Liga Super: Kelate Make Budu, Selangor Layan Tempe, Sumandak Kena Enjut & Apo Kono Eh Jang?



Brader Jang ni malam tadi marah dia bukan main, habis botol dibaling sambil tunjuk jari tengah pada pengadil. Kata nogori beradat?



Siapa Safee Sali?

Red Giants membuktikan tanpa Safee Sali, mereka masih mampu meledak gol. Selepas seri dalam Derbi Lembah Klang hari Sabtu lepas, Selangor butuhkan kemenangan dan 3 mata jika mereka benar-benar serius mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Dengan Safee Sali selamat di Indonesia melayan perempuan-perempuan Kramat Tunggak, harapan Selangor untuk menghasilkan gol terletak pada trio Hardi Jaafar, Amirul Hadi dan Amri Yahyah. Jelas mereka tidak mengecewakan K Devan apabila pantas mengkucar-kacirkan pertahanan Terengganu.

Tak ada Safee Sali, tak ada hal


Tetapi Fadzli Shaari yang terlebih dulu mencatat nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan hantaran Hardi Jaafar untuk gol pertama Red Giants pada minit ke-16. Di penghujung babak pertama Amirul Hadi pula membekalkan bola buat Amri 'Red Devils' Destroyer' Yahyah meletak Selangor selesa mendahului 2-0.

Sebaik babak kedua bermula, Azidan Sarudin menambah derita skuad Penyu apabila memberikan gol ketiga Selangor hasil rembatan luar kotak penalti. Bolos 3 kali, reputasi Sharbinee Allawee selaku penjaga gol pilihan kedua Harimau Malaya nampaknya makin terus pudar.

Tetapi Terengganu juga membuktikan keupayaan mereka menghasilkan gol seperti yang berlaku di Kangar pada Sabtu lepas. Ashaari Shamsuddin menyempurnakan penalti pada minit ke-67 dan Hadi Yahya pula menerobos gawang Selangor pada minit ke-85. Namun kebangkitan Terengganu sudah terlewat dengan Red Giants memilih untuk bertahan kelebihan satu gol mereka di hujung permainan.
Keputusan: Selangor 3 Terengganu 2

Make Gapo Budok Kelate Ni?

Budu Cap Ketereh kot? Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada perlawanan menentang Red Warriors di Stadium Sultan Mohammad IV kerana Stadium KLFA dilaporkan sedang dibaik pulih padangnya. Jawabnya memang Kuala Lumpur dijadikan budu.

Dengan kelebihan yang diberikan Sultan Bola & Co, Kelantan tidak membuang masa untuk meratah Kuala Lumpur ibarat budak Kelantan baru turun dari Kota Bharu pekena bapuk di Lorong Haji Taib. Ramzul Zahini Adnan dan Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol untuk Red Warriors sedang Kuala Lumpur lebih banyak bertahan dalam misi tidak mahu bolos banyak.
Keputusan: Kuala Lumpur 0 Kelantan 2

Sumandak Kena Enjut

Johor FC tidak menghadapi sebarang masalah ke Stadium Likas seperti Kedah pada Sabtu lepas. Berdepan Sabahawks yang menerima sokongan padu dari Ultra Sumandak, Johor FC tenang dalam permainan mereka. Setakat awek pakai hot pants, pemain Johor FC dah selalu tengok di Danga Bay.

Riduwan Ma'on sekali lagi muncul penjaring Johor FC melalui gol tunggal perlawanan pada minit ke-55. Beliau kali ini mengelak dari menjadikan dirinya malaon untuk menjamin kemenangan pertama buat Johor FC pulang dengan 3 mata penuh.
Keputusan: Sabah 0 Johor FC 1

Superclasico Utara

Dua pasukan terhebat dari utara Semenanjung bertemu, dalam perseteruan antara kedua pasukan yang di antara mereka telah menjulang 11 Piala Malaysia, 6 Piala FA dan 5 kejuaraan liga. Di luar dari Kedah dan Perak, hanya Selangor sahaja yang mempunyai kejayaan lebih banyak dari dua pasukan utara Semenenanjung ini. Red Warriors dan Jang? Tolak tepi.

Bertandang ke Stadium Darul Aman yang merupakan kubu kuat Hijau Kuning, Yob tidak mengharapkan kemenangan apatah lagi bila memikirkan Perak tidak pernah menang di sana sejak 2007. Lantas Yob terpaksa berpuas hati apabila hanya mampu seri tanpa jaringan bertemu Kedah.

Sekali pun kehilangan 2 mata tambahan dan kini ketinggalan di belakang Kelantan, Cikgu Jan yakin dengan keupayaan Perak untuk terus mencabar Kelantan dalam perebutan klasemen. Manakala Kedah pula terus terperosok di posisi ke-9 Liga Super dengan hanya 5 mata setakat ini.
Keputusan: Kedah 0 Perak 0

Apo Kono Eh Jang?

Misi pemburuan 3 piala? Jang gentar tiada? Musuhnya habis binasa? Nogori beradat? Iyo lah. Apo-apo jo.

Selepas dilauk Seladang di Ipoh, Jang pulang ke Paroi dengan harapan kembali menemui sentuhan kemenangan. Tetapi apa yang berlaku ialah sentuhan kecundang buat Jang.

Jang - Musuhnya Habis Binasa


Berdepan Felda United, harapan Jang mengutip 3 mata penuh nampak bersinar apabila Felda United bermain dengan hanya 10 pemain untuk majoriti masa perlawanan. Tetapi harapan tersebut lebur apabila Felda United yang berjaya merobek gawang Jang di minit-minit akhir perlawanan, melalui pemain pertahanan Ghani Rahman.

Setakat 4 perlawanan ini, Jang menang 2 dan kalah 2. Wakil tunggal Jang di Sokernet khabarnya masuk pejabat pun termonong ajo. Ingat kek Milah ke Jang oi? Kondak kau Jang diambik orang, biar omak cari an lain, ompuk orang jangan diidam. Nayo eh!
Keputusan: Negeri Sembilan 0 Felda United 1

Pahang Power Macam Pohang Steelers?

Perlawanan ini Sultan Bola sudah set. Percayalah.
Keputusan: Pahang 1 T-Team 0

Harimau Dengan Singa Sama Kuat

Harapan Perlis untuk memperolehi kemenangan pertama terkubur juga. Faiz Subri terlebih dulu meletak Singa Utara di depan pada minit ke-73 dan untuk beberapa ketika jelas kelihatan Singa Utara bakal beroleh 3 mata pertama.

Harimau Muda lawan Singa Utara


Tetapi pada 10 minit terakhir, dua pemain Perlis dibuang padang, pertama sekali ialah Sany Mat Isa dan kemudiannya diikuti oleh Munawwar Shavukah Ali. Harimau Muda dengan pantas mengambil kesempatan dari kekurangan Singa Utara ini dan di minit terakhir Gary Robbat menyumbat gol penyamaan untuk meletak Harimau Muda selesa di posisi ke-3 Liga Super.
Keputusan: Harimau Muda A 1 Perlis 1

Kesimpulan

Menang buat kali ke-3 terus meletakkan Kelantan di puncak klasemen dengan 10 mata. Mereka juga telah meledak sejumlah 9 gol dengan hanya bolos 2 selepas 4 perlawanan setakat ini.

Walaupun begitu mengekori rapat di tangga ke-2 ialah Perak, 2 menang dan 2 seri memberikan Yob bekalan 8 mata. Bersama Kelantan, kedua pasukan ini masih 'invincible' dalam Liga Super musim 2011.

Harimau Muda A terus menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan berada di tangga ke-3 sementara Selangor melengkapkan Top 4.

Saingan Liga Super bakal berehat sebentar untuk memberi laluan pada perlawanan Piala FA yang bermula pada 18 dan 19 Februari ini. Harimau Muda A pula bakal bermain sebagai pasukan kelayakan Olimpik untuk Malaysia dalam pertemuan dengan Pakistan pada 23 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews