Astro Tabur Duit 2: Apa Yang Kita Tidak Mahu Terjadi




Walauweh!

Semalam aku sudah memperkatakan tentang tajaan lumayan Astro dalam Liga M. Sejumlah RM220 juta atau lebih bakal dihulurkan kepada FAM selama 4 musim. Mengikut kata FAM, mereka berharap dengan adanya peruntukan sebesar ini usaha untuk menjadikan Liga M sebagai liga bolasepak terbaik di Asia bakal menjadi kenyataan.

Aku tidak ada halangan pun dengan tajaan Astro ini. Kapitalis? Ya memang benar. Bolasepak adalah sukan, hiburan dan juga perniagaan. Astro tidak akan melabur wang begitu banyak jika mereka tidak merasakan bahawa pelaburan mereka boleh menjana keuntungan semula. Disebabkan mereka melihat adanya keuntunganlah maka Astro berani menawarkan tajaan lumayan seperti itu (pembida yang lain, khabarnya TM hanya menawarkan tajaan bernilai RM10 juta setahun).

Ada dari kita yang bercakap bolasepak Malaysia bakal dikomersialkan dan tidak lagi jadi liga bolasepak rakyat marhaen. Tetapi jika FAM mahu menjadikan Liga M yang terbaik di Asia maka kita perlu komersialisasi bolasepak kita. Kita perlu wang untuk jadikan Liga M terbaik di Asia. EPL benar-benar buat duit kerana menjual hak penyiaran dan langkah itu menjadi ikutan liga bolasepak lain di Eropah.

Tetapi nilai wang adalah subjektif. Contohnya kalau hari ini kerajaan umum mahu beri setiap nelayan RM500 sebulan selama 4 tahun itu tidak menjamin kemiskinan di kalangan nelayan dapat dibasmi dalam tempoh 4 tahun. Khususnya kalau RM500 itu dibelanjakan untuk lepak tepi pantai main dam dua tiga papan. Namun sebaliknya jika RM500 itu digunakan untuk meningkatkan produktivi dan hasil tangkapan, tidak mustahil ada nelayan yang tidak lagi memerlukan bantuan RM500 sebulan dan boleh berdikari sendiri dalam tempoh kurang dari 4 tahun.

Makanya, bagaimana FAM membelanjakan RM220 juta itu yang akan menentukan sama ada Liga M boleh jadi terbaik di Asia dan Lisa Surihani boleh bermain tendangan penalti dengan Khairul Fahmi sambil lucut pakaian.

Satu masa dulu di zaman Malaysia bermain bolasepak sebenar, Liga M kita sangat popular dan mewah. Jumlah penonton yang datang ke stadium tidak boleh dikira dengan jari tangan atau kaki. Dan liga bolasepak kita sangat mewah sehingga pasukan negeri boleh pergi ke Eropah untuk perlawanan pemanas badan dan setiap pemain mampu memiliki sebuah Honda Civic ‘mayat’ denganduit bermain bola.

Sumber kemewahan bolasepak kita pada waktu itu selain kerana kepadatan penonton di stadium adalah kerana wang tajaan yang dihulurkan oleh Dunhill. Khabarnya sebanyak RM33 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun lamanya, membawa kepada jumlah penuh RM330 juta!

Dengan tajaan RM330 juta yang dihulurkan dulu semestinya setiap pasukan negeri ada akaun kewangan yang kukuh sehingga ke hari ini. Semua pemain sepatutnya dapat makan gaji dengan aman, caruman KWSP dibayar setiap bulan dan jika dulu Honda Civic ‘mayat’ menjadi pilihan pemain kini ianya bertukar kepada Honda Civic Type R. Dan setiap pasukan negeri ada akademi bolasepak masing-masing. Tapi realitinya tidak. Jangankan akademi bolasepak, laman sesawang pun tak berapa nak ada!

Ke mana perginya RM330 juta duit Dunhill dulu? Salah, bukan ke laut. Ke poket entah siapa-siapa.

Sekarang kita bercakap tentang RM220 juta untuk tempoh 4 tahun pula. Dan duit Astro ini kalau tidak diguna dengan betul jawabnya sama macam duit Dunhill dulu.

Dan kalau dilihat pada struktur bolasepak Malaysia yang unik, risiko itu memang ada.

Aku pernah menekankan dulu bahawa struktur liga bolasepak kita perlu dirombak. Perlu banyakkan kelab bolasepak dan mansuhkan penyertaan pasukan negeri dalam liga. Sebabnya adalah mudah, kalau kita ada banyak kelab bolasepak lebih banyak peluang untuk mencungkil bakat bolasepak baru. Dan kenapa pula perlu dimansuhkan pasukan negeri dalam liga? Kerana selagi ada pasukan negeri dalam liga selagi itulah pasukan kelab tidak dapat hidup kerana ketandusan penyokong. Kalau satu Kelantan sokong Kelantan FA siapa yang nak sokong Kota Bharu United, Tumpat FC atau Gua Musang Pontianaks?

Tapi itu baru satu sebab kenapa pasukan negeri perlu dimansuhkan dari bermain dalam liga bolasepak tempatan. Sebab yang kedua pula ialah kerana pasukan negeri ini parasit. Penghisap darah. Yang banyak mensia-siakan RM330 juta duit Dunhill dulu ialah suku-sakat pasukan negeri ini.

Ini bukan aku meroyan seorang tak tentu pasal. Ini benda yang betul, bukan dongeng. Malahan FAM sendiri pun pernah mengakui kekecewaan mereka dengan sikap pasukan negeri. Sayang macam mana pun aku kepada pasukan Perak dalam Liga Super aku tetap masih rela ia dimansuhkan jika ianya boleh membawa kebaikan kepada bolasepak Malaysia.

Apa masalah dengan pasukan negeri? Jawapannya senang, pasukan negeri yang ada sekarang semuanya di bawah kendalian FA negeri masing-masing.

Apa salahnya kalau FA negeri ada pasukan sendiri dalam Liga M? Salah kerana Boca Juniors, Liverpool, Bayern Munich, Urawa Reds dan Persija Jakarta yang bermain di liga negara lain itu semua bukannya pasukan milik FA. Mereka adalah kelab bolasepak. Malaysia mungkin satu-satunya negara di dunia yang mempunyai liga bolasepak yang disertai oleh pasukan negeri mewakili FA negeri masing-masing.

Parasit FA negeri inilah yang sebenarnya menelan sejumlah besar RM330 juta sumbangan Dunhill dulu. Mereka dapat duit peruntukan dan ianya digunakan untuk menanggung kos pasukan negeri masing-masing. Oleh kerana ianya sebuah pasukan bolasepak milik persatuan, tidak ada seekor pun kakitangan yang terfikir hendak mencari sumber kewangan yang lain. Semua hanya tahu nak perabih duit yang ada.

Dan situasi ini diburukkan lagi dengan hakikat setiap FA negeri ini dipenuhi dengan orang politik. Malah sehingga ke hari ini kita melihat senario yang serupa.

Tidak ada salahnya orang politik terlibat dalam sukan asalkan tujuan mereka untuk membantu membangunkan sukan tersebut dengan pengaruh dan kepimpinan politik yang ada pada diri mereka. Yang salah ialah apabila orang politik ini menggunakan sukan untuk tujuan kepentingan politik masing-masing.

Di Malaysia, oleh kerana liga bolasepak kita melibatkan penyertaan pasukan negeri ianya sekaligus menjadikan bolasepak sebagai sukan pilihan ramai ahli politik untuk disalahgunakan. Kenapa? Kalau pasukan negeri kamu menang Piala Malaysia dan kamu pula presiden atau pengerusi FA negeri itu, bukankah itu akan meningkatkan populariti politik kamu?

RM330 juta yang ada dulu habis begitu saja kerana setiap pemimpin politik yang menerajui FA negeri masing-masing berbelanja besar untuk menguatkan pasukan negeri. Jika pasukan negeri muncul juara liga atau Piala Malaysia, tokoh politik tersebut boleh tumpang glamer. Contoh paling ketara, kegilaan berbelanja besar Pahang FA satu masa dulu dalam dekad 1990-an untuk menjuarai Piala Malaysia. Sekarang apa cerita Pahang FA? Tanya Pipiyapong.

Aku tidak akan bercerita soal rasuah atau songlap duit. Itu kita sendiri mahu ingat. Apabila populariti liga bolasepak tempatan mula merosot dan Dunhill menghentikan penajaan (kerana undang-undang kerajaan yang menghalang syarikat rokok dari menjadi penaja sukan), semua FA negeri yang ada kehilangan sumber kewangan mudah. Kemudian timbul isu pemain tidak dibayar gaji serta caruman KWSP yang mewarnai bolasepak tempatan.

FAM yang sebenarnya makan hati dengan FA negeri. Bila Harimau Malaya bermain macam Kucing Malaya dulu semua pihak menuding jari pada FAM tapi yang sebenarnya FA negeri juga bersalah. Grassroot development, atau pembangunan akar umbi sepatutnya bermula dari FA negeri. Tapi aku nak tanya berapa kerat FA negeri yang ada menganjurkan liga bolasepak negeri atau membuka akademi bolasepak di peringkat negeri secara berkesan? Jawab.

Kalau ada pun, hangat-hangat tahi ayam. Sampai ke hari ini semua FA negeri lebih sibuk menguruskan pasukan negeri masing-masing. Duit Dunhill dulu semua labur ke pasukan negeri, sekarang pun fesyen yang sama. Kalau tak cukup duit, presiden dan pengerusi FA negeri yang lazimnya Menteri Besar negeri tersebut akan suruh anak syarikat kerajaan negeri jadi penaja, cetak nama syarikat di jersi. Duit rakyat pula yang ke laut.

Sebab itu bolasepak Malaysia juga ke laut. Apa fungsi FA negeri? Adakah Kedah FA itu kerjanya nak jaga 25 pemain skuad Liga Super negeri Kedah atau membangunkan bolasepak negeri Kedah? Yang mana satu lagi penting bagi Kedah FA?

Aku bagi contoh mudah. Manchester FA yang letaknya di Manchester, England. Mereka tidak menghantar pasukan bermain dalam EPL. Kelab seperti Manchester United dan City juga bukan milik mereka. Jadi apa kerja Manchester FA? Buat akademi, buat program, buat klinik dan buat bengkel bolasepak. Untuk pemain dan juga untuk pengadil. Anjur dan uruskan liga di dalam kawasan Manchester. Menjadi persatuan yang bertanggungjawab untuk semua hal ehwal bolasepak dalam Manchester. Ya Manchester FA juga ada pasukan bolasepak mereka tetapi hanya bertaraf amatur, sekadar untuk suka-suka bermain dengan FA lain di England seperti Liverpool FA atau Birmingham FA.

Itu formula yang sebenarnya. Kalaulah semua FA negeri di Malaysia buat perkara yang serupa. Kalaulah.

Aku sebut tadi FAM sebenarnya makan hati dengan FA negeri. Manakan tidak, RM330 juta yang Dunhill hulur dulu FAM terpaksa kongsi dengan FA negeri. Harapkan hati FA negeri guna untuk bangunkan bolasepak negeri masing-masing tapi lain jadinya. Duit yang ada digunakan untuk beli pemain supaya pasukan negeri menjadi yang terkuat dan pemimpin negeri dapat populariti.

Dan Sultan Bola serta FAM sendiri tidak dapat berbuat apa-apa. Ini kerana FA negeri juga penuh dengan ahli-ahli politik yang ada kuasa dan pengaruh, orang kuat parti contohnya UMNO. Itu belum kira dengan penaung setiap FA negeri yang merupakan sultan atau yang dipertua negeri tersebut. Jadi benda ini sudah jadi masalah politik tahap dewa. Tapi itu cerita lain. Ini Sokernet bukan Tukar Tiub.

Atas sebab yang sama juga FAM sebenarnya tidak mampu menghalang FA negeri dari menghantar pasukan negeri menyertai liga bolasepak tempatan. FAM memang komited untuk membangunkan kelab bolasepak di Malaysia, malahan wawasan FAM ialah masa depan liga tempatan disertai oleh kelab-kelab bolasepak. Tetapi berpuluh sudah kelab bolasepak muncul dan bungkus kerana dibayangi pasukan negeri. Sedangkan di Korea Selatan dan Jepun kelab-kelab bolasepak mereka semakin matang dan maju. Bahkan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura juga sudah lama beralih ke arah mewujudkan lebih banyak kelab profesional.

Bolasepak kita tidak akan maju jika liga kita hanya melibatkan 14 buah pasukan negeri dan setiap FA negeri hanya berfungsi menjaga pasukan masing-masing. Begitu juga dengan hal pengurusan kewangan bolasepak, kita tidak akan dapat belajar menguruskan kewangan pasukan dengan betul. Sebuah FA negeri yang menguruskan pasukan mereka tidak ada tanggungjawab kewangan yang besar. Tapi sebuah kelab berbeza, mereka berfikir seperti satu organisasi perniagaan. Ada tanggungjawab kepada pemegang saham dan penyokong. Perlu pandai cari duit dan buat duit.

Sekarang ini, Astro dengan rela hati bersedia menghulurkan RM220 juta untuk 4 musim kepada FAM. Tetapi macam aku cakap tadi, dengan struktur dan sistem bolasepak yang kita ada sekarang, kita bakal berdepan senario yang serupa ketika era Dunhill dulu. Tidak mustahil semua FA negeri bakal menjadi parasit, menagih dari FAM sebahagian dari RM220 juta itu untuk jalan pintas menjadikan pasukan masing-masing kuat dan mungkin buat mengisi poket orang tertentu.

Inilah isu yang aku mahu bangkitkan dan dijadikan peringatan serta renungan buat kita semua. Bukan soal terpaksa melanggan Astro untuk menonton perlawanan Liga M, bukan soal terpaksa tengok di mamak dan bukan soal dapat siaran Astro atau tidak jika hujan. Dan pastinya juga bukan nak alih perhatian dari cerita Chelsea. Jangan berfikir guna kepala bana.

RM220 juta hanya angka. Nilai RM220 juta itu pula, bergantung pada bijak atau bangang cara penggunaannya.

Aku harap sangat ianya bukan bangang.

No comments:

Post a Comment

Followers

Pageviews