Piala Asia 2011
Wakil Sokernet ke Piala Asia 2011, Pipiyapong khabarnya telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar. Harapan Sokernet beliau tabah menempuhi cabaran hidup di padang pasir. Panas tu memanglah, tapi nanti di Padang Mahsyar lagi panas sebenarnya.
Piala Asia 2011 akan bersepak mula malam ini dengan tuan rumah, Qatar bertemu jaguh Asia Tengah, Uzbekistan. Debaran Qatar menanti kunjungan Uzbekistan adalah ibarat debaran tentera Arab menantikan kunjungan tentera Empayar Timur beribu tahun dulu. Timur dan tentera Asia Tengahnya menakluki Baghdad, membunuh 20,000 umat Islam. Ya lama dulu lagi umat Islam sudah berperang antara satu sama lain dan berbunuhan.
Jika ribuan tahun dulu Arab tewas di tangan Timur, Qatar hari ini pasti berharap situasi yang sebaliknya. Tiga mata adalah penting untuk tuan rumah yang ranking FIFA-nya tidaklah seberapa. Tetapi Qatar FA telah menetapkan sasaran juara untuk skuad mereka biarpun Qatar bukanlah pasukan pilihan.
Qatar
Selain dari misi kejuaraan Piala Asia, Qatar juga mempunyai misi yang lain. Piala Asia 2011 adalah kayu pengukur keupayaan negara Arab kecil ini dalam menganjurkan Piala Dunia yang akan menjelang tiba 11 tahun lagi.
Qatar sebelum ini telah pun menganjurkan Sukan Asia 2006 dan menerima reaksi positif kebanyakannya dari penganjuran tersebut. Kali ini mereka bakal membuktikan keupayaan menganjurkan kejohanan bolasepak dan Piala Asia 2011 adalah pentas terbaik untuk menguji keupayaan mereka.
Lantas Piala Asia 2011 ibarat serampang dua mata buat Qatar. Satu membuktikan kekuatan bolasepak mereka untuk bergelar juara Asia atau paling tidak memberikan cabaran yang terbaik. Kedua ialah membuktikan keupayaan Qatar untuk menganjurkan satu kejohanan bolasepak 16 negara yakni Piala Asia dan meyakinkan dunia mereka mampu pula menganjurkan Piala Dunia yang melibatkan 32 negara dalam tempoh 11 tahun lagi.
Australia
Negara kanggaru yang merupakan ahli gabungan terbaru AFC akhirnya telah diberi penghormatan selaku tuan rumah Piala Asia 2015. Bukan masalah besar buat sebuah negara besar dan maju seperti Australia. Paling tidak, ia mengubati luka Australia yang tewas kepada Qatar dalam perebutan hak penganjuran Piala Dunia 2022.
Masih ramai yang sebenarnya tidak bersetuju dengan kemasukan Australia ke dalam AFC. Di Malaysia kemasukan Australia ke dalam AFC akhirnya membawa kepada satu susuk bernama Ben William. Ben William ini sudah mencapai tahap kehinaan yang sama dengan Paul Keating di Malaysia.
Tetapi kemasukan Australia juga sebenarnya dapat memberi kesan positif buat bolasepak Asia. Reputasi bolasepak Asia kini dipandang lebih tinggi dengan adanya Australia yang merupakan antara negara sukan terulung dunia. Dan kuasa-kuasa bolasepak Asia yang lain kini mempunyai pencabar baru yang perlu mereka tangani. Arab Saudi, Jepun dan Kore Selatan tidak lagi boleh bersenang-lenang.
Tidak apa Australia berada dalam AFC dan bermain dalam Piala Asia. Jangan dia masuk AFF atau ASEAN dan bermain dalam Piala AFF Suzuki atau Sukan SEA sudah. Memang habis negara ASEAN semua gigit jari.
Harimau Malaya
Okay, bila lagi Harimau Malaya nak main dalam Piala Asia? Tunggu harimau bertanduk?
Kali pertama Harimau Malaya bermain dalam Piala Asia ialah pada edisi 1976 di Iran. Kita berada dalam Kumpulan A bersama Kuwait dan China. Tewas 0-2 kepada Kuwait dan seri 1-1 dengan China memaksa Mokhtar Dahari dan rakan-rakan pulang awal. Iran muncul juara Piala Asia 1976.
Kali kedua ialah pada edisi 1980 di Kuwait. Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Kita seri 1-1 dengan Korea Selatan, kalah 1-3 di tangan Kuwait, menang 2-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu dan seri 1-1 dengan Qatar. Menduduki tangga ke-3 Kumpulan B, Harimau Malaya pulang awal lagi. Kuwait muncul juara Piala Asia 1980.
Kali ketiga Harimau Malaya ke Piala Asia ialah selaku tuan rumah bersama. Ini ialah pada edisi 2007 di mana bolasepak kita bukan lagi sehebat dulu. Berada dalam Kumpulan C bersama China, Uzbekistan dan Iran, ianya adalah satu bencana. Kita dilauk China 1-5, dilauk Uzbekistan 0-5 dan kalah kepada Iran 0-2 yang pada masa itu sudah pun layak dan tidak lagi berminat menjadikan Harimau Malaya lauk penganut Syiah. Iraq muncul juara Piala Asia 2007, negara yang berperang setiap hari tidak macam Malaysia.
Selepas pertandingan tersebut, Sultan Bola masih maintain jadi Presiden FAM hingga ke hari ini.
Allahuakbar!
Macam biasa dalam bolasepak, setiap kali kejohanan maka pada masa yang sama pemimpin-pemimpin bolasepak berhimpun untuk percaturan politik bolasepak. Kesemua wakil 45 negara gabungan dalam AFC telah berhimpun semalam dalam pengundian jawatan Timbalan Presiden FIFA dari benua Asia.
Pemegang jawatan, Chung Mung-joon dari Korea Selatan hanya meraih 20 undi dan akhirnya disingkirkan oleh Putera Ali al-Hussein dari Jordan yang meraih 25 undi. Harapan Chung Mung-joon untuk mencabar Sepp Blatter dalam pemilihan FIFA bulan Jun nanti juga terkubur dengan penyingkiran ini. Kekalahan ini juga satu lagi tamparan buat Korea Selatan, yang sebelum ini tewas kepada Qatar dalam pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2022.
Kejayaan Putera Ali pastinya kerana dibantu oleh sokongan sebulat suara negara-negara Arab. Kemenangan Putera Ali semalam disambut dengan laungan takbir Allahuakbar. Bolasepak Asia kini di-Islamkan dan ahli PAS semuanya sujud syukur. Tidak ada lagi pengaruh Wonder Girls dalam bolasepak Asia.
Sepp Blatter yang memegang jawatan Presiden FIFA turut hadir di Doha untuk meraih sokongan sebagai persediaan pemilihan FIFA bulan Jun nanti. Beliau bagaimanapun dilaporkan tidak terlibat sama dalam aktiviti laungan takbir.
No comments:
Post a Comment