Super Bowl XLV: Green Bay Packers Menang 'Mangkuk-Super'!



Super Bowl XLV dan Trofi Vince Lombardi milik Green Bay Packers


Keputusan terakhir:
Green Bay Packers 31
Pittsburgh Steelers 25

Super Bowl XLV (ke-45 untuk mereka yang tidak faham sistem angka Rom) baru saja melabuhkan tirai sebentar tadi di Stadium Cowboys, Arlington, Texas. Packers, juara National Football Conference (NFC) menundukkan juara American Football Conference (AFC), Pittsburgh Steelers dengan skor 31-25 untuk mengakhiri kemarau 14 tahun Super Bowl mereka.

Football dan Super Bowl
Pastinya ramai yang tidak faham jadahnya menatang Super Bowl dan celaka apa permainan yang dinamakan 'football' di Amerika Syarikat ini. Usah khuatir.

American Football atau Bolasepak Amerika adalah merupakan satu sukan utama di negara Uncle Sam. Dinamakan mirip dengan nama bolasepak tetapi dimainkan seakan seperti sukan ragbi, American Football telah banyak menjadi isu pertikaian utama di antara Amerika Syarikat dan seluruh dunia. Kedua-duanya mempunyai prinsip yang sama, 22 pemain berebut sebiji bola tetapi dari segi peraturan serta cara permainan ia ibarat langit dan bumi. Dan atas sebab kekeliruan nama inilah Soccernet di ESPN dinamakan dengan prefiks 'soccer' bukan 'football'. Sama juga dengan versi Sokernet yang sedang kamu baca ini.

Super Bowl pula bukanlah sebuah mangkuk yang besar ya amat. Sebaliknya ia adalah kejohanan tahunan yang dianggap paling klasemen dalam Bolasepak Amerika. Asal Super Bowl ialah kesan dari penggabungan dua liga Bolasepak Amerika, yakni National Football League (NFL) dan pesaingnya American Football League (AFL) pada musim 1966. Ia mirip seperti mana bolasepak Inggeris pernah menggabungkan Football League dan liga pesaing Football Alliance pada tahun 1892.

Dengan penggabungan ini kedua-dua NFL dan AFL bertukar menjadi NFC dan AFC (C merujuk pada Conference). Selepas pasukan-pasukan menamatkan saingan peringkat liga yang dinamakan sebagai 'regular season', 6 pasukan terbaik setiap 'conference' akan melangkay ke NFL Playoffs, pusingan kalah mati yang menemukan setiap pasukan dengan lawan dari 'conference' masing-masing. Di penghujungnya ialah 2 juara, satu dari NFC dan satu lagi ialah dari AFC. Dua pasukan yang menjuarai 'conference' masing-masing inilah yang bakal bersaing dalam Super Bowl untuk penentuan juara segala juara.

Super Bowl dianggap sebagai kemuncak acara sukan terbesar di Amerika Syarikat dan ia bolehlah dikira sebagai Champions League untuk Bolasepak Amerika. Dari segi jumlah penonton seluruh dunia perlawanan akhir Super Bowl berada di tangga kedua selepas perlawanan akhir Champions League. Tetapi dari segi nilai komersial Super Bowl membawa pulangan kewangan yang lebih lumayan. Slot iklan dalam perlawanan Super Bowl XLV untuk tempoh 30 saat saja bernilai USD3 juta.

Super Bowl I bermula pada tahun 1967 dengan Green Bay Packers muncul juara edisi sulung ini. Sehingga hari ini sebanyak 18 pasukan telah menjuarai Super Bowl. Pittsburgh Steelers adalah bapak Super Bowl dengan 6 kejuaraan. dari segi 'conference', pasukan dari NFC telah menang sebanyak 24 kali sementara AFC pula 21 kali.

Juara NFC 2010 - Green Bay Packers
Packers adalah juara Super Bowl I (1966) dan II (1967) sebelum mereka dilanda kemerosotan dan gagal memenangi Super Bowl untuk 29 tahun lamanya. Mereka kemudiannya muncul kembali sebagai juara dalam Super Bowl XXXI (1996) selepas menundukkan New England Patriots dengan skor 35-21. Pun begitu Packers gagal mengulang kembali kejayaan mereka sehinggalah pagi tadi apabila muncul juara Super Bowl XLV menjadi kejuaraan ke-4 Super Bowl mereka.

Juara AFC 2010 - Pittsburgh Steelers
Reputasi sebagai juara Super Bowl terbanyak (6 kali) menjadikan Steelers sebagai faveret untuk menjuarai Super Bowl XLV (2010) ini. Kali terakhir Steelers menang pun ialah 2 tahun lalu dalam Super Bowl XLIII (2008). Malahan dalam hari-hari sebelum bermulanya Super Bowl XLV, para pengurusan dan pemain Steelers asyik bercakap mengenai sejarah dan legasi mereka sebagai jaminan bakal menjuarai kejohananan kali ini.

Super Bowl XLV
Tuan rumah setiap Super Bowl selalunya dipilih 3 atau 4 tahun lebih awal dan kali ini ianya giliran Stadium Cowboys (yang dihuni oleh pasukan Dallas Cowboys), Arlington, Texas. Dengan kapasiti 111,000 ianya adalah stadium tertutup terbesar di dunia.


Black Eyed Peas dan penari kaler hijau



Christina Aguilera diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu kebangsaan The Star-Spangled Banner dan bimbo ini dilaporkan ada tersilap bait lagu. Pertunjukan waktu rehat separuh masa pertama pula dipersembahkan oleh Black Eyed Peas melalui medley lagu hit mereka. Green Bay Packers diberi kelebihan sebagai tuan rumah dan mengenakan home-jersey sebagaimana konvensyen NFL yang menetapkan pasukan NFC sebagai tuan rumah untuk Super Bowl edisi nombor ganjil dan sebaliknya jika genap.

Suku Pertama
Packers bermula garang dan minit 3:44 Jordy Nelson melakukan touchdown selepas menerima hantaran jarak 29 ela dari Aaron Rodgers untuk 6 mata. Mason Crosby melakukan try untuk 1 mata tambahan menjadikan jumlah keseluruhan 7. Pintasan yang berjaya dilakukan Packers ke atas Steelers pula membawa kepada touchdown minit 3:20, Nick Collins melakukan pintasan pada jarak 37 ela dan Mason Crosby menyempurnakan try 1 mata untuk Packers menamatkan suku pertama selesa di depan.

Skor semasa GB14 - PS0.

*Minit dalam Bolasepak Amerika dikira secara countdown. Jarak dikira dari endzone pasukan lawan. Permainan dipecah kepada 4 suku 15 minit setiap satu.

Packers bermula garang seawal suku pertama



Suku Kedua
Ketinggalan 14 mata, Steelers bangkit dan pada minit 11:08 Shaun Suisham melakukan field goal dari jarak 33 ela untuk 3 mata. Hantaran oleh Aaron Rodgers dari jarak 21 ela disempurnakan melalui touchdown oleh Greg Jennings pada minit 2:24 dan mason Crosby sekali lagi melengkapkan try 1 mata buat Packers. Steelers kembali dengan touchdown dan try 1 mata pada minit 0:38, Hines Ward menyempurnakan hantaran 8 ela Ben Roethlisberger dan Shaun Suisham untuk try.

Skor semasa GB21 - PS10.

Suku Ketiga
Steelers terus cuba merapatkan jurang dan Rashard Mendenhall melakukan larian touchdown dari jarak 8 ela minit 10:19 dengan try 1 mata oleh Shaun Suisham. Packers pula berputih mata sepanjang suku ketiga.

Skor semasa GB21 - PS17.

Kebangkitan Steelers sudah terlewat



Suku Keempat
Packers terlebih dulu memecah kebuntuan pada minit 11:57 apabila Greg Jennings melakukan touchdown 8 ela dari hantaran Aaron Rodgers dan Mason Crosby untuk try 1 mata. Ini meletakkan skor pada GB28 - PS17.

Steelers kemudian melakukan touchdown minit 7:34 melalui Mike Wallace dari jarak 25 ela hantaran oleh Ben Roethlisberger. Antwaan Randle melakukan conversion 2 mata menjadikan skor GB28 - PS25. Steelers kini berpeluang cerah memintas Packers dengan permainan berbaki 6 minit.

Pun begitu, di hujung permainan pada minit 2:07 Mason Crosby memastikan Super Bowl milik mutlak Packers melalui field goal dari jarak 23 ela untuk 3 mata tambahan.

Skor akhir, Green Bay Packers 31 - Pittsburgh Steelers 25.

Gatorade Dunk - tradisi NFL apabila pemain mencurahkan air kepada jurulatih sebagai meraikan kemenangan



Kesimpulan
Kejayaan Packers adalah bukti pentingnya jika sebuah pasukan tidak terlalu bersandarkan pada kenangan dan sejarah. Sekalipun bergelar juara Super Bowl yang pertama, Packers tidak terlalu berbangga dengan rekod sedemikian. Pada masa yang sama juga kemarau Super Bowl 14 tahun tidak menghantui pasukan Packers yang bermain dengan tenang tanpa sebarang tekanan.

Steelers pula banyak bercakap mengenai legasi dan sejarah sebelum Super Bowl ini. Mereka juga terlalu yakin dengan reputasi sebagai pasukan pilihan dan rekod 6 kejuaraan Super Bowl. Kealpaan ini menjadi punca Steelers ketinggalan melalui serangan awal Packers. Pada saat Steelers mahu bangkit ianya sudah terlambat dan Packers hanya perlu memilih untuk bertahan.

Pokoknya, tidak menang bertahun-tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk terus gagal menang apa-apa. Dan juga segala rekod, pencapaian, kemenangan serta kenangan yang kita ada juga tidak berguna kerana semalam bukanlah hari ini.

Sesiapa yang terasa dianjing, pergi mampus.

Sumber: Amerikafutbolnet

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews