Edit: Jangan lupa menyertai peraduan teka result di entri di bawah
Orang kampung teman udoh letak video Mr Os, otai Yob yang dihormati baik di Bota Kanan mahu pun Kiri. Jadi teman rasa video tu aje udah cukup untuk membakor semangat Yob sekalian. Tapi jangan dibakor sampai rentung udah le ye? He eh!
Kita bertukar pada cakap Kolumpo. 99% pembaca Sokernet semua tahu minggu ini adalah pertembungan Derbi Manchester dan jadual perlawanan EPL yang lain. Tapi berapa kerat saja agaknya tahu jadual Liga Super untuk minggu ini? Hah, berapa kerat?
Segar dari kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong, para pemain Harimau Malaya dan mereka yang tidak berpeluang beraksi untuk Harimau Malaya bakal bersaing antara satu sama lain bermula hari ini dan esok dalam perlawanan ke-3 Lige Super musim 2011.
Perlis lawan Terengganu
Pasukan tercorot, Perlis bakal meraikan kunjungan Terengganu (9) malam jam 8.45 malam di Stadium Utama, Kangar. Perlis adalah satu-satunya pasukan tunggal dalam Liga Super yang masih belum mengutip sebarang mata. Beban berat kini berada di bahu Mustakeen Omar, jurulatih Singa Utara dalam uasah mencari mata sulung buat pasukannya. Terengganu pula setelah menampilkan persembahan meyakinkan mengikat Kelantan seri 1-1 dalam Derbi Pantai Timur minggu lepas pastinya mahukan 3 mata penuh dibawa pulang dari Kangar malam ini.
Tilikan: Perlis 0 - Terengganu 1
Kelantan lawan Johor FC
Red Warriors, yang pastinya tidak ada awek pakai hot pants, akan menyambut skuad Lebah dengan kemenangan berada dalam minda jurulatih 'legend', Datuk M Karathu. Kelantan (2) perlu memenangi perlawanan ini demi memastikan mereka terus mengekori rapat pasukan klasemen, Negeri Sembilan yang berkemungkinan bakal tunduk kepada Perak. Buat Johor FC (10) pula, berkongsi mata boleh dianggap sudah cukup baik untuk mereka apatah lagi beraksi di Stadium Sultan Mohammad IV yang jelas mencabar mental mana-mana pasukan lawan.
Tilikan: Kelantan 2 - Johor FC 0
Selangor lawan Kuala Lumpur
Derbi Lembah Kelang bakal berlangsung minggu ini sekalipun ianya tidak lagi semeriah era 1980-an dulu. Red Giants mungkin mempunyai sejarah yang jauh lebih gah dari Kuala Lumpur tetapi buat masa ini, City Boys yang berada di posisi ke-3 Liga Super sedang Red Giants di tangga ke-8. Perlawanan ini juga bakal menjadi perlawanan terakhir buat penyerang Selangor, Safee Sali yang bakal berhijrah ke kelab Indonesia Pelita Jaya selepas ini.
Tilikan: Selangor 2 - Kuala Lumpur 1
Harimau Muda A lawan T-Team
Selepas berjaya memberikan Sultan Bola dan Pipiyapong kemaluan yang amat besar (sehingga Pipiyapong menulis megenai hoki di Sokernet), Harimau Muda A (6) bakal berentap pula dengan T-Team yang menghuni tangga ke-2 tercorot Liga Super. Anak-anak harimau Ong Kim Swee telah membuktikan mereka bukan kecil anak dan harus dipandang dengan rasa hormat oleh abang-abang senior pasukan Liga Super yang lain. Berdasarkan prestasi semasa tidak mustahil 3 mata penuh bakal menjadi milik Harimau Muda A sekali lagi.
Tilikan: Harimau Muda A 3 - T-Team 1
Pipiyapong kecewa apabila mendapat tahu Arsene Wenger lebih sukakan Ong Kim Swee dan Harimau Muda A berbanding Sultan Bola dan Pahang
Felda United lawan Pahang
Tahukah anda bahawa penempatan Felda pertama ialah di Lurah Bilut, Bentong, Pahang? Tahukah anda bahawa kekalahan Pahang tempoh hari kepada Harimau Muda A telah memaksa Pipyapong menulis tentang hoki secara mengejut? Tahukah anda bahawa Felda United bakal menang ke atas Pahang esok hasil sokongan padu belia Felda Lurah Bilut?
Tilikan: Felda United 5 - Pahang 0
Perak lawan Negeri Sembilan
Pertembungan paling hangat minggu ini ialah antara Yob yang meraikan kunjungan Jang di Stadium Perak, Ipoh. Jang sekarang selesa di puncak klasemen, tetapi Yob di tangga ke-4 Liga Super khabarnya semakin bertenaga dan bernafsu. Setakat ini Jang berbangga dengan rekod kemenangan 100% mereka dan juga sokongan padu yang diterima dari Ayu Raudhah. Tetapi Yob tak hairan, kalau Jang ada Ayu Raudhah, Yob pula ada Hantu Kak Limah. Ater?
Tilikan: Perak 3 - Negeri Sembilan 2
Hantu Kak Limah - Peminat nombor satu Yob di Kampung Pisang
Sabah lawan Kedah
Perlawanan pertama di Stadium Likas buat Sabahawks yang kini di posisi ke-12 Liga Super, bertemu Kedah yang menghuni posisi ke-5. Sabah mempamerkan permainan yang baik ketika bertemu Kuala Lumpur dalam perlawanan lepas tetapi masih tumpul dari segi serangan dan tidak bernasib baik untuk tewas 1-0. Pun begitu, Kedah juga kurang memberangsangkan dengan hannya mampu menjaringkan 1 gol setakat ini. Kehadiran Ultra Sumandak dijangka bakal menaikkan semangat pemain Sabah dan berpotensi membuatkan pemain Kedah pula hilang fokus.
Tilikan: Sabah 2 - Kedah 1
Tilikan kali ini dibuat khas oleh Tok Sami Besar dari Wat Suthama. Tok Sami Besar juga ada membuat timbang nasib dan nombor ramalan. Untuk mendapatkan pertolongan bolehlah hubungi Tok Sami Besar di 012-4393459 atau terus ke:
Wat Suthama
Lot 12/1-125 Kampung Tok Malak
Mukim Nami 06730
Nami Kedah Darul Aman
No comments:
Post a Comment