Perihal Bolasepak Bukan Liverpool Dan Chelsea




Liga Super Malaysia memasuki perlawanan kedua malam ini. Semalam Liga Perdana telah bersepak mula dengan pasukan-pasukan nama merapu bersaing bersama beberapa pasukan negeri yang bernasib malang.


Nasib Jang di tangan Ayu Raudhah


T-Team bakal menerima kunjungan skuad Jang, Negeri Sembilan yang diserikan lagi dengan kehadiran pengantin baru, Zaquan Adha. Orang kata darah pengantin ni lain macam sikit jadi harap-harapnya begitulah hendaknya. Nasib Jang bergantung sepenuhnya sama ada tenaga Zaquan Adha masih ada atau semuanya telah dihabiskan oleh Puan Ayu Raudhah. Jika dilihat pada aksi Jang ketika bertemu Harimau Muda A sebelum ini jelas ada kepincangan pada skuad bimbingan Wan Jamak. T-Team pula memburu kemenangan pertama dan dijangka mampu mencabar Negeri Sembilan dengan skuad yang dibarisi bintang baru seperti Indra Putra dan Nor Farhan selain kapten berpengalaman Rosdi Talib. Sekalipun ianya home game, T-Team bagaimanapun akan bermain di Paroi kerana lampu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak menepati tahap piawaian.

Prediksi: T-Team 1 - Negeri Sembilan 1

Di Alor Setar pula, Kedah bakal meraikan kunjungan Felda United, pendatang baru Liga Super. Felda United sebelum ini beraksi baik untuk mengikat Johor FC 0-0 dan membantu BN menang majoriti besar dalam pilihanraya kecil di Tenang baru-baru ini. Maka keupayaan Felda Boys ini tidaklah boleh dipandang ringan oleh skuad Kenari. Pun begitu Kedah mempunyai kelebihan kerana bermain di gelanggang keramat Stadium Darul Aman dan kelebihan pengalaman dijangka bakal membantu Kedah mengatasi Felda United.

Prediksi: Kedah 2 - Felda United 0

Tidak jauh dari Alor Setar, satu lagi perlawanan juga berlangsung di utara Semenanjung apabila Singa Utara, Perlis menjadi tuan rumah kepada Red Giants, Selangor. Dua pasukan yang memulakan musim 2011 dengan langkah kiri pastinya terdesak untuk mencari kemenangan. Stadium Utama mungkin ibarat Lion's Den untuk Perlis tetapi sang gergasi dijangka tidak mempunyai masalah untuk mencuri 3 mata penuh kali ini, dengan syarat Amri Yahyah dan Safee Sali tidak emo dalam permainan. Tetapi seandainya Selangor gagal mengutip 3 mata, nyawa jurulatih K Devan mungkin berada di hujung tanduk. Untuk Perlis pula, tugas mencari gol pastinya sekali lagi disandarkan kepada penyerang keturunan Siam, Samransak Kram.

Prediksi: Perlis 1 - Selangor 2

Sementara itu Harimau Muda A pula bakal bertemu Pahang di Shah Alam. Pahang yang kini klasemen telah membuktikan keupayaan mereka bermain ala Arsenal di bawah kendalian Dollah Salleh dengan kemenangan 3-1 ke atas Perlis tempohari. Tetapi harimau-harimau muda pimpinan Ong Kim Swee pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk membuktikan keupayaan mereka menundukkan sang klasemen malam ini dan membuktikan pada semua pasukan kesayangan Sultan Bola serta Pipiyapong tidaklah se-power mana.

Prediksi: Harimau Muda A 5 - Pahang 0

Para Yob sekalian dijangka bakal memenuhi Stadium Perak malam ini apabila skuad Seladang menerima kunjungan skuad Lebah, Johor FC. Selepas memanaskan badan dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur di Cheras hari Sabtu lepas, kini sudah tiba masanya Perak membuktikan reputasi mereka selaku kuasa besar bolasepak Malaysia sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah disingkirkan dari Liga Super. Sekali lagi jurulatih Norizan Bakar akan mengharapkan gandingan Shafiq Jamal serta Akmal Rizal untuk mengepalai barisan serangan Perak. Ketiadaan Razali Umar Kandasamy yang khabarnya kini di Liverpool untuk sesi ujian pemilihan pengganti Nando Torres tidak menggusarkan para Yob sekalian. "No player is bigger than the club," kata mereka dan "Perak is bigger than Liverpool," tambah mereka lagi. Ater?

Prediksi: Perak 2 - Johor FC 1

Legend

Derbi Pantai Timur bakal berlangsung malam ini apabila dua jiran bermusuh, Kelantan dan Terengganu bakal bertarung nyawa di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu. Kelantan, segar dari kemenangan Piala Sumbangsih mereka bertekad mahu memastikan hegemoni mereka ke atas Terengganu terus berkekalan. Kedua-dua pasukan merupakan pesaing sengit dalam perebutan tempat kedua Liga Super 2010 tetapi Kelantan akhirnya berjaya mengatasi Terengganu dengan kelebihan 6 mata di penghujung musim. Jurulatih baru Kelantan, Datuk M Karathu membuktikan beliau bukan sahaja hebat sebagai pundit Astro Supersport tetapi juga mampu mengisi tempat yang dikosongkan oleh B Satianathan. Tidaklah menghairankan kerana selaku bekas jurulatih Perak, Karahtu memang seorang legend. Tetapi, keupayaan Terengganu tidak boleh dipandang enteng apatah lagi dengan pemenang Kasut Emas musim lepas, Ashaari Shamsuddin di bahagian serangan dengan dibantu oleh Joseph Kalang. The Tinkerman, Irfan Bakti mungkin melakukan sedikit rombakan pada skuad Penyu selepas mereka hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Sabah sebelum ini.

Prediksi: Kelantan 3 - Terengganu 1



Kelebihan di Sabah ialah di sini ada suratkhabar tempatan sendiri. Ada New Sabah Times, Borneo Post dan Daily Express. Bila ada suratkhabar sendiri maka pastinya ada cerita mengenai pasukan sendiri, betul tak? Dari Daily Express tersisip berita mengenai pasukan Sabah yang bakal bertandang ke Cheras malam ini untuk bertemu Kuala Lumpur. Kejayaan mengikat Terengganu di tempat lawan di lihat petanda positif oleh jurulatih Gary Phillips yang menjangkakan Sabahawks bakal mengutip 3 mata malam ini di Cheras. "Saya yakin bahawa kami boleh menang perlawanan ini jika para pemain mampu menyamai usaha pemain lawan, kami mendapat keputusan baik sewaktu melawan Terengganu minggu lalu, yang mana sepatutnya memberi kami keyakinan untuk beraksi baik menentang KL," kat Gary Phillips dipetik dari Daily Express. Sabah yang mencatat 3 kemenangan dari 4 perlawanan pra-musim di Singapura dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengatasi Kuala Lumpur di Cheras.

Prediksi: Kuala Lumpur 0 - Sabah 1

Untuk perlawanan malam ini, Astro Arena bakal menyiarkan siarang langsung pertemuan Kuala Lumpur lawan Sabah di 801 pada jam 8.30 malam.

Prediksi kali ini dibuat oleh Wat Tokek Tong Siam oleh Tok Sami Pipiyapong Pue-on. Bukan senang nak teka keputusan perlawanan Liga Super, bukan macam EPL yang predictable sangat.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews