Nak bercerita pasal Copa America sekarang ini memang susah sikit. Ini kerana Malaysia sekarang sedang sibuk bersaing sengit dalam English Premier League, melawan 2 kelab Big 4 dan satu kelab bekas Big 4. Benda-benda macam kelayakan Piala Dunia atau Sukan Olimpik memang FAM letak tepi dulu. Cerita pasal Red Warriors menang Liga Super pun dah tak kedengaran langsung. Penangan EPL katakan.
Belum pun selesai saingan Harimau Malaya dengan kelab EPL dah bermacam kontroversi timbul. Pertama masa lawan Arsenal bila ada dakwaan mengatakan bahawa peminat Arsenal 'boo' Harimau Malaya. Kedua bila laki Rita Rudaini cedera dalam perlawanan tersebut. Kesetiaan rakyat Malaysia mula dipersoalkan, sama ada setia kepada Arsene Wenger atau Rajagobal? Ingat kita tidak boleh derhaka kepada Raja(gobal). FAM pula dipertikaikan kerana ghairah mahu berlawan dengan kelab EPL sampaikan laki Rita Rudaini tercedera. Sekarang nasib Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia dan kepuasan batin Rita Rudaini berada di hujung tanduk.
Tidak cukup dengan itu, semalam puluhan ribu peminat Liverpool dan seorang fanatik Manchester United turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Hasilnya beberapa video tersebar di Youtube hari ini mengenai penindasan hak memakai baju kesukaan dengan bebas.
Perangai penyokong Liverpool ini memang dah macam perangai kerajaan Barisan Nasional. Dua-dua nampaknya jenis suka haramkan pemakaian baju tertentu. Cuma beza antara Barisan Nasional dengan Liverpool ialah yang satu selalu menang pilihanraya umum sementara yang satu lagi tak pernah menang EPL.
Tapi kutu yang pakai baju Manchester United itu juga bangang. Terbawa sangat perangai 'not arrogant just better' yang selalu dilaungkan mereka barangkali. Bangang apa pakai jersi Manchester United pergi Bukit Jalil padahal bukan Manchester United yang turun pun? Nasib baik kat Bukit Jalil, kalau Anfield aku rasa boleh jadi peristiwa berdarah mungkin.
Pakai baju ikut suka hati memang hak masing-masing. Tapi tengok tempat dan keadaan. Macam kata seorang penulis di sebuah blog bolasepak yang tak sehebat Sokernet, "tak akan kau nak pakai baju 'I Love Israel' masuk masjid?". Dan bak kata lelaki tua penyokong Liverpool pula, "we all turn into savage children when it comes to football". Perangai penyokong Liverpool yang suruh buka baju memang nampak macam budak-budak tapi itulah bolasepak. Tang situ yang membezakan antara legitimasi penyokong Liverpool menghalang kebebasan memakai baju ikut suka dan kebodohan kerajaan Barisan Nasional nak haramkan baju warna kuning. Dalam politik tak boleh berperangai budak-budak macam dalam bolasepak.
Nasib kes ini berlaku atas nama kelab luar negara jadi ianya terhad sekadar dipaksa buka baju. Hari itu masa perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Likas, depan mata aku sendiri bukan setakat kena buka jersi Kelantan tapi siap kena taruh lagi. Nasib baik amalan penggal kepala dah lama diharamkan di Sabah ini.
Okay berbalik kepada Copa America, berikut tilikan Sokernet untuk perlawanan suku akhir nanti:
Colombia - Peru (Colombia)
Argentina - Uruguay (Argentina)
Brazil - Paraguay (Brazil)
Chile - Venezuela (Chile)
Itu sajalah rangkuman Copa America setakat ini. Celaka kelab EPL punya pasal lah ni!
No comments:
Post a Comment