit diperlukan oleh T-Team untuk berada di depan melalui Khairul Izwan. Tujuh minit kemudian Badrul Hisani menambah jaringan kedua buat T-team dengan Khairul Izwan menemui gol peribadi ke-2 pada minit ke-59 selepas menanduk tendangan percuma Rosdi Talib.

Kemenangan ini membantu mengeluarkan T-Team dari zon penyingkiran buat masa ini sementara Perlis terus terperosok di dasar liga.

Prebiu Perlawanan 6

Malam ini bakal berlangsung semua 7 perlawanan dengan Astro Arena bakal menyiarkan secara langsung pertemuan Perak dan Harimau Muda A (selepas kita semua hampir termuntah disajikan dengan perlawanan melibatkan Red Warriors). Lebih menarik lagi semua 4 pasukan teratas Liga Super bakal bertemu sesama sendiri dan perubahan besar kedudukan liga dijangkakan bakal berlaku malam ini.

Kelantan (1) - Negeri Sembilan (3)

Dua pasukan yang kebelakangan ini kerap bermusuhan antara satu sama lain bakal bertemu dalam perlawanan yang menjanjikan botol, mercun dan potensi pembakaran kereta secara berjemaah. Hairuddin Omar (Hai-O) yang menjaringkan gol buat Kelantan dalam Piala Malaysia 2010 kini telah menyarung jersi Jang dan kepulangannya ke Kota Bharu pastinya bakal menghangatkan lagi suasana. Jang juga bakal dikuatkan dengan kembalinya Aidil Zafuan selepas sekian lama dikepit oleh Rita Rudaini sementara Zaquan Adha berharap dapat meneruskan sentuhan jaringan beliau malam ini. Jurulatih legend milik Red Warriors, M Karathu juga turut yakin bahawa Red Warriors mampu mengatasi Jang di tempat sendiri sekalipun agak gusar dengan kegagalan Kelantan menjaringkan lebih banyak gol (sekalipun setakat ini sebenarnya Red Warrios sudah pun beroleh 10 jaringan).
Tilikan: Kelantan 1 - Negeri Sembilan 1

Selangor (6) - Kedah (8)

Dua pasukan heavyweight bolasepak Malaysia (selain Yob pastinya) bertemu di Shah Alam selepas masing-masing mencatat seri dalam perlawanan sebelumnya. Jurulatih kedua pasukan juga khabarnya sedang panas bontot dengan Ahmad Yusoff lebih tertekan selepas munculnya suara-suara protes dari penyokong Hijau Kuning ketika seri bertemu Kelantan minggu lalu. K Devan agak optimis bermain di tempat sendiri bakal memberi kelebihan buat Red Giants dengan harapan gandingan Fadzli Shaari dan Amri Yahyah mampu menghasilkan kembali gol buat Selangor.
Tilikan: Selangor 2 - Kedah 0

Terengganu (5) - Johor FC (11)

Irfan Bakti pastinya mahukan 3 mata penuh malam ini dari pemain skuad Penyu beliau dan ia tidak mustahil dengan Hadi Yahya dan Manaf Mamat berada dalam keadaan terbaik untuk diturunkan malam ini sementara gandingan tengah antara Ashaari Shamsuddin dan Joseph Kalang Tie dijangka bakal menguasai bola dari dimiliki oleh Johor FC. Kehilangan Nurul Azwan Roya serta ramai lagi pemain dari musim lepas mengubah skuad Lebah kepada satu pasukan yang sangat berbeza musim ini dan berkemungkinan besar Lebah bakal dihempap Penyu di Kuala Terengganu.
Tilikan: Terengganu 3 - Johor FC 0

Felda United (7) - T-Team (12)

Kemenangan minggu lalu memberikan nafas lega buat Yunus Alif dan T-Team. Tetapi Felda United bukan sama seperti Perlis dan malam ini di Stadium MBPJ keupayaan sebenar T-Team bakal diuji. Khairul Izwan sekali lagi ditagih dapat menghasilkan jaringan buat T-Team sementara trio Indra Putra, Nor Farhan dan Azizi Mat Rose yang diharap dapat memberikan sumbangan seperti yang mereka lakukan di Kelantan musim lepas. Tetapi Felda United terkenal sebagai pasukan kental yang tetap sukar ditundukkan sekali pun bermain dengan 10 pemain dan perhatian perlu diberikan kepada seorang Yob berumur yang cukup berpengalaman iaitu Liew Kit Kong.
Tilikan: Felda United 2 - T-Team 1

Perak (2) - Harimau Muda A (4)

Berita baik buat Yob, Perak belum pernah tewas musim ini di Stadium Perak, gelanggang perlawanan malam nanti. Dan satu lagi berita baik buat Yob, Ong Kim Swee dijangka bakal merehatkan beberapa pemain utama Harimau Muda A untuk memberi lebih fokus pada perlawanan pra-Olimpik menentang Pakistan. Menteri Belia dan Sukan juga sudah memberikan amaran bahawa pra-Olimpik lebih utama dari Liga Super dan ketiadaan Fadhli Shas serta Irfan Fazail ke Ipoh bakal memudahkan anak buah Cikgu Jan melaksanakan tugas mengutip 3 mata penuh. SJ9 dan AR14 dijangka bermain seperti biasa sementara El Tornado masih perlu mendapatkan lampu hijau dari Nasi Vanggey sebelum dapat bermain.
Tilikan: Perak 2 - Harimau Muda A 0

Pahang (9) - Sabah (13)

Tok Gajah yang klasemen di awal musim kini semakin pincang selepas kubu keramat mereka dinodai Yob dan Hantu Kak Limah. Kali ini kawan-kawan Haris Adam dan Pipiyapong bakal berdepan pula dengan Sabahawks dan Ultra Sumandak. Oleh kerana Pahang sudah kalah minggu lepas, kita kembali kepada tilikan kejam tanpa perasaan belas kasihan.
Tilikan: Pahang 0 - Sabah 5

Perlis (14) - Kuala Lumpur (10)

Nafas lega buat Razip Ismail selepas City Boys terus ketandusan 3 mata selepas 3 perlawanan apabila mereka bertandang ke Kangar malam ini bertemu Perlis pasukan tercorot. Tetapi di Stadium Utama skuad Singa Utara bukan lawan yang mudah walaupun mereka dilihat sebagai pasukan paling lemah musim ini. Tidak mustahil malam ini Singa Utara bakal beroleh kemenangan sulung mereka.
Tilikan: Kuala Lumpur 0 - Perlis 1

Harimau Malaya 2 The Greenshirts 0 & Prebiu Liga Super Perlawanan 5





Kelayakan Olimpik

Tahniah pada Harimau Malaya kerana berjaya menundukkan The Greenshirts atau Pakistan 2-0. Wan Zaharulnizam Zakaria dan Irfan Fazail meneruskan kecemerlangan Harimau Muda A dalam Liga Super berterusan ke kelayakan Olimpik.

Tapi menang 2-0 ke atas Pakistan dalam bolasepak tidak sama dengan menang 2-0 dalam hoki sebagai contoh. Pakistan bukan negara gila bolasepak macam kita.Di sana hoki dan kriket jauh lebih besar dan lebih penting bagi negara yang banyak melahirkan pemain hoki, pemain kriket dan penjual karpet. Dan dalam kita di sini sibuk bercakap tentang kemenangan 2-0 itu, dari Karachi hingga Gujrat di Pakistan sana mereka lebih berminat untuk bersembang tentang Piala Dunia Kriket yang sedang berlangsung pada masa ini (Pakistan berada di ranking ke-3 dunia dalam sukan kriket dan menang ke atas Kenya dengan 205 larian dalam perlawanan pertama).



Makanya, untuk Malaysia menang ke atas Pakistan di Bukit Jalil dan di Lahore adalah wajib. Ujian sebenar kita nanti ialah pada Pusingan 2 apabila kita bakal berdepanm dengan 13 pasukan top seed Asia untuk kelayakan Olimpik ini. Ada baiknya kita berdoa untuk ditemukan dengan Vietnam paling kurang.

Kalau dinilai dari permainan Malaysia menentang Pakistan, boleh dikatakan ia agak hambar dan prestasi yang ditunjukkan belum cukup untuk menjamin kita mampu ke Olimpik 2012. Ong Kims Swee bagaimanapun masih ada masa dan peluang untuk memperbaiki mutu permainan Malaysia.

Kita kali terakhir layak ke Olimpik pada tahun 1980 di Moscow (itu pun Malaysia tarik diri kerana memprotes penaklukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan). Sudah 30 tahun berlalu semenjak kita kali terkahir layak ke Olimpik, lebih lama dari kemarau kejuaraan liga yang dialami Liverpool sekarang.

Liga Super Perlawanan 5

Selesai dengan saingan kelayakan Olimpik, saingan liga bolasepak tempatan kembali lagi. Dua perlawanan bakal berlangsung malam ini sementara selebihnya esok. Astro macam biasa bakal menayangkan satu perlawanan secara langsung malam ini iaiatu Kedah lawan Kelantan. Rasanya untuk malam esok tidak ada siaran langsung. Arena Bola Jumaat kata Rizal Hashim.

Kuala Lumpur (10) - Terengganu (8)

Kedua pasukan berkongsi mata tetapi dipisahkan melalui perbezaan jaringan setakat ini. Kuala Lumpur walaupun tanpa kelibat bintang telah menunjukkan permainan yang agak baik di bawah kendalian Razip Ismail. Namun begitu juga buat skuad Penyu, Irfan Bakti memilik dalam kesebelasan beliau gabungan mantap Hadi Yahya dan Manaf Mamat di barisan serangan sambil dibantu oleh Ashaari Shamsuddin dan Joseph Kalang Tie. Kuala Lumpur mungkin bermain di tempat sendiri, tetapi Terengganu mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kemahiran serta dijangka bakal membawa pulang 3 mata penuh.
Tilikan: Kuala Lumpur 1 - Terengganu 2

Kedah (9) - Kelantan (1)

Kelantan kini selesa sebagai pasukan klasemen tetapi kali ini mereka bakal berdepan ujian getir menghadap skuad Kenari di Stadium Darul Aman. Harus diingat Kedah setakat ini masih belum pernah tewas di tempat sendiri dan dijangka bakal memberi saingan sengit apabila jurulatih Ahmad Yusoff mengumumkan bahawa trio Amar Rohidan, Khyril Muhymeen dan Azlan Ismail bakal beraksi malam ini. M Karathu pula menjangkakan Norshahrul Idlan Talaha bakal dirantai oleh pertahanan Hijau Kuning lalu mengharapkan penyerang muda Ramzul Zahini untuk memburu gol buat Red Warriors sambil Nurul Azwan Roya memainkan peranan sebagai pembekal umpan buat barisan serangan. Di gawang pula ialah persaingan peribadi antara bekas penjaga gol Harimau Malaya iaitu Helmi Eliza untuk Kedah dan penjaga gol popular masa kini, Khairul Fahmi untuk Kelantan. Kedah juga turut mempunyai reputasi sebagai pasukan tunggal yang pernah menewaskan Kelantan dalam Liga Super musim lepas.
Tilikan: Kedah 1 - Kelantan 1

Johor FC (12) - Selangor (4)

Pasukan kelab, Johor FC kini tidak berada dalam keadaan terbaik dan lebih getir lagi mereka terpaksa berdepan dengan Selangor yang jelas sudah pulih dari krisis awal musim mereka (dan ini berlaku sebaik saja Safee Sali berpindah ke Pelita Jaya). K Devan dijangka bakal menurunkan barisan yang serupa ketika menang ke atas Terengganu sebelum ini dengan sentuhan Amri Yahyah, Amirul Hadi dan Hardi Jaafar ditagih untuk menghasilkan gol buat Red Giants. Cuma barisan pertahanan Selangor yang agak menggusarkan K Devan (bolos 5 gol setakat ini) tetapi mengambil kira barisan serangan Johor FC yang agak tumpul (hanya 2 gol), Red Giants berpeluang cerah untuk membawa pulang 3 mata penuh.
Tilikan: Johor FC 0 - Selangor 3

Jawa tetapi tidak minat bermain untuk kelab-kelab Jawa di Indonesia macam Pelita Jaya


Negeri Sembilan (7) - Sabah (11)

Pendatang baru Liga Super, Sabah yang dijangka bakal memberi cabaran hebat musim ini nampaknya hanya gah pada sumandak dan nama Sabahawks. Sudah pun terkeluar dari saingan Piala FA selepas tunduk kepada pasukan kesayangan Pipiyapong dan Sultan Bola minggu lepas, kini harapan Sabah ialah untuk memberikan persembahan terbaik dalam Liga Super. Tetapi dengan keupayaan menjaringkan hanya 1 gol dalam saingan liga setakat ini petanda jelas kepincangan anak buah Gary Phillips (satu-satunya jurulatih asing dalam Liga Super). Dan ini adalah berita baik buat Wan Jamak dan juga Shukor Adan yang mengepalai barisan pertahanan Jang. Fakhri Saarani diharap dapat memburu gol buat Jang sementara Idris Karim, jika turun malam esok adalah otai yang diharap dapat membimbing Jang ke jalan yang lurus. Nak harap pemain kahwin artis memang tak dapek den nak nolong!
Tilikan: Negeri Sembilan 2 - Sabah 0

Otai dan tetap rock star tanpa perlu berkahwin dengan artis


Pahang (6) - Perak (2)

Yob seluruh dunia khabarnya kini menyerongeng sambil makan deghoyan dengan berkata, "Ini tahun keme!". Tetapi Cikgu Jan pantas memberi ingatan awal bahawa "Yob masih belum konsisten, teman masih nunggu bile mendenye nak berlaku". Yob semua pasrah. Pahang musim ini juga tidak konsisten tetapi harus diingat mereka masih belum tunduk lagi di Stadium Darul Makmur, daulat Sultan Bola dan jampi Pipiyapong sangat kuat di situ. Pun begitu gandingan mantap AR14 dan SJ9, dua anak Kedah yang berbakti untuk Yob bakal menjadi sandaran Cikgu Jan. Tidak lupa juga pastinya duta Nasi Vanggey, Razali Umar Kandasamy atau nama timangannya El Tornado yang boleh saja diturunkan sebagai supersub jika AR14 dan SJ9 gagal mencetak gol. Untuk Tok Gajah pula, Dollah Salleh dijangka meletakkan gajah di pintu gol Pahang.
Tilikan: Perak 1 - Pahang 0 (steady Yob!)

El Tornado - Kini bebas dari cengkaman Nasi Vanggey


Harimau Muda A (3) - Felda United (5)

Felda United ini memang lain macam. Entah apa yang E Elavarasan buat agaknya, sekalipun bermain 10 orang mereka masih mampu menang (ke atas Jang dan Singa Utara sebelum ini). Tetapi kali ini dengan Harimau Muda A sebagai lawan, Felda United mungkin perlukan 12 pemain di atas padang. Segar dari kemenangan 2-0 ke atas Pakistan anak buah Ong Kim Swee dijangka tidak menghadapi masalah menundukkan Felda Boys.
Tilikan: Harimau Muda A 3 - Felda United 0

T-Team (13) - Perlis (14)

Pertembungan dasar Liga Super. Kedua-dua pasukan telah menunjukkan potensi sebagai calon penyingkiran tetapi Singa Utara dilihat jauh lebih bermasalah. Dengan disiplin pemain atas padang serta salah seorang darinya didakwa di mahkamah kerana menyonyot nenen budak sekolah, Mustakeen Omar berdepan dengan cabaran besar untuk mengubah nasib Singa Utara. Gerombolan besar pemain-pemain Kedah yang dibawa masuk ke Perlis juga nampaknya kurang berhasil dengan penyerang Samransak Kram paling mengecewakan. Manakal untuk T-Team, masih ada sinar buat anak buah Yunus Alif jika persembahan mereka menentang Kelantan dalam Piala FA dijadikan kayu pengukur. Gandingan Indra Putra dan Nor Farhan di jentera tengah sudah menunjukkan perubahan positif. Manakala di barisan pertahanan Azizi Matt Rose dan Rosdi Talib dijangka tidak mempunyai masalah mengekang barisan serangan Singa Utara.
Tilikan: T-Team 2 - Perlis 1

Liga Super Setakat Kini

1) Kelantan 3 1 0 9-2 10
2) Perak 2 2 0 4-1 8
3) Harimau Muda A 2 1 1 7-4 7

Gol - 57 (2.04 setiap perlawanan)

Paling Tajam - Kelantan (9 gol)

Paling Kebal - Perak & Kedah (1 bolos)

Notis: Gambar diambil tanpa izin. Untuk perlawanan-perlawanan Liga Super akan datang, kerana laman FAM macam haram dan media tempatan tidak boleh diharap, Sokernet mengalu-alukan sumbangan foto dari mereka yang hadir ke stadium (sama ada foto pasukan, pemain atau penyokong sendiri). Hantarkan foto klasemen anda ke sokernetmail@gmail.com dengan tajuk 'Foto Klasemen Liga Super' dan disertai penerangan foto tersebut. Sila hantar sebelum 12.00 tengahari 28 Februari 2011.

Liga Super: Kelate Make Budu, Selangor Layan Tempe, Sumandak Kena Enjut & Apo Kono Eh Jang?



Brader Jang ni malam tadi marah dia bukan main, habis botol dibaling sambil tunjuk jari tengah pada pengadil. Kata nogori beradat?



Siapa Safee Sali?

Red Giants membuktikan tanpa Safee Sali, mereka masih mampu meledak gol. Selepas seri dalam Derbi Lembah Klang hari Sabtu lepas, Selangor butuhkan kemenangan dan 3 mata jika mereka benar-benar serius mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Dengan Safee Sali selamat di Indonesia melayan perempuan-perempuan Kramat Tunggak, harapan Selangor untuk menghasilkan gol terletak pada trio Hardi Jaafar, Amirul Hadi dan Amri Yahyah. Jelas mereka tidak mengecewakan K Devan apabila pantas mengkucar-kacirkan pertahanan Terengganu.

Tak ada Safee Sali, tak ada hal


Tetapi Fadzli Shaari yang terlebih dulu mencatat nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan hantaran Hardi Jaafar untuk gol pertama Red Giants pada minit ke-16. Di penghujung babak pertama Amirul Hadi pula membekalkan bola buat Amri 'Red Devils' Destroyer' Yahyah meletak Selangor selesa mendahului 2-0.

Sebaik babak kedua bermula, Azidan Sarudin menambah derita skuad Penyu apabila memberikan gol ketiga Selangor hasil rembatan luar kotak penalti. Bolos 3 kali, reputasi Sharbinee Allawee selaku penjaga gol pilihan kedua Harimau Malaya nampaknya makin terus pudar.

Tetapi Terengganu juga membuktikan keupayaan mereka menghasilkan gol seperti yang berlaku di Kangar pada Sabtu lepas. Ashaari Shamsuddin menyempurnakan penalti pada minit ke-67 dan Hadi Yahya pula menerobos gawang Selangor pada minit ke-85. Namun kebangkitan Terengganu sudah terlewat dengan Red Giants memilih untuk bertahan kelebihan satu gol mereka di hujung permainan.
Keputusan: Selangor 3 Terengganu 2

Make Gapo Budok Kelate Ni?

Budu Cap Ketereh kot? Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada perlawanan menentang Red Warriors di Stadium Sultan Mohammad IV kerana Stadium KLFA dilaporkan sedang dibaik pulih padangnya. Jawabnya memang Kuala Lumpur dijadikan budu.

Dengan kelebihan yang diberikan Sultan Bola & Co, Kelantan tidak membuang masa untuk meratah Kuala Lumpur ibarat budak Kelantan baru turun dari Kota Bharu pekena bapuk di Lorong Haji Taib. Ramzul Zahini Adnan dan Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol untuk Red Warriors sedang Kuala Lumpur lebih banyak bertahan dalam misi tidak mahu bolos banyak.
Keputusan: Kuala Lumpur 0 Kelantan 2

Sumandak Kena Enjut

Johor FC tidak menghadapi sebarang masalah ke Stadium Likas seperti Kedah pada Sabtu lepas. Berdepan Sabahawks yang menerima sokongan padu dari Ultra Sumandak, Johor FC tenang dalam permainan mereka. Setakat awek pakai hot pants, pemain Johor FC dah selalu tengok di Danga Bay.

Riduwan Ma'on sekali lagi muncul penjaring Johor FC melalui gol tunggal perlawanan pada minit ke-55. Beliau kali ini mengelak dari menjadikan dirinya malaon untuk menjamin kemenangan pertama buat Johor FC pulang dengan 3 mata penuh.
Keputusan: Sabah 0 Johor FC 1

Superclasico Utara

Dua pasukan terhebat dari utara Semenanjung bertemu, dalam perseteruan antara kedua pasukan yang di antara mereka telah menjulang 11 Piala Malaysia, 6 Piala FA dan 5 kejuaraan liga. Di luar dari Kedah dan Perak, hanya Selangor sahaja yang mempunyai kejayaan lebih banyak dari dua pasukan utara Semenenanjung ini. Red Warriors dan Jang? Tolak tepi.

Bertandang ke Stadium Darul Aman yang merupakan kubu kuat Hijau Kuning, Yob tidak mengharapkan kemenangan apatah lagi bila memikirkan Perak tidak pernah menang di sana sejak 2007. Lantas Yob terpaksa berpuas hati apabila hanya mampu seri tanpa jaringan bertemu Kedah.

Sekali pun kehilangan 2 mata tambahan dan kini ketinggalan di belakang Kelantan, Cikgu Jan yakin dengan keupayaan Perak untuk terus mencabar Kelantan dalam perebutan klasemen. Manakala Kedah pula terus terperosok di posisi ke-9 Liga Super dengan hanya 5 mata setakat ini.
Keputusan: Kedah 0 Perak 0

Apo Kono Eh Jang?

Misi pemburuan 3 piala? Jang gentar tiada? Musuhnya habis binasa? Nogori beradat? Iyo lah. Apo-apo jo.

Selepas dilauk Seladang di Ipoh, Jang pulang ke Paroi dengan harapan kembali menemui sentuhan kemenangan. Tetapi apa yang berlaku ialah sentuhan kecundang buat Jang.

Jang - Musuhnya Habis Binasa


Berdepan Felda United, harapan Jang mengutip 3 mata penuh nampak bersinar apabila Felda United bermain dengan hanya 10 pemain untuk majoriti masa perlawanan. Tetapi harapan tersebut lebur apabila Felda United yang berjaya merobek gawang Jang di minit-minit akhir perlawanan, melalui pemain pertahanan Ghani Rahman.

Setakat 4 perlawanan ini, Jang menang 2 dan kalah 2. Wakil tunggal Jang di Sokernet khabarnya masuk pejabat pun termonong ajo. Ingat kek Milah ke Jang oi? Kondak kau Jang diambik orang, biar omak cari an lain, ompuk orang jangan diidam. Nayo eh!
Keputusan: Negeri Sembilan 0 Felda United 1

Pahang Power Macam Pohang Steelers?

Perlawanan ini Sultan Bola sudah set. Percayalah.
Keputusan: Pahang 1 T-Team 0

Harimau Dengan Singa Sama Kuat

Harapan Perlis untuk memperolehi kemenangan pertama terkubur juga. Faiz Subri terlebih dulu meletak Singa Utara di depan pada minit ke-73 dan untuk beberapa ketika jelas kelihatan Singa Utara bakal beroleh 3 mata pertama.

Harimau Muda lawan Singa Utara


Tetapi pada 10 minit terakhir, dua pemain Perlis dibuang padang, pertama sekali ialah Sany Mat Isa dan kemudiannya diikuti oleh Munawwar Shavukah Ali. Harimau Muda dengan pantas mengambil kesempatan dari kekurangan Singa Utara ini dan di minit terakhir Gary Robbat menyumbat gol penyamaan untuk meletak Harimau Muda selesa di posisi ke-3 Liga Super.
Keputusan: Harimau Muda A 1 Perlis 1

Kesimpulan

Menang buat kali ke-3 terus meletakkan Kelantan di puncak klasemen dengan 10 mata. Mereka juga telah meledak sejumlah 9 gol dengan hanya bolos 2 selepas 4 perlawanan setakat ini.

Walaupun begitu mengekori rapat di tangga ke-2 ialah Perak, 2 menang dan 2 seri memberikan Yob bekalan 8 mata. Bersama Kelantan, kedua pasukan ini masih 'invincible' dalam Liga Super musim 2011.

Harimau Muda A terus menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan berada di tangga ke-3 sementara Selangor melengkapkan Top 4.

Saingan Liga Super bakal berehat sebentar untuk memberi laluan pada perlawanan Piala FA yang bermula pada 18 dan 19 Februari ini. Harimau Muda A pula bakal bermain sebagai pasukan kelayakan Olimpik untuk Malaysia dalam pertemuan dengan Pakistan pada 23 Februari ini.

Kelate Klasemen, Yob Kokak Jang & Sumandak Seksi





Hujung minggu berlalu dengan perlawanan ke-3 Liga Super selamat melabuhkan tirai. Pun begitu selepas 3 perlawanan masih sukar sebenarnya untuk kita menilai pasukan mana yang berpotensi menduduki kelompok atas liga. Tidak macam EPL atau La Liga, liga bolasepak tempatan kita sukar diduga dan lebih mirip kepada Bundesliga di Jerman yang sentiasa berubah-ubah kedudukan pasukannya setiap musim.

Apa Habaq Singa Utara?

Perlis terus kekal manjadi pasukan tunggal dalam Liga Super yang masih belum berjaya mengutip sebarang mata setakat ini. Tiga perlawanan dan 3 kekalahan bukan apa yang dijangkakan oleh Mustakeen Omar dan 227,025 orang penduduk Perlis nun di utara.

Skuad Penyu, yang bertandang ke Kangar selepas mencatat keputusan seri menentang Kelantan di Kota Bharu sebelum ini, tampak lebih merbahaya dan terlebih dulu di depan melalui Hadi Yahya hasil hantaran cantik Joseph Kallang pada minit ke-23. Gol kedua pula menyusul melalui jaringan pemain kebangsaan, Ashaari Shamsuddin.

Perlis terus dilanda musibah apabila Hafiszuan Salehuddin menerjah keras Ashaari Shamsuddin dalam kotak penalti. Pengadil menghadiahkan penalti buat Terengganu yang disempurnakan oleh Manaf Mamat untuk gol ke-3 skuad Penyu pada minit ke-57.

Hafiszuan Salehuddin membantu Perlis merapatkan jurang melalui gol tunggal Singa Utara pada minit ke-66 tetapi tidak lama kemudian dilayangkan kad kuning kedua. Singa Utara terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain untuk baki perlawanan manakala Irfan Bakti tersenyum puas dengan kemenangan pertama Terengganu.
Keputusan: Perlis 1 Terengganu 3

Gomo Kelate Gomo

Red Warriors kembali menemui rentak kemenangan di kubu keramat mereka Stadium Sultan Mohammad IV apabila meratah Johor FC ibarat seketul ayam goreng KFC.

Namun Johor FC yang terlebih dulu memberi kejutan apabila Riduwan Ma'on meletak skuad Lebah di depan seawal minit ke-25. Beliau kemudiannya bertukar menjadi malaon apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-49. Kelantan sebelum itu telah terlebih dulu mengikat kedudukan 1-1 apabila bekas pemain Johor FC yang berpindah ke Kelantan, Nurul Azwan Roya merobek gawang pasukan lamanya pada minit ke-28.

Jurulatih legenda M Karathu jelas seorang 'legend' apabila percaturan beliau selepas waktu rehat memperlihatkan permainan Red Warriors yang benar-benar klasemen. Norshahrul Idlan Talaha menambah derita Johor FC melalui gol minit ke-71 dan berselang 6 minit kemudian Nizad Ayub pula meledak gol ke-4 buat Kelantan.


Skorbod bia old skool, tapi main bia bijok

Dengan kemenangan besar ini, Kelantan naik ke puncak klasemen dan Red Warriors benar-benar Happy Warriors buat masa ini. Sejumlah 10,000 botol budu khabarnya telah dibuka meraikan kemenangan besar Kelantan.
Keputusan: Kelantan 4 Johor FC 1

Derbi Lembah Klang

Perseteruan antara Selangor dan Kuala Lumpur adalah apa yang dinamakan Derbi Lembah Klang. Dan jika Selangor itu Manchester United maka Kuala Lumpur adalah Manchester City. Di pihak Red Giants ada 32 kejuaraan Piala Malaysia tetapi Kuala Lumpur sekali pun hanya pernah menjulangnya piala yang sama 3 kali, melakukannya dari tahun 1987 hingga 1989 di waktu Selangor melalui kemerosotan pasca Mokhtar Dahari. Dalam kejuaraan liga, Selangor juara 7 kali sementara Kuala Lumpur hanya 2 dan 5 Piala FA buat Red Giants berbanding 3 buat City Boys.

Derbi kali ini juga merupakan 'swan song' buat Safee Sali yang bakal berpindah ke Pelita Jaya selepas ini sekali pun Sultan Bola ada bertitah "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri".

Safee Sali dinafikan gol penutup kariernya bersama Selangor



Perobek gawang Manchester United, Amri Yahyah memberikan hantaran lintang buat Fadzli Shaari menanduk muda gol pendahuluan Selangor minit ke-18. Selangor kemudian terus menggandakan asakan tetapi Norazlan Razali dan tiang gol cekal mempertahankan kubu Kuala Lumpur dari dibolosi lagi.

Ketika Selangor dilihat bakal beroleh kemenangan kedua musim ini, City Boys melakukan kejutan pada separuh masa kedua apabila Azwan Malek mengikat kedudukan 1-1 dan ianya kekal hingga wisel penamat. Dengan kehilangan Safee Sali selepas ini dan barisan serangan yang masih agak buntu, K Devan perlu bertindak segera mencari jalan penyelesaian buat Selangor.
Keputusan: Selangor 1 Kuala Lumpur 1

Harimau Muda Mengaum

Harimau Muda A, di bawah pimpinan Ong Kim Swee yang mesra dengan Arsene Wenger, terus mengganas dengan kali ini meratah T-Team setelah sebelumnya memberikan kemaluan besar buat Pahang dan Pipiyapong.

S Sivanesan, Irfan Fazail dan Fadhli Shas memastikan Harimau Muda A beroleh kemenangan kedua di Stadium MBPJ Kelana Jaya sementara Haris Safwan menjaringkan gol tunggal saguhati T-Team pada minit ke-87.
Keputusan: Harimau Muda A 3 - T-Team 1

Tok Gajah Kalah Lagi

Sebelum perlawanan ini, Sokernet sekali lagi meletakkan tilikan Pahang akan kalah besar 5-0. Sekali lagi ada pembaca memberikan kata-kata "bontot kau, talk to the hand!".

Semasa perlawanan ini, ia sepatutnya home game untuk Felda United dan away game untuk Pahang tetapi dimainkan di Stadium Darulmakmur, yang jelas merupakan gelanggang buat Pahang berpuluh tahun lamanya. Salah guna kuasa?

Karma itu akan sentiasa menghantui kamu. Tok Gajah dimalukan dalam away game di tempat mereka sendiri oleh sebuah pasukan yang baru dipromosi ke Liga Super. Liew Kit Kong tenang meletakkan Felda United di depan minit ke-47 dan Farderin Kadir menambah gol kedua pada minit ke-59. Pahang beroleh saguhati melalui tendangan percuma Azamuddin Akil pada minit ke-77.

Kekalahan kedua bermakna Pahang, yang merupakan pasukan klasemen di awal musim kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dan atas sedikit sahaja dari zon penyingkiran. Tapi kalau nanti tersingkir pun apa ada hal, Sultan Bola kan ada?
Keputusan: Felda United 2 - Pahang 1

Yob Kokak Jang

Pertembungan Yob dan Jang bukan perlawanan picisan. Di sini pertembungan dua negeri dengan budaya dan loghat berbeza tetapi kedua-duanya popular baik dalam lagu atau filem. Dua pasukan yang para penyokongnya dapat dikenali dengan mudah hanya dengan merujuk kepada perkataan Yob atau Jang.

Jang bertandang ke Stadium Perak dengan reputasi klasemen sebelum perlawanan ini dan keyakinan tinggi mampu membawa pulang 3 mata penuh dan mempertahankan rekod kemenangan 100% mereka. Yob pula mengintai peluang untuk mencatat kemenangan kedua dan meleburkan rekod kemenangan 100% Jang dan Ayu Raudhah.

Hero of the Yobs - Akmal Rizal



Kedua-dua Yob dan Jang bagaimanapun buntu pada separuh masa pertama tanpa sebarang gol dijaringkan. Separuh masa kedua bermula dan Cikgu Jan jelas telah memberikan kata-kata semangat bermakna buat pemain Yob. Kapten Yob, Shahrulnizam Mustapa meledak gol pertama melalui sepakan penalti untuk kedudukan 1-0 yang kemudiannya digandakan oleh Akmal Rizal melalui rembatan cantik dari jarak 20 meter.

Kemenangan 2-0 Yob sekaligus meleburkan rekod kemenangan 100% Jang dan keputusan ini adalah mirip seperti keputusan 2-0 perlawanan akhir Piala Malaysia 2000 di mana Yob turut mengatasi Jang. Jang dilaporkan pulang ke Negeri Sembilan kempunan nak merasa deghoyan Bota.
Keputusan: Perak 2 - Negeri Sembilan 0

Sumandak Seksi Pukau Hijau Kuning

Penangan Ultra Sumandak terbukti hebat apabila Kedah bertandang naik kapal terbang ke Likas, terpukau, dikenakan kad merah dan pulang dengan tangan kosong tanpa mata dan tanpa nombor telefon sumandak barangkali.

Era kegemilangan Double Treble jelas sudah lama berlalu buat skuad Kenari dan bertemu Sabahawks mereka dikecewakan dengan gol kemenangan tunggal hasil jaringan Farid Ideris pada minit ke-26. Sabah turut dihadiahkan penalti minit ke-50 tetapi Sumardi Hajalan mensia-siakan peluang untuk menggandakan gol buat Sabahawks.

Kekecewaan Kedah jelas terpancar apabila Faizal Abu Bakar mengasari pertahanan Sabah, M Sivakumar. Terjahan keras tersebut mematahkan tulang Sivakumar yang terpaksa diusung keluar. Kedah pula kemudiannya terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain untuk baki perlawanan.

Sivakumar - Berpatah tulang demi Sabahawks



Kemenangan sulung Sabah diserikan lagi dengan kehadiran Ultra Sumandak di Stadium Likas yang mengembalikan keseksian dalam bolasepak Malaysia.
Keputusan: Sabah 1 - Kedah 0

Rangkuman

Tok Sami Besar dari Wat Suthama memang klasemen. Tilikan Harimau Muda A bakal menundukkan T-Team dengan keputusan 3-1 adalah jackpot tunggal minggu ini dan untuk 5 perlawanan lain tilikan siapa menang juga adalah betul. Hanya pertemuan Selangor dan Kuala Lumpur saja yang meleset.

Tamat perlawanan ke-3, Kelantan kini selesa di puncak klasemen dengan 7 mata tetapi Perak mengekori rapat dengan hanya dibezakan melalui perbezaan gol. Harimau Muda A di tangga ke-3 dan Negeri Sembilan melengkapkan Top 4 setakat ini.

Perlawanan Ke-4

Esok bermula pula perlawanan ke-4 Liga Super dan Tok Sami Besar dari Wat Suthama sudah membakar colok dan bermeditasi secukupnya untuk memberi tilikan seperti berikut:

Selangor 1 - Terengganu 1
Kuala Lumpur 0 - Kelantan 3
Sabah 2 - Johor FC 1
Kedah 1 - Perak 1
Negeri Sembilan 2 - Felda United 1
Pahang 0 - T-Team 5
Harimau Muda A 3 - Perlis 0

Perlawanan esok semuanya bersepak mula jam 8.45 malam kecuali Sabah lawan Johor FC yang bermula pada 8.15 malam. Rajin-rajinlah mengimarahkan stadium berdekatan anda. Bolasepak kita, wajah kita.

Kalau sumandak buli turun stadium, bah tak kan abang-abang kaki EPL nda dapat turun? Muhau!



*Gambar-gambar diambil dari merata sumber tanpa izin tapi dengan niat baik

Bolasepak Kita, Wajah Kita: Liga Super Malaysia Perlawanan Ke-3



Edit: Jangan lupa menyertai peraduan teka result di entri di bawah

Orang kampung teman udoh letak video Mr Os, otai Yob yang dihormati baik di Bota Kanan mahu pun Kiri. Jadi teman rasa video tu aje udah cukup untuk membakor semangat Yob sekalian. Tapi jangan dibakor sampai rentung udah le ye? He eh!

Kita bertukar pada cakap Kolumpo. 99% pembaca Sokernet semua tahu minggu ini adalah pertembungan Derbi Manchester dan jadual perlawanan EPL yang lain. Tapi berapa kerat saja agaknya tahu jadual Liga Super untuk minggu ini? Hah, berapa kerat?



Segar dari kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong, para pemain Harimau Malaya dan mereka yang tidak berpeluang beraksi untuk Harimau Malaya bakal bersaing antara satu sama lain bermula hari ini dan esok dalam perlawanan ke-3 Lige Super musim 2011.

Perlis lawan Terengganu

Pasukan tercorot, Perlis bakal meraikan kunjungan Terengganu (9) malam jam 8.45 malam di Stadium Utama, Kangar. Perlis adalah satu-satunya pasukan tunggal dalam Liga Super yang masih belum mengutip sebarang mata. Beban berat kini berada di bahu Mustakeen Omar, jurulatih Singa Utara dalam uasah mencari mata sulung buat pasukannya. Terengganu pula setelah menampilkan persembahan meyakinkan mengikat Kelantan seri 1-1 dalam Derbi Pantai Timur minggu lepas pastinya mahukan 3 mata penuh dibawa pulang dari Kangar malam ini.
Tilikan: Perlis 0 - Terengganu 1

Kelantan lawan Johor FC

Red Warriors, yang pastinya tidak ada awek pakai hot pants, akan menyambut skuad Lebah dengan kemenangan berada dalam minda jurulatih 'legend', Datuk M Karathu. Kelantan (2) perlu memenangi perlawanan ini demi memastikan mereka terus mengekori rapat pasukan klasemen, Negeri Sembilan yang berkemungkinan bakal tunduk kepada Perak. Buat Johor FC (10) pula, berkongsi mata boleh dianggap sudah cukup baik untuk mereka apatah lagi beraksi di Stadium Sultan Mohammad IV yang jelas mencabar mental mana-mana pasukan lawan.
Tilikan: Kelantan 2 - Johor FC 0

Selangor lawan Kuala Lumpur

Derbi Lembah Kelang bakal berlangsung minggu ini sekalipun ianya tidak lagi semeriah era 1980-an dulu. Red Giants mungkin mempunyai sejarah yang jauh lebih gah dari Kuala Lumpur tetapi buat masa ini, City Boys yang berada di posisi ke-3 Liga Super sedang Red Giants di tangga ke-8. Perlawanan ini juga bakal menjadi perlawanan terakhir buat penyerang Selangor, Safee Sali yang bakal berhijrah ke kelab Indonesia Pelita Jaya selepas ini.
Tilikan: Selangor 2 - Kuala Lumpur 1

Harimau Muda A lawan T-Team

Selepas berjaya memberikan Sultan Bola dan Pipiyapong kemaluan yang amat besar (sehingga Pipiyapong menulis megenai hoki di Sokernet), Harimau Muda A (6) bakal berentap pula dengan T-Team yang menghuni tangga ke-2 tercorot Liga Super. Anak-anak harimau Ong Kim Swee telah membuktikan mereka bukan kecil anak dan harus dipandang dengan rasa hormat oleh abang-abang senior pasukan Liga Super yang lain. Berdasarkan prestasi semasa tidak mustahil 3 mata penuh bakal menjadi milik Harimau Muda A sekali lagi.
Tilikan: Harimau Muda A 3 - T-Team 1


Pipiyapong kecewa apabila mendapat tahu Arsene Wenger lebih sukakan Ong Kim Swee dan Harimau Muda A berbanding Sultan Bola dan Pahang



Felda United lawan Pahang

Tahukah anda bahawa penempatan Felda pertama ialah di Lurah Bilut, Bentong, Pahang? Tahukah anda bahawa kekalahan Pahang tempoh hari kepada Harimau Muda A telah memaksa Pipyapong menulis tentang hoki secara mengejut? Tahukah anda bahawa Felda United bakal menang ke atas Pahang esok hasil sokongan padu belia Felda Lurah Bilut?
Tilikan: Felda United 5 - Pahang 0

Perak lawan Negeri Sembilan

Pertembungan paling hangat minggu ini ialah antara Yob yang meraikan kunjungan Jang di Stadium Perak, Ipoh. Jang sekarang selesa di puncak klasemen, tetapi Yob di tangga ke-4 Liga Super khabarnya semakin bertenaga dan bernafsu. Setakat ini Jang berbangga dengan rekod kemenangan 100% mereka dan juga sokongan padu yang diterima dari Ayu Raudhah. Tetapi Yob tak hairan, kalau Jang ada Ayu Raudhah, Yob pula ada Hantu Kak Limah. Ater?
Tilikan: Perak 3 - Negeri Sembilan 2

Hantu Kak Limah - Peminat nombor satu Yob di Kampung Pisang



Sabah lawan Kedah

Perlawanan pertama di Stadium Likas buat Sabahawks yang kini di posisi ke-12 Liga Super, bertemu Kedah yang menghuni posisi ke-5. Sabah mempamerkan permainan yang baik ketika bertemu Kuala Lumpur dalam perlawanan lepas tetapi masih tumpul dari segi serangan dan tidak bernasib baik untuk tewas 1-0. Pun begitu, Kedah juga kurang memberangsangkan dengan hannya mampu menjaringkan 1 gol setakat ini. Kehadiran Ultra Sumandak dijangka bakal menaikkan semangat pemain Sabah dan berpotensi membuatkan pemain Kedah pula hilang fokus.
Tilikan: Sabah 2 - Kedah 1



Tilikan kali ini dibuat khas oleh Tok Sami Besar dari Wat Suthama. Tok Sami Besar juga ada membuat timbang nasib dan nombor ramalan. Untuk mendapatkan pertolongan bolehlah hubungi Tok Sami Besar di 012-4393459 atau terus ke:
Wat Suthama
Lot 12/1-125 Kampung Tok Malak
Mukim Nami 06730
Nami Kedah Darul Aman

Ultra Sabahawks! Ultra Sumandaks!



Atukoi!

Bah, apa-apa pun sia mo kasi ucap tahniah dulu sama pasukan Harimau Malaya (Malaya ya, bukan Malaysia kio!) kerana kasi Naga Hong Kong sampai ampai-ampai dia urang di Shah Alam. Walaupun teda pemain Sabah dalam Harimau Malaya kelmarin, sia bersama James Wong, Hassan Sani dan Matlan Marjan tatap merasa bangga di atas kejayaan Harimau Malaya. Mungkin lain kali ada la bah anak Sabah dalam skuad Harimau Malaya tu.

Sia teda mo kasi cerita panjang ni kali. Sia tingu Harimau Malaya ada Ultra dan hampir semua pasukan dalam Liga Super juga ada Ultra suda. Jadi sia mo kasitau sama kamurang, di Sabah juga kami ada Ultra.

Ultra Sumandaks!



Bah, malas sia mo cerita panjang. Ko tingu la sendiri! Tapi sia mo kasi pesan, palan-palan ko tingu tu. Jan ko meleleh air liur pula dapan itu skrin, kasi malu urang kampung jak!





















Nah, apa ko rasa? Orennnn!

Walaupun jersi pasukan Sabahawks teda bintang macam tu Red Warriors, tapi kami ada Ultra Sumandaks!

Sia mo tanya ko, tu Red Warriors ada Sumandak ka teda? Rempit jak yang ada bah. Nah!



Gambar-gambar oleh:
1. Augustine Jumat
2. Amed Juzmyd
3. CFu Achzree
4. Jiffe Saj
5. Ree Bro's
6. Jaiman Taip

Don't Mess With The Yobs



Kancah saingan Liga Super memasuki perlawanan kedua semalam. Untuk yang tidak tahu Liga Super adalah liga bolasepak tempatan Malaysia. Liga yang selalu kamu tengok kat kedai mamak, yang itu bukan liga tempatan kita. Harap maklum.


Don't mess with the Yobs

Perak 1 - Johor FC 0

Setenang air Sungai Perak yang mengalir, begitulah tenangnya skuad Seladang berdepan dengan Johor FC di Stadium Perak malam tadi. Para pemain Yob menggunakan 89 minit masa perlawanan untuk aksi memanaskan badan dan regangan otot. Hanya pada minit ke-90 barulah pemain otai Akmal Rizal menjalankan tugas beliau seperti yang diamanahkan. "Bior lambat ase menang" kata orang Lambor. Mengulas perasaan beliau berjaya merobek gawang Johor FC, Akmal Rizal berkata "sungguh menyelerakan, sehingga menjilat jari". Para Yobs yang hadir ke stadium dilaporkan singgah di KFC sekitar Ipoh untuk late night supper usai perlawanan. Ater?

Harimau Muda A 3 - Pahang 1

"Bontot ko la," kata orang Pahang. "Talk to the hand la," tambahnya lagi selepas aku meramalkan Harimau Muda A bakal menang besar ke atas Pahang. Bukan main punya marah? Terus terang aku tekankan di sini setiap ramalan dibuat oleh pundit yang berkelayakan, bukan suka-suka. Dah betul Pahang tak power nak buat macam mana. Bukan salah Sokernet atau Sultan Bola. Jangan emosi, dengar dan layan lagu Dirty Dogs kugiran Lipis tu. Tak pun tengok gambar Sultan Bola ke. Gol-gol Harimau Muda A dijaringkan oleh Izzaq Faris (2) dan Fandi Othman manakala gol saguhati Tok Gajah oleh Famirul Asyraf. Dengan kekalahan yang dijangka ini Pahang terpaksa melepaskan takhta klasemen.

Kedah 1 - Felda United 0

Nampaknya orang-orang Felda agak kepenatan selepas berkempen untuk BN di pilihanraya kecil Tenang hari Ahad lepas. Peluang ini tidak disia-siakan oleh Hijau Kuning yang bermain di gelanggang keramat Stadium Darulaman. Baddrol Bakhtiar tenang menyempurnakan sepakan penalti minit ke-61 untuk memastikan 3 mata berharga buat Kedah sementara pendatang baru Liga Super, Felda United pulang hampa. Baguih dok ada!

Perlis 0 - Selangor 2

Lain pula yang menimpa jiran Kedah yakni Perlis apabila mereka tumpas buat kali kedua dalam saingan Liga Super. Red Giants yang masih terluka kesan kekalahan kepada Red Warriors dalam saingan Piala Sumbangsih melepaskan geram ke atas Singa Utara. Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Safee Sali dan Fitri Shazwan muncul wira Selangor melalui gol minit ke-62 dan 76. Perlis kini menjadi pasukan tunggal dalam Liga Super yang masih belum mengutip sebarang mata dan terperosok di dasar liga.

Kelantan melakukan upacara mengarak Piala Malaysia keliling padang sebelum ianya dirampas kembali oleh pasukan lain di hujung tahun nanti

Kelantan 1 - Terengganu 1

Hasrat Kelantan untuk membelasah seteru mereka dan mengekalkan rekod kemenangan 100% terbantut apabila Terengganu menunjukkan keyakinan dan kekuatan mental beraksi di depan 20,000 ribu penyokong fanatik tuan rumah. Kelantan terlebih dulu di depan hasil jaringan kapten pasukan Badri Radzi di minit ke-35. Namun Terengganu bangkit pada separuh masa kedua dan kali ini kapten skuad Penyu pula, Marzuki Yussof yang bertindak menyelamatkan pasukannya pada minit ke-68. Kelantan terpaksa berpuas hati dengan satu mata dalam Derbi Pantai Timur ini tetapi Terengganu pastinya gembira kerana dalam saingan yang serupa musim lepas, mereka tumpas di Kota Bharu.

Kehadiran sumandak gagal meningkatkan prestasi para pemain Sabah

Kuala Lumpur 1 - Sabah 0

Wakil tunggal Borneo dalam Liga Super, Sabah terpaksa berputih mata apabila kalah tipis kepada Kuala Lumpur di Stadium KLFA malam tadi. Satu-satunya perlawanan yang bersiar secara langsung di Astro Arena, Sabah banyak menguasai permainan tetapi ketumpulan barisan serangan terus menghantui skuad bimbingan Gary Phillips. Permainan agak huru-hara, terjejas oleh kerana kualiti padang rumput yang lebih hina jika dibandingkan dengan susun atur bulu ari-ari mana-mana insan. Pemain Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong membuktikan masih ada anak Cina yang boleh bermain bolasepak dengan cemerlang. Bermain di sayap kanan gerakan beliau dan hantaran silangnya banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Sabah. Dan pada minit ke-54 Yong Kuong Yong muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan dari sudut yang sukar di luar kotak penalti. Helang Kota mengutip 3 mata penuh mengatasi Helang Borneo yang terbang pulang kehampaan.

T-Team 1 - Negeri Sembilan 3

Tuah pengantin orang kata. Sekali pun Zaquan Adha tidak bermain (beliau masih sibuk bermain benda lain) skuad Jang jelas utuh dalam memastikan pemburuan klasemen Liga Super mereka. Idris Karim meletakkan Jang di depan seawal minit ke-23 tetapi T-Team kembali mengikat kedudukan melalui Rosdi Talib di hujung babak pertama. Sebaik separuh masa kedua bermula, 'hair dryer treatment' yang mungkin digunakan oleh Wan Jamak memperlihatkan hasil apabila Firdaus Azizul kembali meletakkan Jang di depan pada minit ke-53. Idris Karim kemudiannya memastikan 3 mata dalam genggaman buat Jang apabila menyumbat gol ke-3 Negeri Sembilan pada minit ke-67. Dengan kemenangan selesa 3-1 skuad Jang kini berada di puncak klasemen Liga Super. Beberapa jam kemudian Manchester United pula menang 3-1 ke atas Aston Villa. Jorji pastinya pengulas Sokernet paling berlagak sekarang kerana kedua-dua Jang dan Red Devils kini klasemen dalam liga masing-masing. Humangai, osah eh kau!

Perihal Bolasepak Bukan Liverpool Dan Chelsea




Liga Super Malaysia memasuki perlawanan kedua malam ini. Semalam Liga Perdana telah bersepak mula dengan pasukan-pasukan nama merapu bersaing bersama beberapa pasukan negeri yang bernasib malang.


Nasib Jang di tangan Ayu Raudhah


T-Team bakal menerima kunjungan skuad Jang, Negeri Sembilan yang diserikan lagi dengan kehadiran pengantin baru, Zaquan Adha. Orang kata darah pengantin ni lain macam sikit jadi harap-harapnya begitulah hendaknya. Nasib Jang bergantung sepenuhnya sama ada tenaga Zaquan Adha masih ada atau semuanya telah dihabiskan oleh Puan Ayu Raudhah. Jika dilihat pada aksi Jang ketika bertemu Harimau Muda A sebelum ini jelas ada kepincangan pada skuad bimbingan Wan Jamak. T-Team pula memburu kemenangan pertama dan dijangka mampu mencabar Negeri Sembilan dengan skuad yang dibarisi bintang baru seperti Indra Putra dan Nor Farhan selain kapten berpengalaman Rosdi Talib. Sekalipun ianya home game, T-Team bagaimanapun akan bermain di Paroi kerana lampu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak menepati tahap piawaian.

Prediksi: T-Team 1 - Negeri Sembilan 1

Di Alor Setar pula, Kedah bakal meraikan kunjungan Felda United, pendatang baru Liga Super. Felda United sebelum ini beraksi baik untuk mengikat Johor FC 0-0 dan membantu BN menang majoriti besar dalam pilihanraya kecil di Tenang baru-baru ini. Maka keupayaan Felda Boys ini tidaklah boleh dipandang ringan oleh skuad Kenari. Pun begitu Kedah mempunyai kelebihan kerana bermain di gelanggang keramat Stadium Darul Aman dan kelebihan pengalaman dijangka bakal membantu Kedah mengatasi Felda United.

Prediksi: Kedah 2 - Felda United 0

Tidak jauh dari Alor Setar, satu lagi perlawanan juga berlangsung di utara Semenanjung apabila Singa Utara, Perlis menjadi tuan rumah kepada Red Giants, Selangor. Dua pasukan yang memulakan musim 2011 dengan langkah kiri pastinya terdesak untuk mencari kemenangan. Stadium Utama mungkin ibarat Lion's Den untuk Perlis tetapi sang gergasi dijangka tidak mempunyai masalah untuk mencuri 3 mata penuh kali ini, dengan syarat Amri Yahyah dan Safee Sali tidak emo dalam permainan. Tetapi seandainya Selangor gagal mengutip 3 mata, nyawa jurulatih K Devan mungkin berada di hujung tanduk. Untuk Perlis pula, tugas mencari gol pastinya sekali lagi disandarkan kepada penyerang keturunan Siam, Samransak Kram.

Prediksi: Perlis 1 - Selangor 2

Sementara itu Harimau Muda A pula bakal bertemu Pahang di Shah Alam. Pahang yang kini klasemen telah membuktikan keupayaan mereka bermain ala Arsenal di bawah kendalian Dollah Salleh dengan kemenangan 3-1 ke atas Perlis tempohari. Tetapi harimau-harimau muda pimpinan Ong Kim Swee pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk membuktikan keupayaan mereka menundukkan sang klasemen malam ini dan membuktikan pada semua pasukan kesayangan Sultan Bola serta Pipiyapong tidaklah se-power mana.

Prediksi: Harimau Muda A 5 - Pahang 0

Para Yob sekalian dijangka bakal memenuhi Stadium Perak malam ini apabila skuad Seladang menerima kunjungan skuad Lebah, Johor FC. Selepas memanaskan badan dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur di Cheras hari Sabtu lepas, kini sudah tiba masanya Perak membuktikan reputasi mereka selaku kuasa besar bolasepak Malaysia sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah disingkirkan dari Liga Super. Sekali lagi jurulatih Norizan Bakar akan mengharapkan gandingan Shafiq Jamal serta Akmal Rizal untuk mengepalai barisan serangan Perak. Ketiadaan Razali Umar Kandasamy yang khabarnya kini di Liverpool untuk sesi ujian pemilihan pengganti Nando Torres tidak menggusarkan para Yob sekalian. "No player is bigger than the club," kata mereka dan "Perak is bigger than Liverpool," tambah mereka lagi. Ater?

Prediksi: Perak 2 - Johor FC 1

Legend

Derbi Pantai Timur bakal berlangsung malam ini apabila dua jiran bermusuh, Kelantan dan Terengganu bakal bertarung nyawa di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu. Kelantan, segar dari kemenangan Piala Sumbangsih mereka bertekad mahu memastikan hegemoni mereka ke atas Terengganu terus berkekalan. Kedua-dua pasukan merupakan pesaing sengit dalam perebutan tempat kedua Liga Super 2010 tetapi Kelantan akhirnya berjaya mengatasi Terengganu dengan kelebihan 6 mata di penghujung musim. Jurulatih baru Kelantan, Datuk M Karathu membuktikan beliau bukan sahaja hebat sebagai pundit Astro Supersport tetapi juga mampu mengisi tempat yang dikosongkan oleh B Satianathan. Tidaklah menghairankan kerana selaku bekas jurulatih Perak, Karahtu memang seorang legend. Tetapi, keupayaan Terengganu tidak boleh dipandang enteng apatah lagi dengan pemenang Kasut Emas musim lepas, Ashaari Shamsuddin di bahagian serangan dengan dibantu oleh Joseph Kalang. The Tinkerman, Irfan Bakti mungkin melakukan sedikit rombakan pada skuad Penyu selepas mereka hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Sabah sebelum ini.

Prediksi: Kelantan 3 - Terengganu 1



Kelebihan di Sabah ialah di sini ada suratkhabar tempatan sendiri. Ada New Sabah Times, Borneo Post dan Daily Express. Bila ada suratkhabar sendiri maka pastinya ada cerita mengenai pasukan sendiri, betul tak? Dari Daily Express tersisip berita mengenai pasukan Sabah yang bakal bertandang ke Cheras malam ini untuk bertemu Kuala Lumpur. Kejayaan mengikat Terengganu di tempat lawan di lihat petanda positif oleh jurulatih Gary Phillips yang menjangkakan Sabahawks bakal mengutip 3 mata malam ini di Cheras. "Saya yakin bahawa kami boleh menang perlawanan ini jika para pemain mampu menyamai usaha pemain lawan, kami mendapat keputusan baik sewaktu melawan Terengganu minggu lalu, yang mana sepatutnya memberi kami keyakinan untuk beraksi baik menentang KL," kat Gary Phillips dipetik dari Daily Express. Sabah yang mencatat 3 kemenangan dari 4 perlawanan pra-musim di Singapura dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengatasi Kuala Lumpur di Cheras.

Prediksi: Kuala Lumpur 0 - Sabah 1

Untuk perlawanan malam ini, Astro Arena bakal menyiarkan siarang langsung pertemuan Kuala Lumpur lawan Sabah di 801 pada jam 8.30 malam.

Prediksi kali ini dibuat oleh Wat Tokek Tong Siam oleh Tok Sami Pipiyapong Pue-on. Bukan senang nak teka keputusan perlawanan Liga Super, bukan macam EPL yang predictable sangat.

Followers

Pageviews