Piala FA Malaysia Membuka Tirai 2011



Selain dari kejohanan Piala FA (FA Cup) sebenar yang berlangsung di England hujung minggu lalu, bolasepak Malaysia juga diserikan dengan kejohanan Piala FA kita sendiri. Kesemua 13 perlawanan Pusingan 1 telah berlangsung dan penyiar rasmi bolasepak Malaysia telah menyiarkan satu perlawanan tersebut secara langsung. Ya, hanya satu. Yakni pada hari Jumaat dalam perlawanan antara T-Team dan Kelantan.

Kenapa hanya satu perlawanan? Tanya Rizal Hashim dan Astro. Kenapa hanya pada hari Jumaat? Tanya Rizal Hashim dan Astro. Kenapa kena tanya Rizal Hashim dan Astro? Kerana Sokernet tidak ada jawapannya.

Piala FA



Kejohanan Piala FA berada di posisi ke-3 dari segi prestij dalam arena bolasepak Malaysia, iaitu selepas Piala Malaysia dan trofi Liga Super. Menjuarai Piala FA berserta Piala Malaysia dan Liga Super dikira pencapaian Treble dan ini hanya pernah dilakukan oleh Kedah pada tahun 2007 dan 2008. Selangor pula pernah melakukan Cup Double apabila memenangi Piala FA dan Piala Malaysia pada 1997 dan 2005. Red Giants juga pernah mencatatkan Double untuk Piala FA dan Liga Super pada 2009.

Kali pertama dipertandingkan pada tahun 1990, Piala FA diilhamkan dari kejohanan FA Cup di England dan sama seperti konsep FA Cup, Piala FA kita dimainkan dengan format kalah mati melibatkan semua pasukan atau kelab yang aktif dalam Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM (liga tahap ke-3 dalam piramid bolasepak Malaysia). Bezanya dengan FA Cup ialah Piala FA kita lebih besar dan tinggi. Malaysia memang suka bersaing bab saiz ini.

Juara pertama Piala FA ialah skuad The Yobs, iaitu Perak yang menundukkan Selangor 4-2 selepas ketinggalan 0-2 dalam salah satu perlawanan paling dramatik dalam sejarah bolasepak Malaysia kerana comeback yang sangat luar biasa. Sebanyak 21 edisi Piala FA telah dipertandingkan setakat ini dengan 11 pasukan pernah bergelar juara.

Juara-juara Piala FA: Selangor (5), Kuala Lumpur & Kedah (3), Yob & Jang (2), Sabah, Sarawak, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang & Johor (1)

Kelantan masih belum pernah menjuarai Piala FA sekaligus meletakkan mereka setaraf dengan dua negeri kerdil, Perlis dan Melaka.

Piala FA 2011 - Pusingan 1

Saingan Pusingan 1 telah bermula dari 18 hingga 20 Februari melibatkan 26 pasukan dalam 13 perlawanan. Juara Liga Super, Selangor berserta Negeri Sembilan selaku juara Piala FA dan Kedah sebagai naib juara Piala FA mendapat pelepasan dari Pusingan 1.

Pecahan 26 pasukan dalam Pusingan 1 terdiri dari 11 pasukan Liga Super, 12 pasukan Liga Perdana dan 3 pasukan Piala FAM. Berikut keputusan semua perlawanan Pusingan 1

T-Team 1 - 1 Kelantan (5-6 pen)
Harimau Muda A 4 - 0 SDM Kepala Batas
PKNS FC 5 - 0 MP Muar
Pahang 2 - 1 Sabah
PDRM 1 - 4 Perak
Melaka 0 - 5 Sime Darby
ATM 2 - 0 Sarawak
USM 1 - Terengganu 2
Melodi Jaya 0 - 4 Harimau Muda B
Pulau Pinang 1 - 5 Johor
Johor FC 5 - 0 SPA
Perlis 0 - 2 Felda United
Kuala Lumpur 3 - 0 POS Malaysia



Pusingan 2

Pusingan 2 khabarnya bakal berlangsung dalam bulan Mac. Jika diikutkan pada jadual yang ditetapkan oleh FAM, berikut ialah perlawanan untuk Pusingan 2 nanti

Negeri Sembilan - Kuala Lumpur
PKNS FC - Pahang
Perak - Sime Darby
ATM - Terengganu
Selangor - Harimau Muda B
Harimau Muda A - Johor
Johor FC - Kelantan
Felda United - Kedah

Dengan kembalinya Razali Umar Kandasamy atau nama manjanya 'El Tornado' ke pangkuan Yob, Perak dijangka tiada masalah untuk membawa pulang Piala FA ke Ipoh tahun ini. Ajenye ye!

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews