Harimau Malaya VS Singa Temasek - 11 Perkara



6-4?! Kah kah kah! Nasib baik Raja Gelek tak ada!


Aku baru balik dari outstation di Sandakan dan Tawau, jadi memang ulasan ini terpaksa dilewatkan. Tapi celaka apa mana pergi pengulas Sokernet lain? Sibuk menyiapkan tempahan kuih raya ke?

Sebab lewat, macam biasa aku bagi ulasan gaya Tun Dr M.

1) Kalau dulu aku pernah kata Malaysia lawan Indonesia macam England lawan Jerman, maka Malaysia lawan Singapura adalah seperti England lawan Scotland. Perseteruan antara dua saudara rapat, abang dan adik dan sebagainya. Singapura macam Scotland dengan mentaliti tidak mahu kalah kepada kita walaupun jauh lebih kecil. Kita pula macam England masih dengan mentaliti mahu tunjuk siapa 'big brother' (sama macam Indonesia yang selalu fikir mereka 'Abang Long' kepada kita). Bezanya cuma Scotland masih sebahagian dari United Kingdom of Great Britain tetapi Singapura bukan lagi sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Siapa punya kerja bangang ni?

2) Harimau Malaya kena ratah dengan Singa Temasek di Jalan Besar. Kita tak perlu salahkan padang tiruan, stadium kecil, pemain boroi dari China atau mamat pencen Yugoslavia. Harimau Malaya ada keupayaan menjaringkan gol tapi entah macam mana bab bolos gol pun sama hebatnya. Apa pun Sharbinee Allawee telah menghancurkan kepercayaan Rajagopal sama seperti Nasril Nourdin selepas dia bertindak seperti tunggul dalam 3 dari 5 gol jaringan Singa Temasek. Kembali kepada Apek!

3) Khairul Fahmi Che Mat memang mantap, apa makan Apek ni? Keupayaan beliau mengawal gawang memang patut mendapat pujian dari peminat bolasepak dan pujaan dari para gadis. Selepas cemerlang mengawal gawang Malaysia dan sekali lagi menjadi pujaan para gadis, Apek tenang memutuskan pertunangan dengan Jejari Runcing. Nora Danish dah boleh ambil nombor giliran.

4) Safee Sali memang Safee Sali, tak sia-sia Pelita Jaya beli dari Selangor. Mamat ini kalau dapat bola di kaki memang boleh bikin huru-hara, tak percaya tanya Liverpool. Tapi masalahnya Harimau Malaya terlalu berharap pada Safee Sali sebagai lone striker, yang lain semua hampeh. Dan corak taktikal kita ialah Apek tendang bola bagi Safee Sali, yang lain tidur.

5) Bila Malaysia main lone striker, Singapura pula boleh belasah twin strikers (dan kekadang corak serampang tiga mata). Qiu Li dan Aleksandar Duric senang-senang saja kucar-kacirkan pertahanan Malaysia. Bila 2 ekor Singa tua import ini dikekang, mereka ada Shi Jiayi yang muda sedikit dan lebih pantas. Barisan pertahanan kita yang muda belaka goncang dek kerana pengalaman singa-singa tua ini.

6) Aidil Zafuan. Rajagopal patut rujuk dengan Rita Rudaini tentang prestasi semasa Aidil Zafuan kerana hanya seorang isteri yang lebih arif tentang tegang atau kendurnya si suami. Akhirnya Aidil Zafuan keluar awal dan Muslim Ahmad yang pernah goyang di Jalan Besar terpaksa dimasukkan. Adakah Malaysia benar-benar ketandusan pemain pertahanan? Tidak. Kita ada Norhafiz Zamani. Ada sebab kenapa John Terry, Rio Ferdinand dan Jamie Carragher masih jadi tonggak pertahanan kelab masing-masing walau sudah berusia. Dalam bolasepak, pengalaman sahaja mampu memberikan +10 untuk pertahanan. Kalau Nando Torres sendiri goyang berdepan Norhafiz Zamani apatah lagi China perut boroir dan Yugoslavia pencen?

7) Aku perasan K Rajagopal ini dah makin banyak terikut pe'el Arsene Wenger. Nak anak harimau yang muda dan bergetah saja. Memang kita menang Piala AFF 2010 dengan anak-anak harimau ini tanpa dijangka tapi ada baiknya juga dalam perlawanan kelayakan sebegini kita selitkan barang 2 atau 3 ekor harimau veteran. Orang muda memang main laju tapi ada yang mudah gugup, berbeza dengan pemain veteran yang dah banyak makan rumput di padang bola. Kalau Harimau Malaya mahu bersaing di peringkat senior, kita perlukan beberapa ekor harimau veteran sebagai abang long. KL Gengster pun pakai abang long inikan pula Harimau Malaya?

8) Ball possession memang tak wujud dalam kamus bolasepak Malaysia agaknya. Penguasaan bola tu penting, pokoknya kalau bola di kaki pasukan kita pihak lawan tidak akan dapat berbuat apa-apa. Tapi itu hari Harimau Malaya pantang dapat bola mesti nak buat hantaran walaupun tidak ditekan lawan. Aku salahkan sekali lagi anak muda yang nak main laju dan mudah gugup.

9) Bab Singa Temasek berlakon cedera, banyak buang masa, tendang bola keluar padang dan sebagainya itu memang asam garam bolasepak di dunia sebelah sini. Ramai yang tak puas hati dengan drama swasta yang ditayangkan pemain Singapura dan aku akui memang agak keterlaluan. Tapi kita lupa agaknya setiap kali perlawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA, drama swasta yang sama juga kerap ditayangkan oleh pemain tempatan kita. Sama juga tahap gampang keterlaluannya. Macam aku katakan, asam garam bolasepak di dunia sebelah sini. Sebab itu bolasepak Asia Tenggara ini semuanya ke laut.

10) Satu-satunya benda positif dari perlawanan di Bukit Jalil tempoh hari ialah Stadium Nasional penuh sampaikan ada yang tak dapat masuk. Awek aku pun dengar cerita katanya terpaksa duduk atas meja nak tengok orang main bola. Kali terakhir situasi stadium penuh bila Malaysia main bola ini aku rasa berlaku masa Sukan SEA 1989 dulu, itu pun kat Stadium Merdeka. Lepas perlawanan itu Tun Dr Mahathir umum cuti keesokan harinya. Namun untuk perlawanan 28 Julai lepas di Bukit Jalil tidak ada pula cuti diumumkan. Mungkin sebab Tun Dr M tak datang tengok bola di stadium kot. Tapi bila menyentuh bab ulat tiket, tiket palsu atau tiket LRT tiba-tiba tak boleh pakai nak naik LRT, itu lumrah Malaysia kot. Bab itu FAM dan Rapid KL kena banyak muhasabah diri.

11) Sebenarnya semua situasi ini tidak akan berlaku kalau 9 Ogos 1965 dulu Tunku Abdul Rahman dan UMNO tak buat kerja bangang menendang Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia. Tanggal 28 Julai lepas di Bukit Jalil ramai yang pegang kad manila bertulis 3-0. Tapi mungkin segelintir saja yang ingat bahawa jaringan 126-0 di parlimen untuk menghalau Singapura 46 tahun dulu yang kita sangkakan sebagai kemenangan besar kita ke atas Singapura sebenarnya akan menjadi duri dalam daging kepada kita baik dari segi ekonomi, politik dan juga bolasepak. Ini namanya Ketuanan Melayu oleh UMNO? Pungkok!

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews