Bolasepak 101: Football



Semuanya bermula dari permainan gila ini



Entri pasal Super Bowl kelmarin bukanlah sesuatu yang luar biasa sebenarnya dalam Sokernet. Lama sebelum ini bermacam jenis sukan lain pernah diceritakan dalam Sokernet, baik hoki, kriket, sepaktakraw juga badminton dan skuasy.

Pendek kata hampir semua jenis sukan dalam dunia ini boleh diulas dalam Sokernet jika mahu. Dan lama sebelum aku bercakap pasal Super Bowl, The Alpha Kotey terlebih dulu pernah bercerita mengenai American Football.

Jadi sesiapa yang bising tak tentu hala semalam nampak sangat baru beberapa bulan baca Sokernet tapi cakap berdegar-degar dan masih tidak faham bahawa di Sokernet, bolasepak itu lebih besar dari sekadar Liverpool dan Kelantan.

Berbalik kepada cerita Super Bowl dan American Football semalam, komen-komen pembaca banyak yang mempertikaikan 1) penggunaan istilah 'football' dalam sukan tersebut dan 2) bahawa American Football ini ialah ragbi pondan for pussies. Komen yang tak berapa cerdik aku tolak tepi.

Kita perlu memahami football secara keseluruhan untuk dapat menerima American Football sebagai sejenis football. Untuk faedah bersama dalam artikel ini aku akan gunakan istilah football dan bukan bolasepak, supaya senang kita nak faham.

Kalau diikutkan kepada Wikipedia, "football is any of several similar team sports of similar origins". Perhatikan kata kunci 'similar' di situ.

Jadi apa yang similar-nya antara football macam yang dimainkan oleh Liverpool dan football yang dimainkan oleh Green Bay Packers, selain dari ianya melibatkan 11 orang sepasukan macam yang aku cakap kelmarin?

Untuk memahaminya kita perlu kembali ke zaman dulu. Zaman dulu di sini bukan bermaksud zaman dulu-dulu di mana Liverpool adalah klasemen. Tapi belakang lagi.

Football atau sukan yang seakan dengannya telah dimainkan oleh bangsa Rom, Greek dan China sebelum lahirnya Nabi Isa lagi. Ia juga turut dimainkan oleh bangsa-bangsa lain kemudiannya, baik orang Jepun dulukala hinggalah ke orang Eskimo, atau oleh suku kaum Maori di New Zealand hingga kepada bangsa Maya di Amerika Tengah.

Menjelang Zaman Pertengahan, football dimainkan dalam bentuk Shrovetide di England atau Calcio Fiorentino di Itali. Ianya adalah permainan yang ganas dan hampir tidak ada peraturan. Lazimnya dimainkan oleh rakyat kelas bawahan, football yang sebegini pernah diharamkan oleh pihak kerajaan yang terdiri dari golongan bangsawan yang hanya tahu bermain pedang, kuda dan perempuan.

Pun begitu football terus dimainkan, khususnya di England baik secara haram atau halal. Ia kemudian jadi sukan kegemaran sekolah atau universiti di England dan perlawanan antara setiap sekolah atau universiti selalu diadakan. Pada masa yang sama, sejajar dengan tersebarnya Empayar British ke seantero dunia, football turut dimainkan dari Amerika Utara hingga ke Australia.

Tetapi oleh kerana tiadanya peraturan yang khusus, football pada masa ini dimainkan ikut suka hati kepala bapak masing-masing. Konsep hampir serupa, iaitu membawa bola ke bahagian akhir pasukan lawan untuk mendapatkan mata, tetapi Pasukan A sebagai contoh menetapkan ia hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kicking (kaki) sementara Pasukan B pula menetapkan ia boleh dilakukan dengan carrying (tangan). Jadi jadah nak main macam mana kalau begitu?

Association Football

Maka pada petang 26 Oktober 1863 wakil dari beberapa kelab football telah bertemu di Freemasons' Tavern (Freemason?!) untuk mesyuarat pertama The Football Association. Matlamat mereka adalah untuk menubuhkan satu kod permainan yang boleh diguna pakai oleh sesiapa yang mahu bermain football. Selepas beberapa kali mesyuarat sambil pekena teh dengan karipap, terciptalah satu kod dan set peraturan baru untuk football. Dari sinilah asalnya Association Football, bersempena nama The Football Association atau ringkasnya FA. Inilah bolasepak seperti yang kita dan Lionel Messi ketahui.

Tapi ada seorang mamat dari Blackheath, FM Campbell namanya, tidak bersetuju dengan peraturan baru ini. Si Campbell ini kemudiannya meletakkan jawatan beliau sebagai Bendahari The Football Association dan terus mengundurkan diri. Dua benda yang si Campbell ini tidak setuju ialah larangan membawa bola menggunakan tangan dan larangan menyepak kaki pihak lawan.

Rugby Football (Union & League)

FM Campbell bersama Blackheath, dan beberapa kelab football yang lain berpecah dari The Football Association dan mula bekerjasama untuk menubuhkan kod serta peraturan football mereka sendiri. Maka tanggal 26 Januari 1871 lahirlah Rugby Football Union selepas mesyuarat melibatkan 21 kelab football di Pall Mall Restaurant. Penubuhan tersebut bermakna bermulanya era untuk satu lagi cabang football iaitu Rugby Football.

Rugby Football bagaimanapun menghadapi konflik dalaman pada tahun 1895. Sebanyak 22 kelab Rugby Football telah bermesyuarat di George Hotel pada 29 Ogos 1895 dan mengambil keputusan berpecah dari Rugby Football Union untuk menubuhkan pula Rugby Football League. Ianya membawa kepada dua jenis Rugby Football seperti yang kita ketahui hari ini, Rugby Union dan Rugby League.

Australian Rules Football

Football telah dibawa ke Australia oleh pendatang British lama sebelum wujudnya The Football Association dan Rugby Football Union (dan serpihannya Rugby Football League). Terpisah dari tanah asalnya, football di Australia melalui proses evolusi yang berbeza.

Pada 14 Mei 1859, Melbourne Football Club telah ditubuhkan dengan beberapa tokoh terpenting berhimpun di Parade Hotel untuk menetapkan satu kod dan peraturan mereka sendiri atas prinsip "we shall have a game of our own". Kod dan peraturan ini kemudiannya diterima oleh kelab football lain di Australia sekaligus membawa kepada wujudnya Australian Rules Football hari ini yang turut dipanggil secara meluas sebagai football di Australia.

American Football

Penghijrahan bangsa Eropah, khususnya British ke Amerika Utara turut membawa bersama mereka football dalam pelbagai kod serta peraturan. Universiti, kolej dan sekolah di Amerika bermain football mengikut kod dan peraturan masing-masing sama seperti di England. Ada bermain football mengikut gaya Association Football manakala ada pula yang bermain mengikut kod Rugby Football. Sebuah kelab, Oneida Football Club bagaimanapun mencipta satu kod hybrid (gabungan) yang kemudian dikenali sebagai kod 'Boston Game'.

Populariti kod 'Boston Game' ini tersebar meluas dan pada 23 November 1876, wakil-wakil universiti telah bermesyuarat di Massasoit House untuk merangka satu kod dan peraturan yang boleh diguna pakai oleh semua pasukan. Mengambil kod dan peraturan Rugby Football Union di England sebagai asas, mesyuarat tersebut telah membawa kepada lahirnya American Football seperti yang kita tahu hari ini.

Kod Football Yang Lain

Association Football, Rugby Football, Australian Rules Football dan American Football menjadi 4 kod utama football yang dimainkan di seluruh dunia hari ini. Tetapi di beberapa negara lain turut wujud kod football tersendiri.

Di Kanada, ada versi kod Canadian Football yang mirip American Football tetapi mempunyai peraturan yang berbeza. Ia lebih kurang seperti perpecahan Rugby Union dan Rugby League dalam kod Rugby Football.

Di Ireland, populariti Association Football dan Rugby Football membawa kepada usaha-usaha untuk mempertahankan sejenis kod football yang merupakan tradisi di Ireland. Maka satu kod dan peraturan yang standard diwujudkan, dengan nama Gaelic Football mewarisi kod football tradisi Ireland.

Beberapa kod yang lain juga wujud, kebanyakannya merupakan hybrid (gabungan) antara 4 kod utama football atau mirip kepada salah satu dengan sedikit pengubahsuaian kecil dari segi peraturan.

4 Kod Utama Football

Australian Rules - 14 Mei 1859 di Parade Hotel, Melbourne
Association - 26 Oktober 1863 di Freemasons' Tavern, London
Rugby - 26 Januari 1871 di Pall Mall Restaurant, London (Union) & 29 Ogos 1895 di George Hotel, Huddersfield (League)
American - 23 November 1876 di Massasoit House, Springfield


Kesimpulan

Football yang bermula di England, dimainkan secara kicking (kaki) atau carrying (tangan). Ia kemudian disebarkan oleh para imigran ke Australia dan Amerika.

Di Australia, football melalui proses evolusi mereka sendiri hingga kepada lahirnya Australian Rules pada 14 Mei 1859.

Di England, usaha mewujudkan satu kod dan peraturan standard membawa kepada lahirnya Association pada 26 Oktober 1863. Tetapi berlaku perpecahan antara pihak terlibat. Satu pihak telak menarik diri dari Association.

Pihak yang menarik diri ini merangka kod dan peraturan mereka sendiri, membawa kepada lahirnya Rugby pada 26 Januari 1871.

Di Amerika, football yang dibawa dari England juga mengalami proses evolusi sendiri. Usaha mewujudkan kod sendiri membawa kepada kelahiran American Football.

Rugby mengalami perpecahan pada 26 Ogos 1895, apabila wujudnya League yang berbeza dengan Union. Ia masih kod yang serupa tetapi mempunyai peraturan berbeza.

Jadi sekarang siapa yang main football yang sebenar-benarnya?

Itu cerita mengenai sejarah dan asal-usul kod football yang berbeza. Aku telah cuba ringkaskan seringkas mungkin kerana jika mahu dijelaskan secara terperinci ianya sudah boleh dijadikan buku. Apa pun jika sesiapa mahukan bacaan lebih lanjut bolehlah rujuk kepada pautan Football di Wikipedia.

Persoalan tentang football mana yang ganas dan mana pula yang pondan, bagi aku adalah tidak berfaedah. Cukup aku jelaskan disini, ketika awal kewujudan football yang dimainkan tanpa kod dan peraturan yang tersusun, ianya adalah satu permainan yang ganas dan pernah diharamkan beberapa kali.

Penubuhan kod dan peraturan, selain untuk mewujudkan satu standard, juga bertujuan untuk memastikan aspek keganasan dan pertumpahan darah dapat dipadamkan sama sekali (atau dikurangkan) dalam football.

Dari pemerhatian kasar, kita boleh mengatakan bahawa kod Association yang paling banyak mengenakan peraturan untuk membuang aspek keganasan dalam football. Tetapi dimana ianya kurang 'ganas', Association pula paling banyak dicemari dengan insiden kontroversi, penipuan dalam permainan dan pengadilan tidak konsisten. Akibat dari ini kes pemain yang tidak berdisiplin dan tidak menghormati pengadil banyak berlaku dalam Association.

Australian Rules, Rugby Football (Union & League) serta American Football masih banyak mengekalkan aspek keganasan seperti yang wujud dalam konsep asal football. Tetapi di sebalik ini ia mengenakan peraturan yang ketat sehingga hampir tiada ruang untuk penipuan dengan dibantu oleh pengadilan yang konsisten. Jarang sekali, malahan hampir tiada, insiden pemain bergaduh atau mempertikaikan keputusan pengadil dalam Australian Rules, Rugby Football dan American Football.

Begitulah adanya sedikit-sebanyak penerangan mengenai football dan kod-kod football yang ada. Okay, siapa nak kelahi boleh kelahi di ruangan komen.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews