Silap tak ada orang Melayu bersilat je dalam iklan tu. Bila agaknya? Kena tanya Sultan Bola dan K Rajagobal.
Kumpulan B memulakan persaingan malam tadi dengan Jepun bertemu Jordan dan Arab Saudi menentang Syria. Dua Goliath Asia melawan dua pasukan bertaraf David (padang tembaga).
Battle of the Js
Pasukan ke-29 dunia bertemu dengan pasukan ke-104 dunia. Atas kertas lagi terang-terang Samurai Blue dilihat mudah untuk mengatasi Al-Nashama (The Braves). Tetapi Jordan membuktikan mereka memang layak diberi gelaran Al-Nashama apabila melakukan kejutan untuk mengikat Jepun 1-1.
Reputasi Jepun sebagai juara Asia 3 kali memang tidak menggugat Jordan langsung. Sebaliknya Jordan terlebih dulu di depan minit ke-45 apabila pemain tengah Hassan Abdel Fatah merembat dari luar kotak untuk memboboli gawang Jepun. Turun minum dan Jordan selesa dengan satu gol di depan.
Babak kedua berlangsung dan seperti diduga Jordan memilih untuk bertahan dari serangan Banzai bertali-arus oleh Jepun. Jurulatih Adnan Hamad menerapkan formasi 9-1-0 untuk menahan asakan Samurai Blue. Pertahanan Jordan memang kental dan mereka ibarat telah merentangkan Sungai Jordan di depan gawang mereka yang membuatkannya mustahil untuk diseberang oleh mana-mana pemain Jepun, baik oleh Shinji Kagawa mahu pun Keisuke Honda.
Kebuntuan, Jepun beralih kepada mod Kamikaze dengan masa perlawanan yang semakin suntuk. Pemain pertahanan mereka yang bermain untuk kelab Belanda VVV-Venlo akhirnya muncul wira pada minit ke-92 bermain dalam waktu kecederaan. Maya Yoshida melompat untuk menanduk bola hasil tendangan penjuru ibarat Mitsubishi Zero meluru dalam serangan nekad Kamikaze untuk menyamakan kedudukan. Jepun dan Jordan akhirnya berkongsi mata.
Di luar padang, indeks awek antara Jepun dan Jordan juga turut mencatat keputusan seri.
Arabian Affairs
Perlawanan kedua menemukan jaguh bolasepak dunia Arab dan benua Asia, Arab Saudi bertemu dengan Syria yang bukanlah kuasa bolasepak Arab, jauh sekali Asia.
Untuk pemain Syria berdiri di atas padang menentang Arab Saudi adalah ibarat Gabenor Syam (kini Syria), Muawiyah berdiri di atas dataran Siffin memberontak ke atas pemerintahan Khalifah Ali dalam Perang Siffin. Ini adalah perseteruan Madinah-Damsyik dihidupkan kembali dalam bolasepak.
Di tempat duduk penonton, penyokong Arab Saudi dengan jubah putih dan serban mereka sementara penyokong Syria dengan baju-t dan seluar jeans. Dua dunia Arab berbeza. Yang satu budaya konservatif dan penuh dengan Wahabbisme,satu lagi berbudaya agak liberal dan kaya dengan nasionalisme Arab.
Mungkin pengalaman berperang dengan Israel berkali-kali dan diperintah junta tentera menjadikan pemain Syria lebih kental dan permainannya tersusun. Sedangkan pemain Arab Saudi seperti kehilangan arah tujuan, mungkin fikiran melayang ke Riyadh risaukan jika isteri di rumah curi-curi keluar memandu Mercedes dan BMW milik si suami.
Akibatnya Syria terlebih dulu di depan melalui jaringan Abdelrazaq Al-Hussain pada minit ke-38. Barulah Arab Saudi tersentak dan bangkit untuk kembali menyamakan kedudukan melalui tandukan kencang Taiseer Al-Jassim di minit ke-60. Tetapi ianya tidak kekal lama, selang 3 minit Abdelrazaq Al-Hussain kembali muncul wira meletakkan Qasioun Eagles di depan mengatasi Green Falcons.
Kali ini tidak ada timbang tara atau kebuntuan seperti ribuan tahun dulu antara Muawiyah dan Ali. Pertembungan dua kuasa Arab kali ini diselesaikan dalam 90 minit dengan Syria muncul pemenang 2-1 mengatasi Arab Saudi. Almarhum Muawiyah pasti tersenyum bangga, waris Dinasti Umayyah, Syria sekali lagi menindakkan hegemoni Arab dari Semenanjung.
Sebagai balasan, Sultan Bola Arab Saudi yakni Putera Sultan Bin Fahd Bin Abdulaziz berkenan mencemar duli dengan memecat jurulatih Green Falcons, Jose Peseiro yang berasal dari Portugal.
Kedudukan Kumpulan B kini agak bercelaru dengan Syria terklasemen dan Arab Saudi pula berada di dasar. Jepun dan Jordan pula kini hanya dengan bekalan 1 mata.
Malam ini:
Pertembungan Kumpulan C bermula dengan dua musuh ketat dunia sukan kriket, India dan Australia bersepak mula pada jam 9:15 malam. Cuma kali ini dalam bolasepak dan India tidak mempunyai Sachin Tendulkar dunia bolasepak. Sedang Australia dibarisi pemain taraf EPL antaranya si peninju tiang bendera penjuru, Tim Cahill.
Kemudiannya jam 12:15 pagi Korea Selatan akan bersepak mula melawan Bahrain. Sokernet ada menerima pesanan dari Red Devils paling sepet di dunia, Park JS:
"Nasib den kek Qatar. Kalau den kek Old Trafford kelmarin nayo eh anak buah King Kenny den kojo kan sampai jadi masak lomak cili api. Ni den nak posan, sapo tak tengok game Korea malam ni bukan true Red Devils yo!"
*Terjemahan bahasa Nogori Manchestee dibuat tanpa izin Jorji dan Hishamuddin Rais.
Dalam pada itu anak Harimau Malaya, Subkhiddin Mohd Salleh telah dipilih untuk menjadi pengadil perlawanan Kumpulan D antara Korea Utara dan Emiriah Arab Bersatu. Turut menemani beliau penjaga garisan Mohd Sabri Mat Daud.
Sebelum berpisah, saksikan terbangan maut Green Falcons bernama Taisir Al-Jassim dalam usaha beliau menyelamatkan nasib jurulatih Arab Saudi, Jose Peseiro. Malangnya ia tidak memadai untuk membuat Sultan Bola Arab Saudi merasa girang.
Terjemahan:
"Kini saatnya sudah tiba untuk melakar sejarah Arab Saudi. Bola ditepis keluar, saya masih belum solat, wah apakah itu? Orait! Allaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaah! Sejarah Arab Saudi! Sejarah Arab Saudi kini telah tercipta. Yakni sejarahnya Arab Saudi. Anda, saya dan juga Cik Kamilah..." - Pengulas Arab
No comments:
Post a Comment