Football Friday: Jatuhnya SPL








Malam tadi sambil bersahur, aku sempat layan satu perlawanan 'playoff' Europa League, sebuah kejohanan bolasepak Eropah berprestij yang bukan mudah untuk disertai kelab picisan seperti Liverpool sebagai contoh.



Perlawanan malam tadi merupakan antara kelab Scotland, Heart of Midlothian lawan Tottenham Hotspur yang pastinya dikenali ramai. Aku kira ini perlawanan yang menarik kerana dalam bolasepak apabila sebuah kelab Scotland bertemu kelab England ianya adalah 'Battle of Britain', sama hebat dari segi keamatan bila pasukan Scotland bertemu England sendiri. Semangat nasionalisme, maruah bangsa, jiwa Braveheart dan hegemoni Anglo bakal dibawa ke dalam perlawanan sebegini. Kecuali bila Liverpool bertemu Celtic atau Chelsea bertemu Rangers suasananya lebih aman dan berbentuk persahabatan.



Hearts selaku kelab Scotland yang berdepan dengan Spurs membawa harapan serta maruah bukan saja penyokong kelab itu sendiri tetapi seluruh rakyat Scotland. Tapi hanya 5 minit diperlukan untuk Rafael van der Vaart merobek gawang Hearts, 13 minit kemudiannya giliran Jermaine Defoe pula menjaringkan gol, sebelum Jake Livermore menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-28. Separuh masa kedua, Gareth Bale pula membolosi gawang Hearts pada minit ke-63, diikuti Aaron Lennon pada minit ke-78 untuk melengkapkan sakit hati para peminat Hearts dan rakyat Scotland. Perlawanan timbal balik di White Hart Lane pada 25 Ogos nanti tidak lebih dari sekadar melengkapkan jadual nampaknya.



Ditibai 5-0 oleh Spurs menunjukkan dengan jelas betapa jurang perbezaan yang ketara antara Hearts dan Spurs. Walaupun hakikat sebenarnya Hearts menduduki tangga ke-3 SPL musim lepas sedangkan Spurs berada di posisi ke-5 EPL. Dan mengambil kira bahawa kedua-dua negara merupakan sebahagian Untied Kingdom, berkongsi budaya serta gaya bolasepak yang hampir sama.



Ada lagi dua kelab Scotland yang turut bermain malam tadi dalam perlawanan 'playoff' Europa League. Kelab Old Firm, Celtic berdepan FC Sion dari Switzerland dan hanya seri 0-0 sementara Rangers tewas kepada NK Maribor dari Slovenia 2-1. Dan Rangers serta Celtic adalah juara dan naib juara SPL musim lepas.



Mungkin akan ada yang berkata, apa nak dihairankan. KF Skenderbeu Korce mungkin juara liga bolasepak Albania tapi belum tentu lagi mampu menewaskan West Ham United yang kena relegasi dari EPL musim lepas.



Tapi siapa-siapa yang arif tentang bolasepak Scotland dan SPL pasti tahu bahawa lebih 20 tahun dulu, mana-mana kelab SPL boleh dikatakan hampir setaraf dengan kelab EPL. Celtic adalah juara European Cup (kini Champions League) tahun 1967, skuad yang diberi jolokan Lisbon Lions ini menjadi kelab British pertama menjuarai kejohanan peringkat Eropah. Rangers pula menjuarai UEFA Cup Winners' Cup tahun 1972. Aberdeen FC pula menjulang UEFA Cup Winners' Cup tahun 1983 di bawah kendalian Alex Ferguson.



Kekuatan kelab Scotland ketika itu banyak berpunca dari senario bolasepak semasa. Penggunaan pemain import masih terhad dan punca pendapatan utama setiap kelab bolasepak adalah dari jualan tiket di stadium. Kelab-kelab Scotland mampu bersaing di persada Eropah dengan hanya berbekalkan bakat tempatan Scotland (pemain skuad Lisbon Lions milik Celtic pada European Cup 1967 semuanya lahir dalam radius 30 batu dari pusat bandar Glasgow). Sementara itu sumber pendapatan dari jualan tiket khususnya di Celtic Park dan Ibrox milik Rangers setanding kutipan jualan tiket kelab England, Itali, Jerman atau Sepanyol. Malahan pada satu masa, stadium terbesar Britain letaknya di Glasgow, bukan London, Manchester atau Liverpool.



Lisbon Lions - Mungkin hanya tinggal sejarah



Tetapi apabila bolasepak Eropah melalui revolusi dikomersialkan pada penghujung dekad 1980-an, segalanya berubah. Hak penyiaran televisyen menjadi sumber pendapatan utama kelab dan bukan lagi jualan tiket. EPL, Bundesliga, Serie A dan La Liga menjual hak penyiaran kepada stesen TV dan hasil jualan ini dibahagikan antara kelab-kelab di dalam liga. Pendapatan lumayan ini kemudiannya digunakan pula oleh kelab-kelab tersebut untuk mengimport pemain dari luar. EPL sebagai contoh bermula pada tahun 1992 dengan hanya 11 pemain 'asing' (luar United Kingdom dan Republik Ireland) di atas padang. Hari ini pemain England sendiri adalah minoriti di dalam EPL jika dibandingkan dengan pemain bukan England.



Scotland meniru perubahan yang dilakukan di England pada tahun 1998 dengan mengubah First Division menjadi Scottish Premier League (SPL). Tetapi di mana EPL mempunyai sejumlah 20 kelab di dalam liga, SPL pula hanya mempunyai 12 kelab. Hak penyiaran SPL dijual sama seperti EPL menjual hak penyiaran, tetapi di mana EPL boleh saja merunding perjanjian 3 ke 4 musim bernilai bilion dalam GBP, SPL dikira bertuah jika dapat memeterai perjanjian hak penyiaran bernilai sekitar GBP100 juta. Malahan hak penaja juga menunjukkan jurang yang ketara, Barclays menaja EPL untuk 3 musim dengan nilai GBP82.25 sedangkan Clydesdale Bank menaja SPL dengan nilai hanya GBP8 juta untuk 4 musim.



Jurang pendapatan yang ketara ini membuatkan kelab bolasepak Scotland ketinggalan dari sumber kewangan berbanding kelab England atau Eropah yang lain. Tidak kiralah jika Celtic Park itu jauh lebih besar dari Anfield atau Ibrox sentiasa penuh berbanding Stamford Bridge, tetapi berapa sangatlah kutipan jualan tiket boleh membantu merapatkan jurang pendapatan?



Maka, ketika musim panas 2011 kelab seperti Hearts sebagai contoh hanya mampu mendapatkan pemain secara percuma dari kelab lain sedangkan Spurs telah berbelanja GBP1.3 juta untuk Souleymane Coulibaly bagi menguatkan skuad mereka yang sudah pun bernilai ratusan juta GBP. Atau bandingkan antara Rangers dan Manchester United, kedua-duanya juara liga masing-masing musim lepas. Rangers cuma mampu berbelanja tidak sampai GBP5 juta sedangkan Manchester United memborong Phil Jones, David de Gea serta Ashley Young. Jika ditemukan Rangers dan Manchester United kita sudah tahu siapa pilihan untuk menang mudah.



Situasi seperti ini telah melemahkan kelab Scotland dan SPL sendiri. Lebih teruk lagi ialah monopoli kelab Old Firm, merujuk kepada Rangers dan Celtic. Semenjak bermulanya era SPL hanya Rangers (7 kali) dan Celtic (6) sahaja yang pernah bergelar juara. Malahan jika dikira sejarah keseluruhan liga bolasepak Scotland, Rangers telah bergelar juara sebanyak 54 kali sedang Celtic pula 42 kali. Hanya sebanyak 19 kali sahaja kejuaraan liga Scotland pernah dijuarai oleh kelab selain Old Firm.



Old Firm Derby



Monopoli berterusan ini bermakna kelab Old Firm terus bertambah kuat sementara 10 kelab lain dalam SPL langsung tidak mampu menyaingi Rangers dan Celtic. Namun begitu monopoli Rangers dan Celltic ini ibarat dua ikan paling besar dalam sebuah kolam kecil. Bila masuk ke dalam laut dua ekor ikan ini akan jadi korban ikan di laut yang lebih besar (laut di sini adalah perumpamaan untuk Eropah).



Jadi apakah jalan penyelesaian ke atas dilema kemerosotan SPL ini?



Salah satu idea yang pernah diutarakan ialah untuk membawa masuk Rangers dan Celtic ke dalam EPL. Tetapi ia ditolak keras oleh FA England dan FIFA sendiri. Malahan langkah ini lebih kepada menguntungkan Rangers dan Celtic, bukannya bolasepak Scotland, yang akan mengaut pendapatan besar bermain dalam EPL. Malahan SPL sendiri akan terkubur tanpa kehadiran kelab Old Firm (bermain melawan Rangers atau Celtic adalah sumber pendapatan lumayan buat kelab kecil seperti St. Mirren atau Inverness CT).



Idea kedua yang dibangkitkan ialah menubuhkan apa yang digelar Atlantic League, sebuah liga bolasepak antara negara-negara pesisiran Lautan Atlantik. Idea ini muncul dari Belanda yang liga Eredivisie-nya juga berdepan dengan kemerosotan (tetapi tidak seteruk SPL). Sekali lagi ianya menerima tentangan keras dari UEFA dan FIFA kerana melanggar tradisi asas bolasepak di mana setiap negara mempunyai liga bolasepak sendiri.



Kedua-dua idea di atas agak keterlaluan untuk dipratikkan serta mengundang banyak komplikasi. Maka oleh itu tidak ada pilihan lain buat SPL melainkan terus beroperasi dengan modus operandi sedia ada. Bergantung penuh kepada jualan tiket dan terpaksa berpuas hati dengan tajaan serta bayaran hak penyiaran yang kecil berbanding liga-liga Eropah lain khususnya jiran mereka sendiri, England.



Kes kemerosotan SPL ini adalah contoh klasik bagaimana kapitalisme membunuh bolasepak dan kelab.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews