May The Force Be With You!
Malam ini semua perlawanan Piala Asia 2011 akan bertembung dengan perlawanan-perlawanan liga bolasepak tempatan yakni EPL. Maka macam biasa keutamaan perlu kita berikan kepada EPL. Kalau bukan rakyat Malaysia nak sokong EPL, siapa lagi?
Senario EPL diutamakan dari Piala Asia ini bukan baru sangat dalam Malaysia. Pada tahun 2007 berjuta-juta anak jati Manchester di Malaysia pernah dihampakan kerana kunjungan Manchester United ke Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan akibat protes AFC kerana Malaysia juga adalah tuan rumah Piala Asia 2007. Ramai yang kecewa tetapi tidak menyedari Piala Asia 2007 adalah yang pertama buat negara kita sejak perginya arwah Mokhtar Dahari.
Malam ini, kerana EPL maka ESPN dan Star Sport terpaksa memberi laluan kepada perlawanan EPL. Buat mereka yang mempunyai Astro B.yond bagaimanapun bolehlah layan perlawanan Piala Asia 2011 di ESPN HD.
Sepatutnya FAM melobi kepada FA England supaya membenarkan pasukan Harimau Malaya bermain dalam EPL. Atau pun suruh Tony Fernandes beli Hull City dan namakan Harimau Malaya kemudian sumbat pemain Malaysia dalam kelab itu. Lambang pun dah harimau dah.
Asian Heavyweights
Negara bolasepak paling berjaya di Asia, Korea Selatan bertembung dengan pendatang baru bolasepak Asia, Australia. Korea Selatan pernah ke Piala Dunia 8 kali berbanding 3 kali untuk Australia, tetapi dalam ranking FIFA Australia ialah pasukan nombor satu Asia berbanding ke-3 buat Korea.
Korea Selatan yang pertama merobek gawang Australia, pada minit ke-24 melalui pemain muda Koo Ja-Cheol yang bermain untuk Jeju United. Keseluruhan babak pertama dikuasai baik oleh Korea Selatan dengan Australia lebih banyak mengejar bola. Tim Cahill dan Harry Kewell tidak langsung mengancam kubu Korea, dengan Cha Du-Ri cemerlang mengawal pergerakan Cahill.
Australia bagaimanapun menunjukkan peningkatan positif pada separuh masa kedua. Dan pada minit ke-62 mereka diselamatkan oleh pahlawan Jedi bernama Mile Jedinak yang bermain untuk kelab Turki, Genclerbirligi. Ia adalah gol antarabangsa pertama buat Jedinak.
Seri merupakan keputusan yang memuaskan buat kedua pihak. Cuma Korea Selatan kini lebih selesa kerana perlawanan berikutnya ialah India. Australia pula perlu berdepan Bahrain dan wajib menang jika mahu ke suku akhir. Masalahnya Luke Wilshire, David Carnay dan Jason Culina kesemuanya mengalami kecederaan dan sedikit menjejaskan persediaan Socceroos.
Goal Fest
Tujuh gol disajikan dalam pertemuan antara Bahrain dan India dengan penyerang Bahrain Ismaeel Abdullatif menjaringkan 4 gol manakala seorang lagi penyumbang gol Bahrain, Faouzi Aaish dilayangkan kad merah kerana melakukan aksi terjun dalam kotak penalti India.
India walaupun bolos 5 gol tetap memberikan saingan selayaknya buat Bahrain. Gouramangi Singh dan Sunil Chhetri menjaringkan 2 gol buat India. Okaylah tu, Malaysia pun hanya mampu mencatatkan satu gol dalam Piala Asia 2007.
Kalah 5-2, India kini sudah terkeluar dari saingan Piala Asia 2011. Tetapi mengikut kata jurulatih India, Bob Houghton, pengalaman bermain Piala Asia 2011 dan menentang pasukan handalan merupakan pengajaran yang berharga buat Bhangra Boys.
Malam Ini
Pertarungan Paksi Kejahatan antara Iran dan Korea Utara berlangsung jam 9:15 malam dan Jong Tae-Se kali ini berjanjikan akan melakukan satu tumbukan padu ke udara. Kemudian pada 12:15 pagi Emiriah Arab Bersatu berdepan pula dengan juara bertahan Iraq.
Sebelum berpisah, aksi gol dari pemain Sporting Kansas City dan India, Sunil Chhetri. Jadahnya India ada pemain yang bermain di MLS Amerika Syarikat? Kita baru nak hantar Safee Sali keluar pun dah kecoh satu kampung. Tapi sebenarnya kalau dilihat dengan teliti, Renedy Singh sudah pun terlebih dulu meletakkan bola dalam gawang melalui screamer beliau.
No comments:
Post a Comment