Hola! - Copa America 2011



Terlebih dulu Sokernet menyusun 10 jari meminta maaf kerana terlewat memberikan liputan khas Copa America 2011. Jangan salahkan perkhidmatan Internet di Argentina, yang sebenarnya jauh lebih maju dari perkhidmatan Internet 1Malaysia.

Tapi salahkan majalah Playboy Argentina.



Copa America 2011 adalah edisi ke-43 kejohanan bolasepak berprestij Amerika Selatan yang usianya jauh lebih tua dari Piala Dunia itu sendiri. Ya lama sebelum mana-mana negara dalam dunia ini memperkenalkan kejohanan bolasepak antara negara, otai-otai bola di Amerika Selatan telah terlebih dulu memulakannya. Sebab itulah Copa America ini perlu kita hormati walaupun siaran langsung perlawanan lazimnya ditayangkan pada pagi-pagi buta waktu Malaysia.

Dalam 95 tahun sejarah Copa America, sebanyak 7 negara telah bergelar juara. Argentina dan Uruguay masing-masing telah menjadi juara sebanyak 14 kali sedangkan Brazil pula hanya 8 kali. Ya walaupun jadi juara Piala Dunia 5 kali tapi dalam Copa America, A Selecao selalu dianjing oleh geng-geng La Albiceleste dan La Celeste. Paraguay dan Peru masing-masing pernah menjadi juara 2 kali sementara Colombia dan Bolivia menjadi juara hanya sekali (Bolivia juara Copa America 1963 yang diadakan di negara itu sendiri, 3640 meter di atas paras laut).

Copa America 2011 kali ini diadakan di Argentina berdasarkan polisi giliran mengikut abjad yang ditetapkan oleh CONMEBOL. Semua 10 negara ahli CONMEBOL layak secara automatik dan 2 pasukan jemputan dari konfederasi bolasepak lain turut serta melengkapkan 12 pasukan dalam kejohanan ini. Untuk 2011, pasukan jemputan terdiri dari Mexico dan Costa Rica (menggantikan Jepun yang menarik diri kerana gempa dan tsunami Mac lalu).

Dari 12 pasukan yang bertanding ini, mereka dipecahkan kepada 3 kumpulan terdiri dari 4 pasukan setiapnya. Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir berserta 2 pasukan terbaik tempat ketiga.

Kumpulan A

Argentina, Colombia, Bolivia & Costa Rica


Tuan rumah, Argentina diundi dalam Kumpulan A yang sebenarnya boleh dikira agak mudah buat mereka. Dengan adanya pemain tersohor yang hampir 100% darinya berpengkalan di Eropah seperti Lionel Messi, Carlos Tevez, Angel di Maria, Ezequiel Lavezzi dan ramai lagi mereka dijangka tidak menghadapi masalah untuk muncul juara Kumpulan A. Apatah lagi kali ini La Albiceleste tidak lagi dibimbing oleh El Loco si Diego Maradona. Sebaliknya jurulatih mereka ialah Sergio Batista yang memenangi pingat emas Olimpik 2008 sebagai jurulatih skuad bawah 23 Argentina. Namun dalam perlawanan pembukaan di La Plata, barisan bintang Argentina dikejutkan oleh Bolivia untuk seri 1-1 sehingga ada yang bertanya main kat La Plata atau main kat La Paz?

Colombia pula boleh dikatakan sebagai pilihan kedua dengan Radamel Falcao serta Hugo Rodallega bakal membentuk gandingan penyerang idaman setiap kartel dadah Colombia. Tetapi dalam perlawanan pertama mereka hanya menang tipis 1-0 ke atas sekumpulan hijueputa dari Costa Rica. Dan bukan Falcao atau Rodallega yang menjaringkan gol tetapi Adrian Ramos. Namun begitu Sokernet yakin jika adanya ugutan bunuh dari Kartel Medellin atau Cali ke atas para pemain Colombia, Los Cafeteros (atau Los Cocaleros?) tidak berdepan sebarang masalah ke suku akhir.

Bolivia, dengan hampir 80% pemain yang bermain dalam liga tempatan mungkin bukan pilihan utama ke suku akhir tetapi Cholos dari kawasan pergunungan ini telah membuktikan sekali-sekala turun ke dataran tidak menjadi masalah buat mereka. Setelah mengikat Argentina 1-1 di La Plata, La Verde hanya perlu seri dengan Colombia dan menang ke atas Costa Rica untuk layak ke suku akhir. Presiden Evo Morales ada menjanjikan sebidang tanah dan kerjaya sebagai Cocaleros (penanam koka) kepada pemain Bolivia jika menang Copa America.

Costa Rica, sebagai pasukan jemputan menggantikan Jepun tidaklah dilihat sebagai dapat memberikan saingan sengit dalam Kumpulan A. Tapi apa ada hal, dijemput bermain dalam Copa America pun sudah kira rezeki. Kalau Harimau Malaya dijemput juga satu hari nanti memang bodohlah Sultan Bola kalau tak mahu hantar pasukan, ye tak?

Tilikan: 1. Argentina 2. Colombia 3. Bolivia 4. Costa Rica

Kumpulan B

Brazil, Paraguay, Venezuela & Ecuador


Copa America 2011 boleh dikira sebagai kayu pengukur kemampuan pemain muda A Selecao dalam persiapan mereka untuk Piala Dunia 2014 nanti (yang wajib dimenangi oleh Brazil atau jika tidak ia umpama runtuhnya patung Cristo Redentor atau putusnya bikini bertali si gadis di Ipanema). Ia juga kayu pengukur untuk beberapa pemain muda Brazil yang berhasrat untuk berhijrah ke Eropah musim depan seperti Neymar dan Lucas (bukan Lucas Leiva pemain kelab bawahan Liverpool itu). Menjuarai Copa America 2011 adalah penting kerana Brazil adalah juara bertahan untuk 2 edisi sebelumnya (menundukkan Argentina) dan tiada yang lebih manis melainkan dari mencatat hatrik tiga kejuaraan berturut-turut (apa lagi di bumi musuh tradisi, Argentina). Tetapi sebagai satu-satunya negara yang menggunakan Portugis sebagai bahasa rasmi di benua yang dikuasai bahasa Sepanyol, Brazil adalah Gringo di benua sendiri dengan seteru seperti Argentina dan Uruguay sentiasa mencari peluang untuk mencalar maruah bolasepak negara Samba itu.

Paraguay, selepas menunjukkan prestasi bolasepak dan lurah buah dada Larissa Riquelme yang membanggakan dalam Piala Dunia 2010, kini kembali lagi untuk menggegar jiwa semua peminat bolasepak dan buah dada sedunia. Dan lebih menggembirakan, Larissa Riquelme sekali lagi mencabar Los Guaranies dengan menjanjikan sesi gambar bogel jika Paraguay menang Copa America 2011 (apasal Rita Rudaini tidak menjanjikan perkara yang sama bila Harimau Malaya berjaya menundukkan Taiwan?). Harapan kini terletak pada Roque Santa Cruz dan Lucas Barrios untuk tidak menghampakan harapan persaudaraan jantan sedunia. Mana tahan asyik-asyik telefon bimbit saja yang dapat duduk celah lurah tu ye tak?

Banyak sudah berubah dalam bolasepak Venezuela sama seperti berubahnya negara ini semenjak dipimpin oleh si sosialis Hugo Chavez. Kalau dulu Venezuela adalah anjing kapitalis Amerika Syarikat dan telenovela Mis 3 Hermanas kini mereka sekutu Iran dan Cuba serta pendukung sosialisme sedunia. Begitulah juga dalam bolasepak yang dulunya sukan kedua selepas besbol atau bola lisut, tetapi kini semakin popular terima kasih pada fahaman sosialisme yang merakyatkan bolasepak. Kejayaan mengikat Brazil 0-0 dalam perlawanan pertama adalah petanda bolasepak Venezuela makin bagus atau bolasepak Brazil makin bengap (Venezuela juga pernah menewaskan Brazil 2-0 pada 2008 dalam perlawanan persahabatan).

Pasukan ke-4 dalam Kumpulan B ialah Ecuador, satu diantara 3 negara CONMEBOL yang belum pernah menjuarai Copa America (selain Venezuela dan jangan terkejut, Chile!). Walaupun mempunyai Antonio Valencia dan mendapat sokongan padu peminat Manchester United sedunia, peluang Ecuador untuk ke peringkat suku akhir agak cerah setelah berjaya mengikat Paraguay 0-0 dalam perlawanan pertama. Selain dari Valencia, La Tri juga turut dibarisi dua pemain Barcelona yakni Maximo Banguera dan Geovanny Nazareno. Tapi bukan Barcelona kelab Catalan itu, ini Barcelona ciplak Ecuador mari.

Tilikan: 1. Brazil 2. Paraguay 3. Ecuador 4. Venezuela

Kumpulan C

Uruguay, Chile, Peru & Mexico


Kumpulan C bolehlah dikira sebagai kumpulan maut dalam saingan Copa America 2011 ini dan pasukan tangga ke-4 Piala Dunia 2010 yakni Uruguay perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan. Jurulatih Oscar Tabarez kekal sebagai pengendali La Celeste dengan brader otai Diego Forlan turut bersama serta diperkuatkan oleh Kop favourite Luis Suarez dan ayam tambatan Napoli, Edinson Cavani. Luis Suarez macam biasa tidak teragak-agak untuk menampan bola di garisan pintu gol sekiranya perlu (dasar Scouse bastard dan hubcaps stealer). Matlamat Uruguay pastinya mahu menjuarai Copa America 2011, kerana terikat bersama Argentina dengan masing-masing mempunyai 14 kejuaraan, edisi kali ini boleh menjadi penentu who will knock who off their fucking perch. Pergh!

Pasukan ke-2 Kumpulan C ialah tidak lain dan tidak bukan South America's perennial underachiever iaitu Chile atau La Roja. Jadah apanya mereka masih belum pernah menang Copa America hatta di zaman kegemilangan Dupla Aniquiladora di bawah kepimpinan Marcelo 'El Matador' Salas dan Ivan 'El Terrible' Zamorano adalah di luar pemahaman Sokernet sendiri. Dan Copa America 2011 ini juga tidak menjanjikan sebarang prospek cerah buat La Roja sekalipun bermain di San Juan dan Mendoza yang berdekatan dengan sempadan Chile-Argentina. Tempat ke-2 Kumpulan C adalah tidak mustahil asalkan Chile mampu menyaingi Mexico untuk merebut slot suku akhir automatik ini.

Peru atau La Blanquirroja merupakan pasukan ke-3 dalam Kumpulan C. Walaupun pernah bergelar juara Copa America sebanyak 2 kali (1939 dan 1975), pasukan bolasepak Peru pada hari ini bukanlah sehebat dulu dan mungkin penyertaan dalam Copa America 2011 ini sekadar melengkapkan jadual. Melainkan Anahi Gonzales atau Barbara Herrera sanggup berkorban sebagai patriot negara mereka seperti Larissa Riquelme sanggup berkorban untuk Paraguay. Kamon!

Melengkapkan Kumpulan C juga selaku sebagai pasukan jemputan ke-2 ialah Mexico. El Tricolor yang merupakan kebanggaan bangsa Aztec ini merupakan pasukan jemputan yang paling banyak menyertai Copa America, 8 kali termasuk edisi ini dan pernah bergelar naib juara sebanyak 2 kali dan menduduki tempat ke-3 sebanyak 3 kali. Oleh itu reputasi Mexico dalam Copa America tidak boleh dipandang rendah oleh mana-mana pasukan Amerika Selatan yang lain. Kehadiran Mexico sebagai jemputan dalam Copa America 2011 ibarat sekumpulan samseng Mara Salvatrucha terrorising your Buenos Aires neighbourhood. Biar pun Mexico hadir kali ini dengan skuad bawah 23 tahun (yang diperkuatkan oleh 5 pemain senior) dan tanpa Chicharito, kita harus ingat tenaga anak muda Mexico (tak percaya tengok filem Sin Nombre).

Tilikan: 1. Uruguay 2. Mexico 3. Chile 4. Peru

2 Pasukan Terbaik Tempat Ke-3

Di antara Bolivia, Ecuador dan Chile; dijangkakan Bolivia bakal layak ke suku akhir diikuti oleh Chile.

Jika ramalanku benar belaka, maka persaingan suku akhir bakal kelihatan sebegini rupa:

Argentina lawan Bolivia

Colombia lawan Mexico

Brazil lawan Chile

Uruguay lawan Paraguay

Tapi bagaimanapun, kita tunggu dan lihat hingga selesainya perlawanan peringkat kumpulan.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews