Piala Asia 2011: Laporan Hari Ke-9
Okay yang sebenarnya bukan aku tak mahu pos entri tentang kemenangan Chelsea. Kemenangan itu sudah diduga pun. Setakat lawan Blackburn Rovers apa ada hal? Chelsea beb, bukan Liverpool.
Niat aku sebenarnya sepanjang Piala Asia 2011 ini ialah untuk cuba fokus mengenai Piala Asia saja. Tapi sebab Obefiend dah sebut-sebut pasal Chelsea jadi aku tambah sikit.
Kemenangan malam tadi adalah petanda jelas bahawa Chelsea kini kembali dalam pemburuan takhta klasemen. Walaupun ketinggalan agak jauh tetapi secara matematik Chelsea masih berpeluang. Liverpool lain cerita, baik dari segi matematik, sejarah, geografi atau pun pendidikan moral memang dah tak mampu dah.
Jadi kepada semua penyokong Chelsea yang dirahmati sekalian, zigger zagger!
Okay kembali pada Piala Asia 2011.
Pertarungan Paksi Kejahatan
Dua negara yang pernah digelar Uncle Sam sebagai anggota Paksi Kejahatan bermain malam tadi. Republik Islam Iran lawan Republik Rakyat Demokratik Korea atau Korea Utara. Terima kasih pada RTM kerana mengambil alih tugas ESPN dan Star Sport dengan menyiarkan perlawanan ini secara langsung malam tadi. Dengan Datuk Haji Hasbullah Awang dan Richard memberikan ulasan, aku dapat tengok perlawanan Piala Asia 2011 sambil terkekeh-kekeh depan TV.
Korea Utara yang perlukan kemenangan turun dengan sokongan padu dari penyokong mereka yang berkemeja lengkap bertali leher gaya nak pergi temuduga kerani pejabat tanah. Mula aku syak mungkin kakitangan kedutaan Korea Utara di Doha tetapi jumlah mereka punyalah ramai tidak mustahil mereka ini pekerja ladang gandum atau pelombong arang batu paling produktif untuk tahun 2010 yang dipilih sendiri oleh pemimpin agung Kim Jon-Il untuk dihantar terbang percuma ke Qatar sempena Piala Asia 2011. Tahniah!
Tetapi sokongan padu dari komrad-komrad pakai kemeja dan bertali leher tidak dapat membantu Wayne Rooney Asia dan rakan-rakan untuk menundukkan kuasa Republik Islam Iran. Semangat revolusi Iran lebih kuat dan jitu, Karim Ansarifard yang khabarnya kini dalam perhatian kelab Jerman Borussia Dortmund meledak gol kemenangan Iran pada minit ke-62. Iran 1 Korea Utara 0.
Iran kini adalah pasukan pertama yang sah ke suku akhir.
Lions of Mesopotamia Bangkit
Iraq, yang tunduk pada Iran dalam perlawanan pembukaan kembali menghidupkan misi mempertahankan kejuaraan mereka dengan menundukkan Emiriah Arab Bersatu 1-0 malam tadi.
Kedua-dua pasukan seperti akan terikat tanpa jaringan tetapi gol sendiri oleh pemain Emiriah Arab Bersatu, Walid Abbas pada minit ke-90+3 memastikan Iraq mengutip 3 mata penuh dan kini hanya perlu menang ke atas Korea Utara dalam perlawanan terakhir mereka.
Malam Ini
Pusingan peringkat kumpulan kini hampir tamat dan malam ini Kumpulan A akan melabuhkan tirai mereka. Macam biasa mengikut prosedur FIFA setiap perlawanan terakhir kumpulan hendaklah dijalankan serentak untuk mengelak sebarang keputusan yang disengajakan.
Tuan rumah Qatar bertemu Kuwait dalam perlawanan wajib menang untuk mereka layak ke suku akhir. Kuwait pula secara logiknya tidak mempunyai peluang, melainkan mereka menang besar ke atas Qatar untuk mengatasi defisit 3 gol mereka dan menjaminkan kelebihan jaringan.
China pula bertemu Uzbekistan dan masih berpeluang untuk ke suku akhir jika menang dan hanya sekiranya Qatar kalah. Tetapi andai Qatar juga menang ke atas Kuwait maka peluang China tertutup kerana rekod pertemuan China dan Qatar sebelum ini memihak kepada tuan rumah.
RTM melalui TV1 akan menyiarkan siaran langsung pertembungan China dan Uzbekistan malam ini jam 9:15 malam.
Sebelum berpisah, gol dari pemain Iran Karim Ansarifard. Dengan gol sebegini tidak mustahil beliau bakal ke Borussia Dortmund!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment