Footie Friday: Setan Merah Di Seberang Laut Nampak, Sultan Bola Di Depan Mata Tidak - Ramli TM & Dilema Bolasepak Malaysia




Angan Mat Jenin

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan fenomena iklan Ramli TM, kisah seorang anak muda Malaysia yang mencipta nama sebagai pemain bolasepak di Manchester United. Tentang bagaimana Ramli yang ketika kecil berjaya skor gol diherdik bapanya kerana tidak skor banyak A dalam peperiksaan seperti anak jiran sebelah, tetapi akhirnya muncul sebagai pemain bolasepak profesional Manchester United bila dewasa, mencetus rasa bangga di kalangan rakyat Malaysia dan bapanya sendiri.

Fenomena Ramli TM muncul di waktu peminat bolasepak Malaysia sendiri dibuai angan-angan mahu melihat pemain tempatan beraksi di England. Pada masa yang sama juga kita sedang kecoh tentang bagaimana adanya rakyat Malaysia yang membeli kelab bolasepak di England atau bagaimana syarikat konglomerat Malaysia menjadi penaja kelab bolasepak di England.

Tidak ada salahnya, kalau TM mahu berfantasi tentang Ramli yang bermain di Manchester United, atau Tony Fernandes melabur duit poket sendiri membeli Queens Park Rangers, Genting jadi penaja jersi Aston Villa, Vincent Tan jadi pemilik Cardiff City dan Mister Potato bersekutu dengan Manchester United. Ini semua pilihan peribadi dan dibuat atas timbang rasa perniagaan. Tidak ada sebab Mister Potato, yang kilangnya di Melaka mahu jadi penaja untuk pasukan bolasepak Melaka yang hidup segan mati tak mahu.

Jadi bila TM keluar duit buat iklan Ramli ke Manchester United, kita tidak boleh salahkan TM. Tidak lama dulu TM sudah keluarkan jutaan ringgit menaja liga bolasepak tempatan yang majoriti rakyat Malaysia tidak ambil peduli. Adalah lebih bijak dan waras dari segi perniagaan untuk TM buat iklan syok sendiri yang membuai angan-angan Mat Jenin rakyat Malaysia, walaupun impak positif iklan ini kepada bolasepak Malaysia langsung tidak ada jika dibandingkan dengan penajaan liga tempatan oleh TM dulu.

Yang bersalah rata-rata ialah rakyat Malaysia sendiri. Kita kuat sangat berangan dan mudah berada di awangan. Baru saja Malaysia bergelar juara bolasepak Sukan SEA dan Piala AFF kita sudah berfikir yang bukan-bukan. Kecoh bercakap tentang si polan ke Jerman, si anu ke England. Tentang kononnya berpuluh kelab bolasepak Eropah kini mengintip pemain Malaysia. Tidak cukup dengan itu, kita tumpang bangga bila ada orang-orang kaya di kalangan kita melabur duit membeli kelab bolasepak luar negara. Dan tanpa segan silu, kita meroyan mahukan orang-orang kaya ini membawa pemain tempatan kita bermain untuk kelab mereka. Semua atas dasar kredit dan bukan merit.

Bolasepak Malaysia memang dah lama sakit, bermula dari tingkat atas Wisma FAM merebak sampai ke akar umbi. Rupa-rupanya peminat bolasepak Malaysia juga tak ketinggalan sakit. Sakit yang mula-mula disangkakan sekadar memenuhkan restoran mamak setiap malam minggu demi bolasepak orang lain, tetapi rupanya jauh lebih teruk dari itu. Kita sekarang sedang sakit jiwa. Sakit jiwa mahukan pemain tempatan kita yang tidak sehebat mana bermain bolasepak orang lain, sakit jiwa mahukan orang-orang kaya di kalangan kita terus melabur duit majukan kelab bolasepak orang lain bukannya kelab bolasepak kita sendiri (apa nak buat, bukannya kita benar-benar ada kelab bolasepak yang sejati pun).

Jadi juara Sukan SEA atau Piala AFF layaknya adalah sekadar juara kampung, Juara di kalangan negara Asia Tenggara yang bolasepak mereka sendiri pun hanya taraf melukut tepi gantang di benua Asia (baru Asia, belum taraf seantero dunia ya!). Ya pemain macam Safee Sali hebat tetapi hanya di Asia Tenggara, bukan hebat di Asia. Dan keghairahan kita mahukan pemain macam Safee Sali serta ramai lagi bermain di Eropah untuk apa? Adakah kita berfikir dengan cara ini bolasepak kita boleh maju?

Kita kena muhasabah diri. Kurangkan angan-angan Mat Jenin tentang munculnya anak muda seperti Ramli, yang entah datang dari mana (turun dari langit agaknya) dan bermain di Manchester United. Dalam senario bolasepak Malaysia seperti sekarang menunggu lahirnya insan seperti Ramli ialah seperti menunggu kucing bertanduk. Tak ada gunanya berangan tentang anak muda Malaysia bermain bola di padang yang lebih hijau di sebarang laut kalau di padang bola kita sendiri kita gagal hendak mengubahnya.

Tanya diri sendiri, agak-agak 20 tahun dulu tauke-tauke Mitsubishi, Nissan, Toyota atau Yamaha menghabiskan duit mereka untuk kelab bolasepak England atau kelab bolasepak kilang masing-masing?

Tanya diri sendiri, agak-agak 20 tahun dulu pernahkah Samsung atau LG menghabiskan duit buat iklan tentang anak muda bernama Park yang bermain untuk kelab bolasepak di Eropah?

Tanya diri sendiri, agak-agak 20 tahun adakah peminat bolasepak Jepun atau Korea sibuk berangan dan berkempen mahu menghantar pemain bolasepak mereka yang ketika itu tidaklah sehebat mana pun ke Eropah?

Habis apa agaknya yang Jepun dan Korea buat 20 tahun dulu, sebelum hari ini mereka boleh berbangga mempunyai ramai anak muda mereka bertaburan di kelab-kelab Eropah sana?

Dari sini kita kena sedar satu perkara asas. Bolasepak sebuah negara bukan dimajukan dengan menghantar satu atau dua pemain bermain di liga bolasepak negara lain yang lebih maju. Ia juga tidak dimajukan dengan mempunyai rakyat tempatan yang kaya-raya dan membeli kelab bolasepak luar. Jauh sekali ia dapat dimajukan dengan mempunyai syarikat seperti TM, Mister Potato, Genting atau Tune jadi penaja liga bolasepak negara lain.

Kita kena ikut resam bolasepak negara seperti Jepun dan Korea, atau Australia dan Amerika Syarikat. Mereka ini semua 20 tahun dulu mempunyai liga bolasepak yang hidup segan mati tak mahu. Tetapi atas kesedaran sendiri mereka rombak liga mereka, tubuhkan kelab bolasepak yang benar-benar kelab bolasepak sejati dan mulakan program pembangunan akar umbi secara menyeluruh. Hasilnya hari ini, biarpun bukan bertaraf kuasa bolasepak dunia, tetapi 4 negara ini adalah peserta tetap Piala Dunia.

Janganlah kita jadi Mat Jenin, apa pun tiada tapi angannya lebih. Jangan juga kita jadi rabun dekat, bola seberang laut kita nampak tapi apa yang di depan mata kita butakan begitu saja.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews