Hujung minggu berlalu dengan perlawanan ke-3 Liga Super selamat melabuhkan tirai. Pun begitu selepas 3 perlawanan masih sukar sebenarnya untuk kita menilai pasukan mana yang berpotensi menduduki kelompok atas liga. Tidak macam EPL atau La Liga, liga bolasepak tempatan kita sukar diduga dan lebih mirip kepada Bundesliga di Jerman yang sentiasa berubah-ubah kedudukan pasukannya setiap musim.
Apa Habaq Singa Utara?
Perlis terus kekal manjadi pasukan tunggal dalam Liga Super yang masih belum berjaya mengutip sebarang mata setakat ini. Tiga perlawanan dan 3 kekalahan bukan apa yang dijangkakan oleh Mustakeen Omar dan 227,025 orang penduduk Perlis nun di utara.
Skuad Penyu, yang bertandang ke Kangar selepas mencatat keputusan seri menentang Kelantan di Kota Bharu sebelum ini, tampak lebih merbahaya dan terlebih dulu di depan melalui Hadi Yahya hasil hantaran cantik Joseph Kallang pada minit ke-23. Gol kedua pula menyusul melalui jaringan pemain kebangsaan, Ashaari Shamsuddin.
Perlis terus dilanda musibah apabila Hafiszuan Salehuddin menerjah keras Ashaari Shamsuddin dalam kotak penalti. Pengadil menghadiahkan penalti buat Terengganu yang disempurnakan oleh Manaf Mamat untuk gol ke-3 skuad Penyu pada minit ke-57.
Hafiszuan Salehuddin membantu Perlis merapatkan jurang melalui gol tunggal Singa Utara pada minit ke-66 tetapi tidak lama kemudian dilayangkan kad kuning kedua. Singa Utara terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain untuk baki perlawanan manakala Irfan Bakti tersenyum puas dengan kemenangan pertama Terengganu.
Keputusan: Perlis 1 Terengganu 3
Gomo Kelate Gomo
Red Warriors kembali menemui rentak kemenangan di kubu keramat mereka Stadium Sultan Mohammad IV apabila meratah Johor FC ibarat seketul ayam goreng KFC.
Namun Johor FC yang terlebih dulu memberi kejutan apabila Riduwan Ma'on meletak skuad Lebah di depan seawal minit ke-25. Beliau kemudiannya bertukar menjadi malaon apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-49. Kelantan sebelum itu telah terlebih dulu mengikat kedudukan 1-1 apabila bekas pemain Johor FC yang berpindah ke Kelantan, Nurul Azwan Roya merobek gawang pasukan lamanya pada minit ke-28.
Jurulatih legenda M Karathu jelas seorang 'legend' apabila percaturan beliau selepas waktu rehat memperlihatkan permainan Red Warriors yang benar-benar klasemen. Norshahrul Idlan Talaha menambah derita Johor FC melalui gol minit ke-71 dan berselang 6 minit kemudian Nizad Ayub pula meledak gol ke-4 buat Kelantan.
Dengan kemenangan besar ini, Kelantan naik ke puncak klasemen dan Red Warriors benar-benar Happy Warriors buat masa ini. Sejumlah 10,000 botol budu khabarnya telah dibuka meraikan kemenangan besar Kelantan.
Keputusan: Kelantan 4 Johor FC 1
Derbi Lembah Klang
Perseteruan antara Selangor dan Kuala Lumpur adalah apa yang dinamakan Derbi Lembah Klang. Dan jika Selangor itu Manchester United maka Kuala Lumpur adalah Manchester City. Di pihak Red Giants ada 32 kejuaraan Piala Malaysia tetapi Kuala Lumpur sekali pun hanya pernah menjulangnya piala yang sama 3 kali, melakukannya dari tahun 1987 hingga 1989 di waktu Selangor melalui kemerosotan pasca Mokhtar Dahari. Dalam kejuaraan liga, Selangor juara 7 kali sementara Kuala Lumpur hanya 2 dan 5 Piala FA buat Red Giants berbanding 3 buat City Boys.
Derbi kali ini juga merupakan 'swan song' buat Safee Sali yang bakal berpindah ke Pelita Jaya selepas ini sekali pun Sultan Bola ada bertitah "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri".
Perobek gawang Manchester United, Amri Yahyah memberikan hantaran lintang buat Fadzli Shaari menanduk muda gol pendahuluan Selangor minit ke-18. Selangor kemudian terus menggandakan asakan tetapi Norazlan Razali dan tiang gol cekal mempertahankan kubu Kuala Lumpur dari dibolosi lagi.
Ketika Selangor dilihat bakal beroleh kemenangan kedua musim ini, City Boys melakukan kejutan pada separuh masa kedua apabila Azwan Malek mengikat kedudukan 1-1 dan ianya kekal hingga wisel penamat. Dengan kehilangan Safee Sali selepas ini dan barisan serangan yang masih agak buntu, K Devan perlu bertindak segera mencari jalan penyelesaian buat Selangor.
Keputusan: Selangor 1 Kuala Lumpur 1
Harimau Muda Mengaum
Harimau Muda A, di bawah pimpinan Ong Kim Swee yang mesra dengan Arsene Wenger, terus mengganas dengan kali ini meratah T-Team setelah sebelumnya memberikan kemaluan besar buat Pahang dan Pipiyapong.
S Sivanesan, Irfan Fazail dan Fadhli Shas memastikan Harimau Muda A beroleh kemenangan kedua di Stadium MBPJ Kelana Jaya sementara Haris Safwan menjaringkan gol tunggal saguhati T-Team pada minit ke-87.
Keputusan: Harimau Muda A 3 - T-Team 1
Tok Gajah Kalah Lagi
Sebelum perlawanan ini, Sokernet sekali lagi meletakkan tilikan Pahang akan kalah besar 5-0. Sekali lagi ada pembaca memberikan kata-kata "bontot kau, talk to the hand!".
Semasa perlawanan ini, ia sepatutnya home game untuk Felda United dan away game untuk Pahang tetapi dimainkan di Stadium Darulmakmur, yang jelas merupakan gelanggang buat Pahang berpuluh tahun lamanya. Salah guna kuasa?
Karma itu akan sentiasa menghantui kamu. Tok Gajah dimalukan dalam away game di tempat mereka sendiri oleh sebuah pasukan yang baru dipromosi ke Liga Super. Liew Kit Kong tenang meletakkan Felda United di depan minit ke-47 dan Farderin Kadir menambah gol kedua pada minit ke-59. Pahang beroleh saguhati melalui tendangan percuma Azamuddin Akil pada minit ke-77.
Kekalahan kedua bermakna Pahang, yang merupakan pasukan klasemen di awal musim kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dan atas sedikit sahaja dari zon penyingkiran. Tapi kalau nanti tersingkir pun apa ada hal, Sultan Bola kan ada?
Keputusan: Felda United 2 - Pahang 1
Yob Kokak Jang
Pertembungan Yob dan Jang bukan perlawanan picisan. Di sini pertembungan dua negeri dengan budaya dan loghat berbeza tetapi kedua-duanya popular baik dalam lagu atau filem. Dua pasukan yang para penyokongnya dapat dikenali dengan mudah hanya dengan merujuk kepada perkataan Yob atau Jang.
Jang bertandang ke Stadium Perak dengan reputasi klasemen sebelum perlawanan ini dan keyakinan tinggi mampu membawa pulang 3 mata penuh dan mempertahankan rekod kemenangan 100% mereka. Yob pula mengintai peluang untuk mencatat kemenangan kedua dan meleburkan rekod kemenangan 100% Jang dan Ayu Raudhah.
Hero of the Yobs - Akmal Rizal
Kedua-dua Yob dan Jang bagaimanapun buntu pada separuh masa pertama tanpa sebarang gol dijaringkan. Separuh masa kedua bermula dan Cikgu Jan jelas telah memberikan kata-kata semangat bermakna buat pemain Yob. Kapten Yob, Shahrulnizam Mustapa meledak gol pertama melalui sepakan penalti untuk kedudukan 1-0 yang kemudiannya digandakan oleh Akmal Rizal melalui rembatan cantik dari jarak 20 meter.
Kemenangan 2-0 Yob sekaligus meleburkan rekod kemenangan 100% Jang dan keputusan ini adalah mirip seperti keputusan 2-0 perlawanan akhir Piala Malaysia 2000 di mana Yob turut mengatasi Jang. Jang dilaporkan pulang ke Negeri Sembilan kempunan nak merasa deghoyan Bota.
Keputusan: Perak 2 - Negeri Sembilan 0
Sumandak Seksi Pukau Hijau Kuning
Penangan Ultra Sumandak terbukti hebat apabila Kedah bertandang naik kapal terbang ke Likas, terpukau, dikenakan kad merah dan pulang dengan tangan kosong tanpa mata dan tanpa nombor telefon sumandak barangkali.
Era kegemilangan Double Treble jelas sudah lama berlalu buat skuad Kenari dan bertemu Sabahawks mereka dikecewakan dengan gol kemenangan tunggal hasil jaringan Farid Ideris pada minit ke-26. Sabah turut dihadiahkan penalti minit ke-50 tetapi Sumardi Hajalan mensia-siakan peluang untuk menggandakan gol buat Sabahawks.
Kekecewaan Kedah jelas terpancar apabila Faizal Abu Bakar mengasari pertahanan Sabah, M Sivakumar. Terjahan keras tersebut mematahkan tulang Sivakumar yang terpaksa diusung keluar. Kedah pula kemudiannya terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain untuk baki perlawanan.
Sivakumar - Berpatah tulang demi Sabahawks
Kemenangan sulung Sabah diserikan lagi dengan kehadiran Ultra Sumandak di Stadium Likas yang mengembalikan keseksian dalam bolasepak Malaysia.
Keputusan: Sabah 1 - Kedah 0
Rangkuman
Tok Sami Besar dari Wat Suthama memang klasemen. Tilikan Harimau Muda A bakal menundukkan T-Team dengan keputusan 3-1 adalah jackpot tunggal minggu ini dan untuk 5 perlawanan lain tilikan siapa menang juga adalah betul. Hanya pertemuan Selangor dan Kuala Lumpur saja yang meleset.
Tamat perlawanan ke-3, Kelantan kini selesa di puncak klasemen dengan 7 mata tetapi Perak mengekori rapat dengan hanya dibezakan melalui perbezaan gol. Harimau Muda A di tangga ke-3 dan Negeri Sembilan melengkapkan Top 4 setakat ini.
Perlawanan Ke-4
Esok bermula pula perlawanan ke-4 Liga Super dan Tok Sami Besar dari Wat Suthama sudah membakar colok dan bermeditasi secukupnya untuk memberi tilikan seperti berikut:
Selangor 1 - Terengganu 1
Kuala Lumpur 0 - Kelantan 3
Sabah 2 - Johor FC 1
Kedah 1 - Perak 1
Negeri Sembilan 2 - Felda United 1
Pahang 0 - T-Team 5
Harimau Muda A 3 - Perlis 0
Perlawanan esok semuanya bersepak mula jam 8.45 malam kecuali Sabah lawan Johor FC yang bermula pada 8.15 malam. Rajin-rajinlah mengimarahkan stadium berdekatan anda. Bolasepak kita, wajah kita.
Kalau sumandak buli turun stadium, bah tak kan abang-abang kaki EPL nda dapat turun? Muhau!
*Gambar-gambar diambil dari merata sumber tanpa izin tapi dengan niat baik
No comments:
Post a Comment