Perginya Seorang Proletariat
Siapa yang dah lama baca Sokernet pastinya tahu tentang kelab sayap kiri, St Pauli dan juga pengurus 'punk' mereka, Holger Stanislawski.
Dukacita dimaklumkan, Stanislawski telah mengumumkan bahawa beliau bakal mengundurkan diri dari menjadi pengurus St Pauli selepas tamatnya musim Bundesliga 2010/11 ini.
Bercakap ketika ditemui di kedai Burger Rokes malam tadi, Stanislawski menjelaskan "bahawa selepas beberapa tahun yang mencabar bateri saya sudah kehabisan, kita perlukan perubahan dan masanya sudah tiba untuk membawa masuk muka baru".
Stanislawski yang berumur 41 tahun memulakan karier bersama St Pauli sebagai pemain pertahanan pada tahun 1993. Beliau kekal bermain untuk kelab kultus dari Hamburg ini sehingga 2004 dan kemudiannya terlibat dalam kejuruatihan sehinggalah diangkat menjadi pengurus kelab. Bersama St Pauli, Stanislawski membawa kelab ini dari bermain di liga bawahan Regionalliga Nord hinggalah ke persada Bundesliga. Di Jerman beliau terkenal sebagai pengurus yang hadir ke perlawanan dengan jaket atau sweater hooded dan berseluar jeans.
Untuk sebuah kelab sosialis, sayap kiri dan punk macam St Pauli, bajet yang mereka ada buat bermain dalam Bundesliga tidak sampai separuh dari bajet yang dimiliki oleh kedua kedua miskin dalam Bundesliga. Dan itulah halangan terbesar buat St Pauli dalam liga kelab elit macam Bundesliga. Sekarang ini mereka terperosok di tangga ke-2 tercorot Bundesliga, hanya 28 mata dari 29 perlawanan. Ya bolasepak zaman sekarang bukan lagi permainan rakyat macam dulu. St Pauli memang ada semangat, nombor 2 tercorot pun stadium masih 'sold out' setiap perlawanan tapi semangat saja tidak cukup. Bolasepak zaman sekarang juga perlukan pemain bintang dan 'sugar daddy' yang kaya-raya. Macam Chelsea yang ada Dubuk Albino dan Roman Abramovich.
Serentak dengan pengumuman pengunduran diri ini, St Pauli akan memencenkan jersi nombor 21 kelab sebagai tanda penghormatan kepada Holger Stanislawski yang menekankan bahawa misi utama beliau sekarang ialah memastikan St Pauli kekal dalam Bundesliga musim depan.
Dalam pada masa yang sama khabar angin tersebar di Jerman bahawa kelab kapitalis, 1899 Hoffenheim bercadang untuk mendapatkan khidmat Stanislawski untuk musim depan.
Dari kelab sosialis ke kapitalis, tidak mustahil selepas ini Stanislawksi akan pakai tali leher dan blazer pula!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment