Astro Tabur Duit: Kebaikannya Untuk Bolasepak Malaysia




Den Kayo!

Tahniah kepada FAM kerana akhirnya mula dipandang tinggi. Pingat emas Sukan SEA 2009, Piala AFF pula pada tahun 2010 telah berjaya membuat bolasepak kita kembali sebagai sesuatu yang dibanggakan. Tahniah!

Dengan kejayaan ini semua, aku yakin ada segelintir dalam FAM yang kini merasakan apa yang mereka buat selama ini untuk bolasepak Malaysia adalah betul. Bahawa meneruskan liga bolasepak terdiri dari pasukan negeri adalah betul. Mencampur adukkan pasukan negeri dan kelab dalam liga juga adalah betul. Menubuhkan pasukan pemain muda seperti Harimau Muda untuk bermain dalam liga juga betul. Menghantar mereka ke Slovakia juga betul. Mengekalkan Pahang dalam Liga Super juga betul.

Betul kerana kita sudah menggondol pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF. Maka kaki kompelin macam aku sepatutnya diam.

Dan betapa betulnya FAM selama ini telah dibuktikan dengan lebih nyata lagi bila Astro bertindak memberi tajaan lumayan RM220 juta untuk tempoh 4 musim!

Setakat artikel ini ditulis, maklumat yang aku dapat korek mengenai tajaan lumayan ini ialah jumlah keseluruhannya adalah RM220 juta untuk musim 2011 hingga musim 2014. RM120 juta dalam bentuk hak penyiaran di mana Astro menjadi penyiar rasmi Liga M dengan bayaran RM30 juta setiap musim kepada FAM. RM100 juta lagi adalah untuk tujuan promosi luar padang, sekitar RM25 juta setiap musim barangkali. Astro dan FAM juga telah bersetuju untuk berkongsi keuntungan jika ada. Maka nilai keseluruhan yang mungkin diterima FAM boleh melebihi RM220 juta untuk 4 musim tersebut.

Dalam konteks bolasepak kita, ini bukan nilai yang sedikit. Dunhill pernah menaja liga bolasepak tempatan dengan kadar RM33 juta setiap tahun. TM pula pernah menjadi penaja sebelum Astro dengan nilai tajaan berjumlah RM8 juta setiap tahun. Tetapi Astro bakal melaburkan RM55 juta (RM30 juta hak penyiaran dan RM25 juta promosi) kepada FAM setiap tahun!

Tajaan lumayan begini memang sangat-sangat diperlukan oleh FAM dan Liga M yang selama ini beroperasi dengan bajet yang ciput. Dan pastinya kesan tajaan ini dapat memberi kebaikan kepada bolasepak Malaysia.

Bagaimana agaknya liga bolasepak kita selepas ditaja oleh Astro?

Kebaikan Dari Astro

Astro, seperti yang kita tahu adalah stesen TV berbayar yang menyajikan kita dengan banyak aksi sukan selama ini, khususnya bolasepak. Produk bolasepak utama mereka pastinya EPL, diikuti dengan siri perlawanan liga Eropah yang lain. Awalnya Astro banyak mengharapkan program yang disediakan oleh ESPN dan Star Sport, tetapi sejak kebelakangan ini Astro juga mula menonjolkan program sukan in-house mereka sendiri melalui saluran Astro Supersport dan Arena.

Dengan kepakaran dan kelengkapan yang dimiliki Astro, adalah mudah untuk mereka bertindak selaku penyiar rasmi perlawananan Liga M yang terdiri dari Liga Super dan Liga Perdana. Kita berkemungkinan bakal disajikan dengan program perlawanan yang lebih terperinci, lengkap dengan analisis dan perlawanan dan sebagainya seperti yang selalu kita tonton dalam siri perlawanan EPL. Tidak cukup dengan itu, kita mungkin disajikan dengan program-program supplementary ala Maxis Football Extra atau Castrol Football Craze, juga FourFourTwo versi tempatan bernama EmpatEmpatDua?

Astro mempunyai keupayaan untuk melakukan semua di atas dan lebih lagi. Liga bolasepak kita memang kurang dari segi promosi. Berapa kali apabila kita membuka suratkhabar setiap hari dan disajikan dengan berita EPL sehingga 2 atau 3 mukasurat sedang bolasepak tempatan hanya satu artikel?

Kurangnya promosi bermakna kurangnya minat rakyat Malaysia kepada liga tempatan. Kerana kita ketandusan maklumat, berita dan juga gosip. Kita tahu dan arif mengenai perpindahan pemain luar ke kelab lain dan nilai bayarannya tetapi kita tidak tahu apa-apa mengenai pergerakan pemain tempatan. Namakan 25 pemain Kedah untuk musim akan datang dan kita semua akan ternganga mulut. Namakan 25 pemain Manchester United setiap permulaan musim dan kita ada maklumatnya.

Kita tahu jadual perlawanan EPL setiap minggu. Selepas semua perlawanan minggu tersebut dimainkan, hari Isninnya kita bakal disajikan dengan program ulasan mingguan atau rebiu dari ESPN atau Star Sport. Dan seminggu sebelum perlawanan berikut dimainkan kita akan diberikan prebiu perlawanan akan datang, lengkap dengan tilikan oleh pundit bolasepak.

Astro ada keupayaan untuk menjadikan Liga M seperti itu. Dan juga keupayaan untuk mungkin meletakkan Lisa Surihani dalam satu program bolasepak santai dan menemu bual Khairul Fahmi dengan soalan-soalan berkaitan bola dan yang tidak ada sangkut paut dengan bola langsung. Kemudian cabar Khairul Fahmi dalam satu permainan suka-suka. Mungkin meletakkan Khairul Fahmi di pintu gol berdepan Lisa Surihani yang bakal melakukan sepak penalti. Jika bolos Khairul Fahmi perlu melucutkan satu demi satu pakaian beliau. Jika bola berjaya ditampan, mungkin Lisa Surihani pula yang perlu melucutkan...

Maaf tersasul. Tapi lebih kurang begitulah yang kita perlukan dan mungkin berlaku.

Kebaikan Kepada Pasukan Dalam Liga Dan FAM

Dengan RM55 juta setiap tahun, FAM berkemungkinan besar akan berkongsi kemewahan ini dengan pasukan negeri dan kelab bolasepak. Wang akan dilaburkan untuk menyediakan setiap pasukan bagi menghadapi saingan musim liga bolasepak. Setiap pasukan kini mampu bernafas dan tidak lagi mengalamai kesulitan dari segi kewangan.

Lantas isu pemain tidak dibayar gaji dan sebagainya berkemungkinan tinggal kenangan. Menjelang 2012 dengan pintu kembali dibuka untuk pemain import, setiap pasukan mempunyai keupayaan untuk mendapatkan khidmat pemain import yang lebih berkualiti. Mungkin dari Jepun atau Korea Selatan. Mungkin juga ada yang muncul dari negara Afrika seperti Nigeria, Cote d’Ivoire dan Ghana; bukan lagi dari Zimbabwe atau Lesotho. Mungkin juga kelibat pemain liga tahap kedua dari Brazil, Argentina atau Uruguay; mahu pun tenaga import dari Hungary, Poland, Bulgaria dan sebagainya jika tidak England atau Sepanyol.

Kelebihan dana juga memberi ruang untuk pasukan negeri dan kelab bolasepak untuk melabur dalam program latihan dan mencari bakat. Anak-anak muda tempatan kini berpeluang untuk bermain bolasepak dengan lebih kerap dan teratur. Bermula dengan pendaftaran di akademi hinggalah kepada menceburkan diri dalam perlawanan liga simpanan atau remaja pasukan dan kelab masing-masing.

FAM pula, dengan bajet yang lebih besar kini berkemampuan untuk menganjurkan liga simpanan atau liga remaja. Setiap anak muda berbakat kini berpeluang untuk bermain 20 hingga 30 perlawanan setiap tahun, bukan lagi bermain untuk sekolah dalam pusingan bolasepak kalah mati peringkat daerah setakat 1 perlawanan setahun.

Bagaimana dengan pendedahan untuk skuad remaja dan senior kebangsaan? Pastinya FAM kini mampu untuk menghantar mereka pergi lebih jauh, bukan setakat Slovakia sahaja. Harimau Muda dan Harimau Malaya boleh melibatkan diri dalam kejohanan berprestij dan bermain perlawanan persahabatan dengan lawan yang berkualiti, bukan lagi sekadar bermain dengan Zimbabwe.

Kebaikan Untuk Semua

Kualiti liga tempatan dari segi aspek luar padang juga harapnya meningkat. FAM dan pasukan terlibat mungkin mampu memastikan perlawanan liga tempatan dapat dijalankan dalam suasana meriah tetapi terkawal. Tidak ada lagi budaya baling mercun atau botol mineral dan laser-laser kepala botak pemain lawan. Suasana stadium lebih terkawal dan kondusif untuk masyarakat dari segenap lapisan, kanak-kanak, awek pakai seluar pendek , warga emas dan bapa penyayang untuk turun tanpa risaukan gejala rempit yang menular di stadium.

Dengan promosi meluas oleh Astro dan kembalinya kesedaran serta minat rakyat Malaysia kepada liga tempatan, tempiasnya bakal merebak kepada golongan tersisih. Tersisih di sini membawa maksud bangsa bukan Melayu dan golongan bandar yang selama ini sudah lama mengabaikan liga tempatan, terima kasih kepada imej UMNO, kampung dan budaya rempit yang dibawanya selama ini.

1Malaysia bakal turun ke stadium harapnya. Ali, Chong dan Raju bakal bersama-sama ke stadium atau duduk di mamak bersembang mengenai Selangor atau Kelantan yang bakal menjuarai Liga Super 2011, atau tentang Perak berhasrat mendapatkan khidmat Shunsuke Nakamura dengan bayaran RM15 juta, atau mungkin tentang Khairul Fahmi mengkhianati Kelantan dan menyertai musuh tradisi Terengganu. Dan bukan setakat Ali, Chong atau Raju sahaja. Saudara Mojuntin di Sabah dan Alfred Jabu di Sarawak juga bercakap mengenai Liga M. Johnny Dickhead, ekspatriat Inggeris yang kerja di KLCC juga mungkin menjadi peminat nombor satu Kuala Lumpur dan setiap minggu turun ke Stadium KLFA Cheras.

Asalkan bolasepak kita menarik dan selamat. Dan ketika itu berita bolasepak tidak terhad sekadar di Utusan Malaysia atau Harian Metro sahaja. Tetapi juga menghiasi New Straits Times, The Star, Sin Chew Jit Poh dan juga Malaysia Namban. Malahan Sun juga akhirnya terpaksa bercerita mengenai Liga M. Dan lebih banyak blog seperti Sokernet tumbuh ibarat cendawan selepas hujan.

RM220 juta untuk mengubah liga dan bolasepak kita. Tidak mustahil bukan?

Bagaimana tajaan lumayan Astro ini bakal mengubah ini semua hanya akan dapat dilihat dalam tempoh 4 tahun akan datang. Dan jika dilihat dengan mata kasar, ia pasti bakal membawa perubahan yang positif.

Tetapi esok, aku akan bercakap pula bagaimana RM220 juta ini boleh disia-siakan begitu saja.

Sementara itu, komen jangan tak komen.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews