Rebiu Perlawanan 5
Kuala Lumpur 1 - Terengganu 2
Selepas tunduk kepada Red Giants dalam perlawanan 4, Terengganu kembali menemui rentak kemenangan mereka apabila mudah membenam Kuala Lumpur. The Hawks sepatutnya bermain sebagai tuan rumah tetapi oleh kerana Stadium KLFA sedang dibaik pulih padangnya maka perlawanan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Dan peluang ini tidak disia-siakan oleh anak buah Irfan Bakti, Hadi Yahya merobek gawang pada minit ke-38 dan Ashaari Samsuddin pula pada minit ke-52. Kuala Lumpur yang bermain dengan hanya 10 orang pada minit ke-65 bagaimana pun memperolehi gol saguhati melalui Yong Kuong Yong pada minit ke-83.
Kemenangan kedua musim ini meletakkan Terengganu di posisi 5 Liga Super sementara Kuala Lumpur jatuh ke posisi 10 dengan kekalahan kedua berturut-turut.
Kedah 1 - Kelantan 1
Stadium Darul Aman terus kekal sebagai kubu kuat Hijau Kuning tetapi dengan 3 dari 4 perlawanan di sana berakhir dengan keputusan seri ia bukanlah keputusan yang memenuhi jangkaan para penyokong.
Azlan Ismail meletakkan Kedah di depan pada minit ke-57 melalui tap in menarik dari hantaran lintang Baddrol Bakhtiar.Dan pada minit ke-67 Azmi Muslim hampir menggandakan gol skuad Kenari tetapi Khairul Fahmi cemerlang di gawang Red Warriors.
Ketika Kelantan dilihat bakal menerima kekalahan pertama musim ini, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan kenapa beliau antara penyerang terbaik Malaysia ketika ini apabila merembat kencang gol penyamaan melalui satu turning yang menarik pada minit ke-79. Keputusan seri sudah memadai untuk Kelantan sementara Kedah terus tertekan dengan penyokong mengibar kain rentang menuntut perletakan jawatan jurulatih, Ahmad Yusoff.
Johor FC 0 - Selangor 0
Kebangkitan barisan serangan Red Giants mungkin sekadar hangat-hangat tahi ayam jika dilihat kepada keputusan perlawanan ini. Bertandang ke Pasir Gudang menentang pasukan kelab yang sinonim dengan ayam goreng hingga menjilat jari, K Devan dan barisan bintang beliau digoreng masak-masak oleh Johor FC.
Untuk Johor FC, kegagalan menemui jaring gol memang sudah dijangka dari barisan serangan mereka yang agak tumpul tetapi tidak buat Selangor yang dibarisi majoriti pemain kebangsaan. Keputusan seri terus meletakkan Selangor di pertengahan liga ala-ala Liverpool dan semakin tertekan dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super mereka.
Sementara Safee Sali di Indonesia khabarnya rilek-rilek mencetak gol buat Pelita Jaya dalam perlawanan persahabatan.
Negeri Sembilan 1 - Sabah 0
Sabahawks diiringi Sumandak bertandang ke Paroi untuk bertemu Jang yang sebelum ini kalah 2 perlawanan berturut-turut.
Sabah setakat ini dikenali sebagai antara pasukan paling konservatif dari segi permainan, hanya menyumbat 1 gol dan bolos 2 dari 4 perlawanan sebelumnya. Dan untuk 82 minit pertama Jang dilihat bakal lemas dalam pelukan Sumandak apabila terus buntu mencari gol.
Nasib ada Zaquan Adha yang berkahwin dengan Ayu Raudhah dan tidak mudah tergoda dengan pesona Ultra Sumandak. Gol tunggal beliau memastikan Jang beroleh 3 mata dan melompat ke posisi 3 Liga Super di bawah Abe dan Yob. (Pembetulan: Hai-O yang skor, Stuart Ramalingam tipu aku lagi!)
Pahang 0 - Perak 2
Talk to the hand kata orang Pahang. Yob bertandang ke Stadium Darul Makmur demi menjadi pasukan pertama yang bakal menumbangkan Tok Gajah di sarangya sendiri. Ater?
Ater Yob dengan mudah mengotekan janji untuk pulang dengan 3 mata penuh berserta gading Tok Gajah. SJ9 yang pertama merobek gawang Pahang melalui gol jarak dekat minit ke-23. Dan kemudian ianya disusuli oleh kuda tua AR14 tepat pada minit ke-45. Untuk separuh masa kedua para pemain Yob lebih santai dengan banyak berguling-guling di atas rumput negeri Pahang yang makmur. Ajenye ye!
Sekali lagi, dua pemain Kedah menjadi penyumbang gol buat Yob dengan El Tornado khabarnya direhatkan oleh Cikgu Jan. Dengan Yob telah meledak 6 gol musim ini, Kedah pula hanya baru menghasilkan 2 gol dan mengundang persoalan dari Changlun ke Sungai Petani, kenapa SJ9 dijual pada Perak dan AR14 tidak dipujuk pulang ke Kedah dari Kelantan?
Harimau Muda A 1 - Felda United 1
Harimau muda peliharan Ong Kim Swee gagal meraih peluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan klasemen Kelantan apabila hanya mampu seri dengan Felda United di Shah Alam. Tetapi ianya tidak mengapa kerana misi yang paling utama buat Harimau Muda A ialah layak ke Olimpik 2012 dengan persaingan Liga Super lebih kepada latihan buat para pemain.
Wan Zaharulnizam yang menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan sebelumnya meneruskan kecemerlangan apabila menymbang gol tunggal buat Harimau Muda A. Felda United bernasib baik diberikan penalti yang disempurnakan oleh Liew Kit Kong pada minit ke-68.
Keputusan seri bermakna Harimau Muda A jatuh ke posisi 4 di bawah Negeri Sembilan sementara Felda United selesa di posisi ke-7 Liga Super.
T-Team 3 - Perlis 0
Pertembungan dasar Liga Super menemukan dua pasukan yang masih belum beroleh kemenangan musim ini. Tetapi Yunus Alif dan pemain T-Team beliau membuktikan untuk musim 2011 ini gelaran pasukan paling hina menjadi milik mutlak Singa Utara buat masa ini.
Seawal 3 minit diperlukan oleh T-Team untuk berada di depan melalui Khairul Izwan. Tujuh minit kemudian Badrul Hisani menambah jaringan kedua buat T-team dengan Khairul Izwan menemui gol peribadi ke-2 pada minit ke-59 selepas menanduk tendangan percuma Rosdi Talib.
Kemenangan ini membantu mengeluarkan T-Team dari zon penyingkiran buat masa ini sementara Perlis terus terperosok di dasar liga.
Prebiu Perlawanan 6
Malam ini bakal berlangsung semua 7 perlawanan dengan Astro Arena bakal menyiarkan secara langsung pertemuan Perak dan Harimau Muda A (selepas kita semua hampir termuntah disajikan dengan perlawanan melibatkan Red Warriors). Lebih menarik lagi semua 4 pasukan teratas Liga Super bakal bertemu sesama sendiri dan perubahan besar kedudukan liga dijangkakan bakal berlaku malam ini.
Kelantan (1) - Negeri Sembilan (3)
Dua pasukan yang kebelakangan ini kerap bermusuhan antara satu sama lain bakal bertemu dalam perlawanan yang menjanjikan botol, mercun dan potensi pembakaran kereta secara berjemaah. Hairuddin Omar (Hai-O) yang menjaringkan gol buat Kelantan dalam Piala Malaysia 2010 kini telah menyarung jersi Jang dan kepulangannya ke Kota Bharu pastinya bakal menghangatkan lagi suasana. Jang juga bakal dikuatkan dengan kembalinya Aidil Zafuan selepas sekian lama dikepit oleh Rita Rudaini sementara Zaquan Adha berharap dapat meneruskan sentuhan jaringan beliau malam ini. Jurulatih legend milik Red Warriors, M Karathu juga turut yakin bahawa Red Warriors mampu mengatasi Jang di tempat sendiri sekalipun agak gusar dengan kegagalan Kelantan menjaringkan lebih banyak gol (sekalipun setakat ini sebenarnya Red Warrios sudah pun beroleh 10 jaringan).
Tilikan: Kelantan 1 - Negeri Sembilan 1
Selangor (6) - Kedah (8)
Dua pasukan heavyweight bolasepak Malaysia (selain Yob pastinya) bertemu di Shah Alam selepas masing-masing mencatat seri dalam perlawanan sebelumnya. Jurulatih kedua pasukan juga khabarnya sedang panas bontot dengan Ahmad Yusoff lebih tertekan selepas munculnya suara-suara protes dari penyokong Hijau Kuning ketika seri bertemu Kelantan minggu lalu. K Devan agak optimis bermain di tempat sendiri bakal memberi kelebihan buat Red Giants dengan harapan gandingan Fadzli Shaari dan Amri Yahyah mampu menghasilkan kembali gol buat Selangor.
Tilikan: Selangor 2 - Kedah 0
Terengganu (5) - Johor FC (11)
Irfan Bakti pastinya mahukan 3 mata penuh malam ini dari pemain skuad Penyu beliau dan ia tidak mustahil dengan Hadi Yahya dan Manaf Mamat berada dalam keadaan terbaik untuk diturunkan malam ini sementara gandingan tengah antara Ashaari Shamsuddin dan Joseph Kalang Tie dijangka bakal menguasai bola dari dimiliki oleh Johor FC. Kehilangan Nurul Azwan Roya serta ramai lagi pemain dari musim lepas mengubah skuad Lebah kepada satu pasukan yang sangat berbeza musim ini dan berkemungkinan besar Lebah bakal dihempap Penyu di Kuala Terengganu.
Tilikan: Terengganu 3 - Johor FC 0
Felda United (7) - T-Team (12)
Kemenangan minggu lalu memberikan nafas lega buat Yunus Alif dan T-Team. Tetapi Felda United bukan sama seperti Perlis dan malam ini di Stadium MBPJ keupayaan sebenar T-Team bakal diuji. Khairul Izwan sekali lagi ditagih dapat menghasilkan jaringan buat T-Team sementara trio Indra Putra, Nor Farhan dan Azizi Mat Rose yang diharap dapat memberikan sumbangan seperti yang mereka lakukan di Kelantan musim lepas. Tetapi Felda United terkenal sebagai pasukan kental yang tetap sukar ditundukkan sekali pun bermain dengan 10 pemain dan perhatian perlu diberikan kepada seorang Yob berumur yang cukup berpengalaman iaitu Liew Kit Kong.
Tilikan: Felda United 2 - T-Team 1
Perak (2) - Harimau Muda A (4)
Berita baik buat Yob, Perak belum pernah tewas musim ini di Stadium Perak, gelanggang perlawanan malam nanti. Dan satu lagi berita baik buat Yob, Ong Kim Swee dijangka bakal merehatkan beberapa pemain utama Harimau Muda A untuk memberi lebih fokus pada perlawanan pra-Olimpik menentang Pakistan. Menteri Belia dan Sukan juga sudah memberikan amaran bahawa pra-Olimpik lebih utama dari Liga Super dan ketiadaan Fadhli Shas serta Irfan Fazail ke Ipoh bakal memudahkan anak buah Cikgu Jan melaksanakan tugas mengutip 3 mata penuh. SJ9 dan AR14 dijangka bermain seperti biasa sementara El Tornado masih perlu mendapatkan lampu hijau dari Nasi Vanggey sebelum dapat bermain.
Tilikan: Perak 2 - Harimau Muda A 0
Pahang (9) - Sabah (13)
Tok Gajah yang klasemen di awal musim kini semakin pincang selepas kubu keramat mereka dinodai Yob dan Hantu Kak Limah. Kali ini kawan-kawan Haris Adam dan Pipiyapong bakal berdepan pula dengan Sabahawks dan Ultra Sumandak. Oleh kerana Pahang sudah kalah minggu lepas, kita kembali kepada tilikan kejam tanpa perasaan belas kasihan.
Tilikan: Pahang 0 - Sabah 5
Perlis (14) - Kuala Lumpur (10)
Nafas lega buat Razip Ismail selepas City Boys terus ketandusan 3 mata selepas 3 perlawanan apabila mereka bertandang ke Kangar malam ini bertemu Perlis pasukan tercorot. Tetapi di Stadium Utama skuad Singa Utara bukan lawan yang mudah walaupun mereka dilihat sebagai pasukan paling lemah musim ini. Tidak mustahil malam ini Singa Utara bakal beroleh kemenangan sulung mereka.
Tilikan: Kuala Lumpur 0 - Perlis 1
No comments:
Post a Comment