Piala Asia 2011: Laporan Hari Ke-7

Kata orang, Piala Asia 2011 ini makanan negara Arab. Pedulikan bagus mana Australia, Jepun atau Korea Selatan; kerana Piala Asia kali ini dianjurkan di Qatar, di tanah Arab, dalam dunia Arab; semestinya pasukan negara Arab yang akan menguasai kejohanan ini.

Tapi setakat ini belum ada negara Arab yang telah memijak sebelah kaki dalam pusingan suku akhir. Qatar bernasib baik menang ke atas China untuk menghidupkan kembali peluang mereka. Tetapi dalam Kumpulan A keadaan masih agak terbuka di mana semuanya masih boleh melangkah ke sukur akhir.

Kumpulan A
Uzbekistan 6
Qatar 3
China 3
Kuwait 0

Qatar bakal bertemu Kuwait dan China pula berdepan Uzbekistan. Jika China menang ke atas Uzbekistan dan Qatar pula seri atau tewas kepada Kuwait, tidak akan ada pasukan Arab yang layak ke suku akhir dari Kumpulan A.

Jawapan pada teka-teki ini hanya akan dapat kita ketahui pada 16 Januari nanti.

Sementara itu dalam Kumpulan B, kumpulan paling Arab kerana mengandungi 3 pasukan Arab di dalamnya, paling tidak satu slot suku akhir masih boleh menjadi milik pasukan Arab. Dan jika diikut percaturan sebelum bermulanya Piala Asia, slot itu berkemungkinan besar milik Arab Saudi. Tetapi masalahnya:

Syukran Jazilla Saudi Arabia!

Bapak segala negara Arab di dunia, Arab Saudi menjadi pasukan pertama yang berkemas pulang. Tidak menjadi masalah pun kerana dari Qatar balik ke Arab Saudi naik bas pun boleh.

Selepas kalah mengejut kepada Syria, Arab Saudi malam tadi tumbang pula kepada Jordan. Kali ini kurang mengejut kerana kalau hendak ditengok gaya permainan Arab Saudi memang macam celaka. Unta pun boleh main bola lagi bagus aku rasa.

Melalui Baha'a Abdul Rahman, Jordan terlebih dulu di depan minit ke-42. Arab Saudi kemudiannya mempunyai seluruh babak kedua untuk bangkit mengatasi lawan mereka. Tapi semuanya main ikut kepala bana sendiri. Di sebalik nama-nama besar macam Yasser Al-Qahtani, Mohammad Al-Shalhoub dan Taisir Al-Jassim, masih tidak ada persefahaman antara mereka. Semua terikut dengan perangai Arab dari Semenanjung Tanah Arab, besar kepala dan perasan bagus.

Lain ceritanya dengan Jordan, sekalipun bermain dengan 10 pertahanan mereka ada semangat sepasukan. Jordan mengisi penuh babak kedua dengan pertahanan yang jitu ibarat Walls of Jericho. Bukan masalah sangat pun buat Jordan sebenarnya. Semua serangan Arab Saudi lebih bercorak individu, semua jenis nak rembat sendiri. Mungkin sebab Sultan Bola Arab Saudi ada menjanjikan telaga minyak bagi sesiapa yang menjaringkan gol.

Sebaik pengadil meniup wisel, Jordan telah melengkapkan satu kisah klasik Piala Asia. Menghantar Green Falcons, juara 3 kali pulang. Dan lebih pahit lagi sebagai pasukan pertama yang pulang dalam Piala Asia 2011 ini.

2 Penalti 2 Kad Merah

Jujur, bolasepak macam ini yang kita perlu untuk setiap perlawanan yang disiarkan waktu tengah malam di Malaysia. Yang penuh drama, kontroversi dan saspen pastinya.

Syria, bersemangat kesan dari kemenangan mengejutkan mereka ke atas Arab Saudi bertemu Jepun yang hampir-hampir tumpas kepada Jordan sebelumnya. Jepun juga perlu menang jika tidak mahu pulang awal.

Tetapi berdepan dengan Syria bukan mudah. Qasioun Eagles memang tidak tersusun macam Blue Samurai, tetapi permainan mereka tipikal bolasepak Arab. Sangat fizikal, banyak menggunakan long ball dan penuh intimidasi. Kalau semangat Jepun lemah macam budak Arsenal memang kena lauk jawabnya.

Pun begitu, Jepun terlebih dulu di depan. Kapten pasukan Makoto Hasebe meledakkan gol pertama minit ke-35 selepas huru-hara berlaku di depan gawang Syria. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Mula separuh masa kedua, Syria banyak mengasak kubu Jepun dengan semangat yang lain macam. Macam mahu merampas Bukit Golan dari Israel lagaknya sedang Jepun bermatian mempertahankan gawang mereka ibarat ianya Pulau Okinawa.

Dan kemudian timbul kontroversi yang pertama. Syria diberikan penalti oleh pengadil dari Iran setelah penjaga gol Jepun Eiji Kawashima menjatuhkan Sanharib Malki. Tetapi penjaga garisan melayangkan bendera kerana Sanharib Malki berada dalam kedudukan ofsaid. Pengadil bagaimanapun menolak keputusan penjaga garisan dan melayangkan kad merah kepada Eiji Kawashima. Firas Al-Khatib menyempurnakan penalti untuk kedudukan 1-1.

Ianya adalah kesilapan yang jelas dari pengadil Iran bernama Mohsen Torky. Mungkin kerana itulah pada minit ke-82 Jepun pula dihadiahkan penalti, tit for tat version. Shinji Okazaki seperti dijatuhkan oleh Ali Diab dalam situasi yang agak 50-50. Keisuke Honda menyempurnakan penalti tersebut untuk Jepun yang bermain 10 orang di depan kembali.

Dalam waktu kecederaan, Nadim Sabagh pula dilayangkan kad kuning kedua selepas menerima yang pertama kurang 30 saat sebelumnya kerana merebut bola dari pemain Jepun yang masih belum melakukan sepakan percuma.

Pengadil meniup wisel penamat untuk memberikan Jepun kemenangan 2-1 tetapi ianya lebih awal dari waktu kecederaan yang sepatutnya, begitu dakwaan jurulatih Syria Valeriu Tita.

Dengan kemenangan ini, Jepun mendahului Kumpulan B dan hanya perlu seri ke atas Arab Saudi untuk layak ke suku akhir.

Malam Ini

Masuk hari ke-8 dan barulah kita bakal disajikan dengan pertembungan heavyweight pertama, Australia lawan Korea Selatan pada jam 9:15 malam. Bahrain pula menentang India pada jam 12:15 pagi.

Sebelum berpisah, aksi-aksi penuh kontroversi dari pertemuan Syria dan Jepun. Semangat Arab sungguh pengulas itu.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews